#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Julai 29, 2011

Hutang puasa

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
2011/07/29

Wajar ganti sebelum Ramadan elak fidyah

CUAI dan leka selain tidak merasakan amalan wajib itu sebagai suruhan agama dikatakan menjadi punca wanita memandang ringan mengganti serta membayar fidyah apabila meninggalkan puasa Ramadan.

Pakar motivasi, Dr Rubiah Kulup Hamzah, berkata kecuaian berkenaan cenderung disebabkan wanita itu sendiri yang tidak ada usaha, daya dan tekad selain melihat tiada kepentingan di sebalik amalan itu. “Jika melakukan sesuatu mengikut kebiasaan, jadi pelaksanaan itu tidak terasa dekat dalam diri, pada Allah dan suruhan-Nya kerana puasa itu sebenarnya bermula daripada keyakinan (syahadah) lantas menjadikan individu itu kuat dan lebih baik.

“Sudah berikrar kepada Allah untuk menjadi hamba-Nya tapi tiada pertalian sebab itu terasa seperti banyak halangan untuk mengganti sedangkan ia adalah tugas individu,” katanya ketika mengulas mengenai pengabaian umat Islam membayar ibadat puasa Ramadan.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183-184 bermaksud, “Puasa yang diwajibkan ialah beberapa hari tertentu, maka sesiapa di antara kamu sakit atau musafir boleh berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa (qada) sebanyak hari yang dibuka itu pada hari-hari lain,”.

Bagi yang tidak berdaya qada kerana tua atau alasan lain tertentu yang munasabah, caranya adalah membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Bagaimanapun, berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah.

Tambahnya lagi, isu cetek pengetahuan atau kurang didikan agama bukan penyebab tertunggak puasa ganti serta bayaran fidyah kerana agama adalah amalan dan jika tidak diamalkan, maka daya dorongan juga menjadi kurang.


“Kebiasaannya, orang yang begini juga solat pun tidak cukup. Apa yang boleh membantu adalah dengan ilmu selain mereka sendiri perlu tahu, tinggal puasa dikira berhutang dan berdosa jika hutang itu tidak dibayar,” katanya.

Jadi, penyelesaiannya, Dr Rubiah berkata, masalah itu boleh ditangani melalui kaedah memilih kawan faham agama kerana mereka mempunyai kuasa dorongan yang kuat.

“Selain itu, cuba cari buku berkaitan agama untuk mendapatkan ilmu mengenai puasa. Selami apa matlamat di sebalik amalan itu berbanding syariat yang sering dikejar kebanyakan orang,” katanya.

BAGI Juru Ukur Bahan, Liza Shareeza Mohd Zaid, 29, berkata gagal melunaskan puasa yang ditinggalkan berlaku kerana sikap suka tertangguh.

“Kalau disebut pasal agama cetek atau tidak tahu kewajipan, ia mungkin kedengaran seperti hipokrit kerana di negara ini, setiap orang yang beragama Islam mempelajari pendidikan Islam sejak di bangku sekolah rendah.

“Mereka tahu tapi tidak mengambil berat. Seperti yang sering saya perhatikan, jika soal solat tidak dititikberatkan, bagaimana mungkin mereka akan berasa wajib untuk berpuasa, seterusnya menggantinya,” katanya.

Seperti diamalkannya, Liza Shareeza membayar fidyah atau bersedekah mengikut nilai secupak beras jika tidak berkesempatan atau berkemampuan mengganti puasa pada tahun berikutnya.

“Tapi selalunya, jika perlu mengganti puasa, saya amalkan dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis. Lunaskan hutang puasa wajib kemudian boleh diteruskan dengan yang sunat,” kata ibu tiga cahaya mata itu.

KAKITANGAN kerajaan, yang hanya dikenali sebagai Diana pula mengakui tidak pernah menggantikan puasa sejak lapan tahun lalu.

“Entah, mungkin sekarang ini saya sering mengabaikan solat menyebabkan hati seperti liat hendak menuruti segala suruhan agama termasuk mengganti puasa.

“Berbanding di bangku sekolah dan universiti, mengganti puasa bersama rakan begitu menyeronokkan malah kami berlumba-lumba menghabiskan puasa ganti sejurus Aidiladha,” katanya.

Diana berasakan tidak mengganti puasa seperti bukan kesalahan besar kerana ramai rakannya termasuk yang bertudung juga mengabaikannya.

“Saban hari, saya sibuk dengan urusan kerja selain sering keluar bersama rakan mencuba makanan di restoran berbeza. Jadi, ia sedikit sebanyak membuatkan saya leka.

“Bagaimanapun, saya berazam untuk mula mengganti puasa dan membayar fidyah satu hari nanti,” katanya.

INFO

•Di laman web Pusat Zakat Wilayah Persekutuan ada disediakan kalkular fidyah khas untuk wanita yang keliru mengenai kadar fidyah perlu dilunaskan jika meninggalkan puasa disebabkan haid, sengaja, ibu mengandung atau menyusu juga warga tua atau uzur.

•Kadar fidyah bagi tahun 1431H ialah RM 1.80 sehari. Pengiraan Fidyah (beras), 1 gantang baqdad = 2.7kg, 1 cupak beras = 675 g atau bersamaan dengan RM 1.80 bagi sehari yang ditinggalkan.

FAKTA: Golongan yang dikenakan fidyah

• Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja atau uzur syarie berkaitan - haid, nifas, wiladah (darah sakit), musafir dan sakit yang ada harapan sembuh. Wajib qada sebelum datangnya Ramadan akan datang, jika masih belum qada maka dikenakan fidyah.

• Uzur - tiada kebarangkalian untuk sembuh atau sakit yang disahkan oleh doktor tidak boleh puasa. Fidyah dikenakan pada tahun itu juga dan tidak perlu qada puasanya.

• Ibu hamil atau menyusukan anak yang tidak berpuasa kerana bimbang:

◦ i. Kandungannya terjejas
◦ ii. Air susunya kering. Justeru, fidyah dikenakan pada tahun itu juga. Hendaklah qada sebelum melangkah Ramadan akan datang. Sekiranya tidak qada puasa sehingga masuknya Ramadan, maka dikenakan fidyah berganda.

◦ Sekiranya tidak berpuasa kerana dirinya. Wajib qada sebelum Ramadan akan datang dan sekiranya masih belum mengqada, maka barulah dikenakan fidyah.

Bercerai akibat gangguan saka

SETELAH berkawan dalam tempoh masa yang agak lama, akhirnya Yasmin (bukan nama sebenar) dan Yazid (bukan nama sebenar) mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Sepanjang berkawan, pasangan ini tidak mempunyai sebarang masalah malah mereka merupakan pasangan yang cukup ideal di kalangan rakan-rakan.

Pasangan ini telah memilih bulan Oktober 2002 untuk menjadikan detik bersejarah mereka malah segala persiapan telah dilakukan sebaik mungkin dan diraikan dalam majlis perkahwinan yang cukup gilang-gemilang.

Cukup usia perkahwinan mencecah 11 bulan, Yasmin dan Yazid telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Hari demi hari, perjalanan hidup mereka sekeluarga tidak mengalami sebarang masalah malah mereka dilihat seperti keluarga yang cukup bahagia.

Satu hari, Yasmin dan Yazid telah bercuti dan pulang ke kampung halaman Yazid di utara tanah air.

Hari pertama mereka sampai, segala-galanya seperti biasa hinggalah hari ketiga apabila anak mereka, Danial (bukan nama sebenar) mula menangis tidak berhenti-henti.

Sudah pasti, seluruh ahli keluarga terkejut dan masing-masing telah mencuba pelbagai cara termasuklah mengunjungi klinik untuk mendapat kepastian apakah penyakit yang dialami Danial.

Apa yang menjadi persoalannya, doktor mengesahkan Danial sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit dan Danial juga berhenti menangis apabila tiba di klinik.

Akhirnya, Yasmin dan Yazid mengambil keputusan untuk pulang ke rumah mereka di ibu kota.

Apabila mereka tiba di ibu kota, segala-gala kembali pulih seperti sedia kala malah perkara tersebut akan berulang sekiranya mereka pulang ke kampung halaman Yazid.

Akhirnya setelah diselidik, Yasmin mendapati bahawa keluarga Yazid mempunyai saka dan kejadian Danial menangis setiap kali berada di sana adalah disebabkan gangguan saka tersebut.

Tidak tahan dengan situasi tersebut, Yasmin akhirnya meminta cerai dan dalam masa yang sama Yasmin turut menuntut hak penjagaan kekal ke atas Danial.

Yasmin berbuat demikian adalah kerana ingin menjaga Danial dan tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku kepada anaknya itu.

Kes Yasmin ini telah diletakkan di bawah peruntukan Seksyen 81 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, Yasmin telah mengemukakan pelbagai bukti termasuk bukti dari Pusat Perubatan Islam yang telah mengesahkan terdapat unsur-unsur ilmu hitam pada anaknya (Danial) semasa anaknya sakit.

Yasmin turut memberitahu mahkamah bahawa perkara tersebut (anak sakit) hanya akan terjadi apabila mereka pulang ke kampung suaminya, Yazid dan apabila pulang semula ke ibu kota, Danial akan kembali pulih seperti sedia kala.

Semasa perbicaraan berlangsung, Yasmin telah memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan kekal anaknya atas alasan-alasan seperti:

lDia (Yasmin) adalah ibu kandung kepada anak tersebut dan merupakan orang paling layak bagi menjaga anak tersebut.

* Yasmin juga merupakan seorang Islam dan sempurna akal fikiran dan selama ini dia yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas anak tersebut.

* Sejak lahir, anak tersebut tinggal bersama Yasmin dan dijaga sepenuhnya oleh Yasmin. Sejak kecil juga Yasmin tidak pernah berpisah atau berjauhan dengan anaknya itu kecuali semasa Yasmin keluar atas urusan kerja.

* Yasmin layak dan mampu dari segi umur untuk memberi jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh anak tersebut. Tambahan pula Yasmin sebagai seorang ibu lebih rapat dengan anak tersebut berbanding suaminya.

* Yasmin adalah seorang ibu yang berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiyah dan dapat memberikan didikan Islam yang sempurna kepada anak tersebut serta menunjukkan contoh tauladan yang baik berbanding suaminya.

* Yasmin juga tidak pernah hilang atau diisytiharkan oleh Mahkamah hilang hak kelayakan untuk menjaga anak tersebut.

* Pada masa tersebut Yasmin dan anaknya tinggal selesa di rumah yang dimiliki oleh Yasmin sepenuhnya.

Pada masa yang sama, Yasmin turut memohon nafkah anak sebanyak RM500 sebulan dengan cara dimasukkan ke dalam akaunnya.

Begitupun, sebelum mahkamah memutuskan sebarang keputusan, Yasmin sedar, Yazid adalah bapa kepada anaknya dan dengan itu dia memohon agar suaminya diberi hak lawatan pada waktu yang munasabah dengan terlebih dahulu dimaklumkan kepadanya.

Setelah kesemua hujah didengari dan meneliti segala alasan-alasan yang diberikan, mahkamah akhirnya telah membuat keputusan, hak jagaan kekal Danial diberikan kepada Yasmin.

Jumaat, Julai 15, 2011

Berazam sambung persekolahan lepas bersalin

BERANI mengambil keputusan untuk bercerai, tetapi apabila melibatkan soal anak, pasangan suami isteri yang bercerai pasti lepas tangan. Seperti nasib yang menimpa Kartini Kamaruddin (bukan nama sebenar) yang ditemui di Rumah Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Subang Jaya Selangor baru-baru ini.

Sementah usia 14 tahun, kini dia sarat mengandung. Malah sebenarnya sedang menunggu masa sahaja untuk melahirkan anak hasil hubungan luar nikah dengan seorang lelaki durjana bernama Hisyam Shamsuddin (bukan nama sebenar), 20.

Bagaimana boleh mengandung, jika tidak kerana satu hubungan seks?

Lebih parah, Kartini yang jahil agama tidak tahu pun bahawa hubungan seks dengan Hisham adalah salah. Kerana itu hubungan terlarang tersebut berlaku berulang-ulang kali.

Baik di rumah Hisham, di rumah kawan-kawan Hisham malah dalam kereta sekalipun, Kartini tidak pernah membantah dirinya diratah.

“Suka sama suka,” ujarnya pendek.

Bagaimana Kartini yang berasal dari kawasan perumahan Felda di selatan Perak itu tidak tahu bahawa seks di luar nikah adalah zina? Adalah satu dosa? Dan satu kebejatan sosial yang stigma buruk dilemparkan oleh masyarakat tidak akan pernah berubah terhadap si pelaku itu?

Dia tidak tahu semua itu kerana tidak pernah diajarkan begitu.

Tidak diajar? Apakah yang boleh kita harapkan untuk memastikan dia tahu segala-galanya? Sedangkan selama ini dia tidak pernah mendapat bimbingan, didikan dan sentuhan kasih sayang daripada si ayah apatah lagi si ibu.

Mereka dengan ego masing-masing hanya tahu mencari hala dan jalan masing-masing selepas bercerai di saat Kartini berusia dua tahun.

Sayu hati mengenangkan sehingga kini Kartini tidak pernah menatap wajah orang tuanya sendiri. Entahkan masih hidup atau sudah mati sejak berlaku detik perceraian yang sangat hitam itu.

“Sejak ditinggalkan mak dan ayah, neneklah yang menjaga saya. Sejak itu jugalah langsung tiada khabar berita mengenai mak dan ayah, jauh sekali untuk menjenguk saya dan nenek sehinggalah ke hari ini,” ujarnya.

Kartini mengakui bahawa dengan nenek, makan minum pakainya terjaga dan mencukupi. Begitu juga dengan kasih sayang tetapi tidak lebih dari itu.

Walaupun bersekolah di sebuah sekolah menengah di kampungnya tetapi jauh daripada mendapat didikan yang sempurna, mempunyai kawalan kendiri dan mengerti soal maruah dan harga diri yang sepatutnya diterima daripada ibu bapa.

Kartini menerima huluran tangan Hisyam yang muncul di saat dia seorang diri.

Atau lebih tepatnya, hasil lepak-lepak di tepi jalan, siapa juga pemuda yang datang menegur, Kartini tidak ada masalah membalas.

Tanpa menyedari niat sebenar lagi kotor yang bersalut di hati pemuda yang berkerja di sebuah kilang membuat kereta di utara Selangor itu, Kartini senang menghabiskan masa senggang bersamanya.

Hampir setiap petang Kartini akan menyelinap keluar dari rumah semata-mata untuk menemani Hisyam yang akan mengajaknya berjalan-jalan ke mana sahaja.

Dengan sikapnya yang rela memenuhi segala permintaan Kartini untuk dibelikan itu dan ini menyebabkan hati remaja ini semakin tertambat kepada Hisyam, yang dianggap satu kebaikan dan kemuliaan seorang lelaki yang sudi untuk membelikan apa sahaja.

Akhirnya, Kartini terjebak pada perangkap yang dipasang oleh Hisyam. Maka berlakulah perlakuan-perlakuan yang tidak senonoh lagi sumbang dan menjijikkan tanpa dibantah sedikit pun oleh Kartini.

“Tidak sampai sebulan pun sejak kami mula berkenalan,” ujarnya berterus terang.

Membenarkan dirinya disentuh malah Kartini mengakui Hisyam melayaninya umpama puteri hingga menyebabkan dirinya dinodai bukanlah sesuatu yang perlu ditangisi.

Setelah dirinya hamil pun, Kartini masih lagi naif dengan nasib yang menimpa diri.

Tambahan pula kehamilan itu tidak pernah bocor kepada pengetahuan sesiapa, baik rakan-rakan, guru-guru di sekolah sehinggalah kepada neneknya sendiri.

“Nenek hanya tegur apabila badan saya semakin naik itu sahaja,” katanya.

Malah sehingga kandungannya memasuki lima ke enam bulan, Kartini seperti biasa ke sekolah kerana kandungannnya masih tidak nampak hingga boleh menimbulkan rasa curiga pada orang lain.

Sehinggalah salah seorang ibu saudaranya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mendapati perut Kartini semakin membusung tinggi. Ketika itu ia sudah tidak dapat dirahsiakan lagi.

Supaya bau tembelang yang pecah tidak busuk sekampung, Kartini perlu segera diselamatkan, sekurang-kurangnya supaya maruah keluarga (masih) terpelihara.

“Sebenarnya saya ada menghubungi Hisyam, memberitahunya yang saya tidak lagi datang bulan dan syak saya mengandung. Dia terus berjanji untuk mencarikan ubat yang boleh membuatkan saya datang bulan.

“Saya pun tunggu, tetapi lama kelamaan dia senyap. Tidak lagi datang mencari saya sehinggalah saya akhirnya dapat bercakap dengannya, tiba-tiba Hisyam mengaku bahawa dia sebenarnya sudah bertunang.

“Saya pun terdiam, tidak tahu hendak kata apa. Saya cuba hubungi dia lagi. Puas saya mendail nombor telefon bimbitnya dan akhirnya entah lelaki mana yang jawab!" ujarnya lemah.

Sehinggalah si ibu saudara menemui maklumat mengenai Baitul Fiqh ini, melalui sebuah majalah wanita, lalu Kartini pun segera di hantar ke sini!

“Bila masuk di sini, barulah buat pertama kali saya dihantar ke hospital (untuk menjalani pemeriksaan ibu mengandung) dan mujurlah saya (dan kandungan yang sudah masuk tujuh bulan itu) dalam keadaan sihat sehingga hari ini,” ujarnya.

Di Baitul Fiqh, Kartini adalah antara penghuni termuda yang pernah menjalani ‘perlindungan’ sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 2006.

Namun Kartini kelihatan ceria dan cergas walaupun sesekali mengesat air mata kala bercerita dan berazam akan kembali sebagai Kartini yang baru - serba baru.

“Saya hendak sambung sekolah dan tidak mahu lagi jadi begini,” katanya.

Menjadi mangsa kerakusan teman lelaki

MASALAH sosial terutamanya yang melibatkan remaja perempuan hamil luar nikah benar-benar tidak mengenal mangsa. Bukan sahaja anak mangsa perceraian mudah terjebak, begitu juga si remaja yang dalam kawalan ibu bapa!

Sebab itu orang tua ada berkata menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang.

Begitulah yang terjadi kepada Mardiah Mahmud (bukan nama sebenar), 14, yang merupakan anak tunggal yang selama ini menjadi belahan jiwa, segunung intan ibu bapanya.

Namun akhirnya angkara hubungan dengan teman lelaki, Mardiah kini mengandung anak luar nikah.

Mardiah sama sekali tidak menduga bahawa teman lelaki yang selama ini begitu dipercayai akhirnya tiada beza seperti lelaki-lelaki rakus yang lain.

“Saya kenal Faizal (bukan nama sebenar) bukannya baru. Kami kenal lama, hampir empat lima tahun rasanya. Tapi tak sangka dia sanggup buat saya begini,” ujar Mardiah sambil menahan sebak.

“Ayah seorang yang sangat garang,” katanya pendek.

Kata-kata yang cukup mematikan soalan dan segala-galanya terjawab dengan sendirinya. Apabila si ayah bertindak seperti itu, maka teman lelaki adalah satu cara untuk Mardiah melarikan diri.

Berbanding remaja lain yang lazimnya agresif dan aktif, Mardiah adalah sebaliknya. Jiwanya sangat halus. Orangnya lemah lembut dan lebih banyak tersenyum daripada berkata-kata.

Maka kelembutannya sangat bertentangan dengan sikap bapanya yang sering mengongkong dan mengawal yang menyebabkan hatinya mudah terguris dan banyak tangisan dipendam dalam hati.

Beliau tidak mampu untuk memberontak. Namun dengan kehadiran Faizal, maka figura seorang ayah semakin hilang dari pandangan mata dan diganti Faizal yang pandai mengambil hati.

Ditambah lagi Faizal yang lebih berusia daripadanya (19 tahun) dilihat sebagai seorang pemuda yang matang, yang tidak mungkin akan mengambil apa-apa kesempatan ke atasnya.

Mardiah lebih mengikut telunjuk Faizal. Hubungan mereka terjalin baik tetapi penuh berhati-hati terutamanya daripada pengetahuan ibu bapa Mardiah.

Sehinggalah tanpa di sangka, pada suatu hari yang berlakunya tragedi itu, Faizal telah menunjukkan belangnya yang sebenar.

Ketika mereka bersama menaiki motosikal yang asalnya bertujuan untuk berjalan-jalan tetapi akhirnya melencong ke sebuah rumah kosong.

“Saya benar-benar tergamam. Faizal bertukar umpama singa yang buas. Saya tidak mampu melawan dan melarikan diri apabila di rumah kosong itu. Saya menjadi mangsa kerakusan nafsu Faizal.

“Tetapi apabila Faizal berjanji untuk bertanggungjawab, saya pun (senyap)....” katanya.

Apabila tidak datang haid selepas peristiwa hitam itu, Mardiah tidak sedikit pun bimbang kerana sebelum ini pun beliau sering mengalami kitaran bulanan yang tidak teratur.

Namun segala-galanya terbongkar dan jangkaan jauh meleset apabila sebenarnya Mardiah didapati mengandung apabila disahkan oleh doktor.

Ia diketahui apabila Mardiah mengadu mengalami sakit-sakit di bahagian pinggang dan mengalami bengkak di kaki dan akibatnya doktor menemui punca sebenar yang menyebabkan beliau sakit-sakit itu!

Saat itu, ibu bapa mana dapat menyorokkan muka. Satu-satunya anak yang selama ini begitu dijaga dan dikawal akhirnya memalitkan arang di muka mereka.

Namun malu itu cepat-cepat hendak ditutup. Mardiah segera dihantar ke Baitul Fiqh bagi membolehkan remaja ini menjalani tempoh mengandung sehingga selamat bersalin tanpa diketahui oleh sesiapa.

Yang membezakan lagi antara dua kes remaja ini, iaitu Kartini akan menyerahkan anak yang bakal lahir sebagai anak angkat kepada satu pasangan suami isteri.

Sementara Mardiah memberitahu bahawa ibunya ingin membela dan menjaga anak yang bakal lahir itu.

Persamaan antara kes Kartini dan Mardiah ini hanyalah satu - mereka tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap jenayah perkosaan yang dilakukan oleh teman lelaki masing-masing.