#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Februari 19, 2010

Tangani secara sepadu

PEMBUANGAN atau pembunuhan bayi berlaku di mana-mana dulu dan sekarang. Pada zaman Arab jahiliyah, ia berlaku secara berleluasa ke atas bayi perempuan. Di India, ramai bayi dibunuh kerana masalah kemiskinan. Untuk satu ketika, pembunuhan bayi menjadi kebiasaan di China kerana dasar satu keluarga satu anak.

Tetapi apa yang berlaku di Malaysia bukan kerana kemiskinan, dasar kerajaan atau amalan budaya.

Beberapa kes yang mendapat liputan meluas di media membabitkan remaja perempuan yang bertindak kejam membuang atau membunuh bayi kerana buntu fikiran, tidak tahu apa yang mahu dibuat atau kepada siapa masalah mereka hendak diaju apabila terdesak.

Pengalaman saya di Rumah Perlindungan Baitul Fiqh di USJ Subang Jaya sejak 2005 mendapati majoriti yang mengambil tindakan sedemikian adalah remaja berusia di antara 14 tahun hingga lewat 20-an.

Malu dan takut adalah dua faktor mendorong mereka membuang atau membunuh bayi.Malu diketahui kawan atau guru serta aib yang bakal menimpa keluarga dan nama baik ibu bapa.

Perasaan takut timbul apabila memikirkan kemungkinan menghadapi keadaan tidak menentu atau terpaksa berdepan pihak berkuasa seperti di hospital, klinik, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau polis.

Dalam menghadapi keadaan panik yang terlintas hanya buang bayi.

Bagi yang mampu, mereka mungkin ke klinik swasta atau mencari bidan kampung untuk menggugurkan kandungan.

Bagi yang tidak mampu, alternatifnya ialah buang bayi dalam longkang, sungai, tempat pelupusan sampah, letak di tepi jalan, depan masjid atau rumah.

Paling ngeri apabila tindakan kejam membunuh, melemas dan melupuskan bayi dalam mangkuk tandas atau membakar. Tiada statistik tepat berapa ramai bayi dibuang atau dibunuh di negara kita.

Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, laporan kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari.

Dewan Negara dimaklumkan pada 2007 bahawa 304 bayi dibuang antara 2004 hingga 2006.

Statistik polis pula menunjukkan kira-kira 100 bayi dilaporkan terbuang setiap tahun.Tetapi hakikatnya bilangan sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Satu kajian penyelidik sebuah IPTA mendapati bilangan remaja bawah 20 tahun yang mengandung pada 2004 sekitar satu juta.

Ia sungguh mengejutkan.Pastinya bukan semua yang mengandung hasil perkahwinan sah.

Justeru, kita boleh bayangkan berapa ramai bayi lahir hasil hubungan seks praperkahwinan dan tentunya daripada bilangan ini, ramai yang diserahkan kepada orang lain sebagai anak angkat atau dibuang saja. Ketika sambutan Tahun Baru Cina kita digemparkan dengan beberapa kes pembuangan dan pembunuhan bayi di Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.

Reaksi terkejut, marah, sedih dan terkilan pelbagai pihak sudah dijangka.Namun, tidak ada jaminan perkara ini tidak berlaku lagi.

Berdasarkan pengalaman, saya rasa langkah berikut perlu diambil sekurang-kurangnya untuk mengurangkan kejadian. Pendekatan baru: Saya bimbang apabila ada pihak yang terus menerus menyarankan pendekatan bersifat hukuman.

Saya memahami sebab mereka mengambil sikap begitu namun percayalah, pendekatan begini akan menyumbang kepada lebih banyak kes pembuangan bayi.

Janganlah mereka yang sedang menghadapi masalah dibebani lagi dengan hukuman.Sebaliknya, mereka perlu digalakkan membuat keputusan lebih berperikemanusiaan, iaitu menyerahkan bayi kepada pihak yang sedia menerima.

Satu keputusan bijak bermakna satu nyawa terselamat. Justeru, kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa semua 104 pejabat kebajikan masyarakat daerah dan 60 pusat perlindungan seluruh negara bersedia menerima bayi terbuang tanpa apa-apa tindakan diambil ke atas ibu sangat dialu-alukan.

Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, pegawai dan kakitangan JKM boleh bertindak sebagai ‘pelindung’ dan memberi bantuan kepada sesiapa yang mengandung dan ingin melahirkan anak luar nikah bagi mengelak bayi dibuang.

Kemudahan untuk orang awam melaporkan kes ke Talian Nur 24 jam juga dapat membantu mengurangkan insiden pembuangan dan pembunuhan bayi. Saya memuji pendirian pihak yang lebih menekankan aspek kemanusiaan dalam menangani gejala ini.

Mereka termasuk Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya; Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Mereka mengajak masyarakat agar lebih penyayang, tidak mudah menghukum malah membuka pintu taubat kepada perempuan berzina.

Mungkin ada pihak yang tidak bersetuju beranggapan pendekatan seperti ini akan menggalakkan gejala itu berleluasa.

Tetapi bagi saya, pendekatan yang ada sekarang gagal membendung, justeru kes masih berlaku walaupun isu ini berbangkit tahun demi tahun.

Saya percaya jika pendekatan lebih kemanusiaan diambil, ada harapan kejadian buang dan bunuh bayi berkurangan secara drastik. Tindakan bersepadu: Setakat ini, pendekatan yang diambil pihak berkuasa bersifat ‘piecemeal’.

Banyak pihak lepas tangan.Tukang komen memang ramai, terutama setiap kali kes pembuangan atau pembunuhan bayi dipaparkan, tetapi tidak ramai sanggup meluangkan masa, tenaga atau menyediakan peruntukan bagi membendung gejala itu. Saya harap tidak lagi begitu.

Masalah pembuangan bayi perlu dilihat dan ditangani secara menyeluruh dan holistik seperti gejala dadah, Aids dan Mat Rempit.

Tumpuan dan usaha perlu berterusan, meluas dan membabitkan semua pihak seperti keluarga, PIBG, guru, golongan agama, badan bukan kerajaan (NGO), agensi dan pegawai kerajaan, ahli akademik dan penyelidik, penggubal undang-undang dan polis.

Persatuan belia, pertubuhan sukarela dan kumpulan tertentu seperti Puteri Umno dan pelajar universiti melalui program khidmat masyarakat (Opkim) boleh membantu menangani gejala ini.Pihak swasta, syarikat korporat, media, penulis blog dan orang awam semua mempunyai peranan.

Ini selaras saranan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menyeru semua pihak terbabit mencari jalan penyelesaian.Sehubungan itu, saya mencadangkan penubuhan sebuah pasukan bertindak atau Yayasan Perlindungan Ibu dan Bayi di peringkat nasional.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Bakti adalah antara entiti yang boleh memulakan inisiatif ini.

Sebuah pasukan bertindak boleh menggembleng pakar dan tokoh dalam bidang berkaitan.Ia boleh merencana program dan mengambil langkah sesuai menggunakan kemudahan dan infrastruktur yang ada di pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan termasuk universiti.

Pasukan ini perlu diberi kuasa bagi melicinkan tugas dan mencapai matlamatnya. Yayasan pula mempunyai ruang mengumpul dana yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti berkaitan, termasuk kempen di seluruh negara untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat berhubung gejala ini.

Saya rasa banyak syarikat dan korporat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dapat menghulurkan bantuan bagi menunaikan tanggungjawab sosial. Yayasan ini boleh diterajui individu berwibawa yang mampu menarik kepakaran tokoh agama, undang-undang, kesihatan, akademik serta penyelidik dalam dan luar negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi mencari kaedah terbaik membendung gejala ini.

Penulis ialah Yang Dipertua Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Subang Jaya, Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan