#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 28, 2009

Pendam rahsia takut ibu dicerai

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

AMPANG: Betapa mulianya hati seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun apabila sanggup menyembunyikan rahsia besar menjadi mangsa rogol kerana tidak mahu berlakunya perceraian antara ibu dan bapa tirinya.

Malah, rahsia itu dipendam kanak-kanak terbabit sejak dia berusia tujuh tahun sebelum akhirnya menceritakan kejadian berkenaan kepada datuknya, baru-baru ini.

Mendengar pengakuan cucunya itu, datuknya kemudian membawa cucunya itu ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu, Selasa lalu.

Menurut sumber polis, mangsa mendakwa dirogol bapa tirinya, namun merahsiakan kejadian itu kerana tidak mahu melihat keretakan rumah tangga antara ibu dan bapa tirinya selain bimbang dimarahi ibunya.

“Bagaimanapun, pasangan terbabit akhirnya bercerai juga tahun lalu dan mangsa mengambil kesempatan menceritakan semua kejadian malang yang berlaku kepada datuknya.

“Susulan laporan itu, mangsa dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan laporan perubatan menunjukkan ada kesan koyak pada kemaluannya,” katanya.

Difahamkan, ibu mangsa sentiasa sibuk dengan kerjanya dan peluang itu diambil kesempatan bapa tirinya untuk merogol mangsa pada waktu malam.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat datuk mangsa itu.

“Berikutan laporan itu, kita menahan suspek pada hari sama laporan dibuat di tempat kerjanya di Plaza Idaman dan dia kini direman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan