#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 28, 2009

Beri pendedahan mengenai seks

KANAK-KANAK perlu diberi perlindungan sewajarnya dari segi keselamatan sama ada di sekolah, tempat awam dan rumah tanpa terbatas kepada perbezaan budaya, bangsa serta agama.

Mereka juga perlu diajar cara untuk menghalang dan mengelakkan diri daripada teraniaya dan diambil kesempatan oleh golongan tidak dikenali ataupun dikenali.

Terkini, masalah penderaan seksual terhadap kanak-kanak (CSA) makin menjadi perhatian umum akibat pembongkaran beberapa kes menyayat hati sehingga sesetengahnya membawa kepada kematian kanak-kanak terbabit.

Tetapi apa yang boleh dilakukan untuk menghindarkan masalah ini daripada terus berlaku? Adakah kita hanya akan menutup sebelah mata dan pekakkan telinga, sedangkan masalah berkenaan semakin berleluasa?

Pengarah Latihan dan Pendidikan Protect And Save The Children (PS The Children), Nooreen Preusser, berkata masyarakat di negara ini masih belum terbuka untuk menerima pendedahan dari segi masalah seksualiti sedemikian.

Menurutnya, masing-masing akan mengambil sikap tutup mulut sekiranya ia membabitkan salah laku seks kerana perkataan 'seks' itu sendiri adalah tabu yang perlu dijauhi terutama daripada kanak-kanak itu sendiri.

Katanya, pandangan sebegini perlu dikikis sekiranya ingin memastikan generasi muda negara tidak terus teraniaya serta diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kanak-kanak perlu diajar sejak kecil untuk mengenali bahagian sulit masing-masing menggunakan nama sebenar bukan nama timangan seperti yang dilakukan ibu bapa sebelum ini.

"Mereka juga perlu diajar untuk tidak membenarkan sesiapa tidak dikenali ataupun yang dikenali menyentuh bahagian alat sulit kerana ia adalah satu kesalahan," katanya pada seminar kesedaran dan pencegahan penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang diadakan di Hotel Melia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pendedahan mengenai cara pergaulan yang betul dengan ahli keluarga, rakan serta orang asing juga perlu diberi perhatian khusus.

Kanak-kanak perlu diajar mengenai apa yang boleh serta tidak sesuai dilakukan seseorang individu lain ke atas diri mereka dengan menerangkan kesan bakal dihadapi.

"Beri penerangan seringkas mungkin agar mudah difahami kanak-kanak terbabit supaya mereka boleh berhati-hati," katanya.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), PS The Children banyak mengendalikan kes CSA serta memberikan kaunseling kepada mangsa serta keluarga dalam menghadapi kenyataan mengenai apa yang sudah berlaku.

Malah Nooreen berkata, daripada kajian yang dilakukan berdasarkan kerja dilakukan PS The Children selama ini, dianggarkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami CSA.

Paling mengejutkan daripada kajian berkenaan, didapati 50 peratus kanak-kanak yang mengalami CSA adalah lelaki.

"Jumlah ini adalah sesuatu yang mengejutkan ramai pihak kerana tidak ramai ibu bapa tampil melaporkannya disebabkan rasa malu serta bimbang dipandang serong masyarakat.

"Jangan memperjudikan nasib anak hanya disebabkan perkara itu kerana ia boleh memudaratkan sama ada dari segi pergaulan sosial serta keyakinan diri kanak-kanak itu sendiri," katanya.

Oleh itu katanya, ibu bapa serta masyarakat perlu tampil membantu bagi mengatasi masalah ini kerana tanggungjawab melindungi kanak-kanak tergalas di bahu kita.

Tip boleh digunakan untuk mencegah CSA:

  • Luangkan masa untuk menghadiri seminar kesedaran dan pencegahan CSA bagi meningkatkan pengetahuan mengenai isu terbabit.

  • Bercakap dengan rakan serta keluarga mengenai CSA. Berikan fakta kukuh dan tepat mengenainya.

  • Perbetulkan tanggapan untuk tidak malu mengajar kanak-kanak mengenai makna sebenar ataupun nama yang betul terhadap bahagian sulit mereka.

  • Jangan bersetuju dengan mana-mana pihak yang menyalahkan mangsa CSA adalah penyebab utama perkara itu berlaku.

  • Sebarkan serta galakkan cara untuk menangani CSA di kalangan masyarakat, di tempat kerja dan ajar kanak-kanak itu sendiri apa yang boleh dilakukan untuk menghindarinya.

  • Tingkatkan rasa keyakinan dalam diri kanak-kanak terbabit dan ajar mereka untuk mempercayai diri sendiri.

  • Sokong kanak-kanak terbabit untuk berani menyuarakan kebimbangan mereka dan paling penting, orang dewasa perlu mendengar dan jangan bersikap sambil lewa serta merendah-rendahkan keupayaan mereka.

  • Bina perhubungan saling mempercayai dengan kanak-kanak serta hormati pandangan mereka seperti orang lain.

  • Malah masyarakat juga perlu bersuara bersama dalam mendidik diri sendiri mengenai masalah CSA yang berlaku.
  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan