#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Jun 28, 2011

'Teman baharu rupanya madu saya'

Membuka tirai sembang minggu ini, saya paparkan keluhan hati seorang isteri nun jauh di luar negara yang ingin berkongsi cerita kehidupannya yang sudah tiada ertinya lagi di sisi suami.

Melalui sepucuk surat dan kemudian panggilan telefon kepada saya dalam jarak beratus-ratus ribu batu jauhnya, wanita ini ternyata benar-benar sudah kecewa dan membawa diri untuk mengubat hatinya bersama anak-anak.

Biarlah saya namakan dia sebagai Samiha, berusia awal 50-an dan mempunyai dua orang anak lelaki. Kita ikuti cerita seterusnya mengenai rumah tangga Samiha.

"Kadang-kadang sungguh pun kita berusaha menjaga hati dan perasaan suami, tetapi suami masih mencari lain atau kahwin diam-diam tanpa pengetahuan kita.

"Namun sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah juga akhirnya. Rahsia saya dimadukan akhirnya terbongkar setelah 10 tahun saya ditipu suami.

"Saya berkahwin selama 20 tahun dengan seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan. Disebabkan anak belajar di luar negara, saya menyertai sebuah kelab wanita untuk menghilangkan rasa bosan. Tidak pula saya sangka, kehadiran saya di kelab itu telah menjadi tamparan hebat buat saya untuk terus hidup.

"Melalui kelab inilah, saya mengetahui suami telah menduakan saya tanpa pengetahuan saya.

"Semuanya bermula apabila ketua kelab ini menjemput seorang tetamu khas untuk mengajar kami membuat masakan Arab.

"Perempuan ini seorang yang bergaya, cantik dan bijak berbicara. Saya juga terpegun dengan penampilannya.

"Entah macam mana di antara ramai ahli, dia memilih saya sebagai teman rapatnya. Bukan sahaja di kelab, setiap kali bermain boling, dia akan dimasukkan di dalam pasukan saya.

"Hubungan kami tambah mesra dan setiap dua minggu sekali kami keluar bersama membeli-belah atau minum. Bagaimanapun, kami tidak pernah berkunjung ke rumah antara satu sama lain kerana dia tinggal di kawasan M dan saya pula di kawasan K.

"Satu hari kami ke sebuah restoran kuih muih tradisional di sebuah kompleks membeli-belah dan dia memesan beberapa jenis kuih tradisional untuk satu majlis katanya. Peliknya kuih tersebut sama seperti yang saya selalu beli untuk suami, kedai juga sama.

"Dia juga memberitahu, tidak menjemput ramai tetamu hanya lapan orang sahaja termasuk saya. Mujur pada hari dia menjemput ke rumahnya untuk majlis tersebut, saya ada urusan lain yang penting.

"Hendak dijadikan cerita pada petang yang sama, saya ke kediamannya untuk mengambil biskut Arab yang saya tempah. Itulah kali pertama saya ke rumahnya. Memang kondo itu sangat cantik dengan dekorasi yang kreatif. Secara kebetulan, petang itu hujan lebat. Semasa dia menyediakan kopi, saya ke beranda untuk melihat pemandangan Lembah Klang.

"Tiba-tiba saya ternampak tiga helai baju berjenama dan baju Melayu warna mustard tersidai di situ, semuanya warna yang terang.

"Saya membelek saiznya, di dalam hati berdetik, ini baju yang saya beli untuk suami. Saya cam sangat baju Melayu ini kerana ia memang baju kegemaran suami saya setiap kali dia hendak bersolat Jumaat.

"Saya yakin 100 peratus ia baju kepunyaan suami, kerana saya yang membelinya. Memandangkan saya masih di rumah orang, saya mengawal perasaan seperti tidak ada apa yang berlaku.

"Di dalam perbualan kami, dia memberitahu telah berkahwin 10 tahun dan merahsiakan perkahwinannya kerana tidak mahu popularitinya terjejas.

"Menurut cerita, suaminya seorang ahli perniagaan yang berjaya di utara dan hanya balik setiap dua minggu sekali, itu pun tidak tentu masa.

"Katanya lagi, tidak lama lagi genap usia suaminya 50 tahun. Itu sebab, dia hendak mengadakan majlis kecil-kecilan untuk suaminya.

"Saya pulang ke rumah dengan perasaan yang kecewa. Hati saya kosong mengenangkan apa yang berlaku. Mungkinkah dia madu saya? Hati saya tertanya-tanya.

"Apabila suami balik, saya buat seperti biasa dan bertanya di mana baju-bajunya. Jawab dia, tertinggal di rumah kakaknya dengan alasan senang apabila hendak solat Jumaat.

"Dia masih berlakon di hadapan saya setiap kali saya ajukan soalan. Bila dikenang kembali katanya yang tiap-tiap minggu dia berada di utara, hati saya menjadi hancur sebab selama ini rupanya dia berada di rumah teman saya yang kini telah sah menjadi madu saya.

"Lalu teringat saya kenapa dia minat sangat dengan drama TV sebab isterinya berlakon, begitu juga majalah, rupanya gambar isterinya ada terpampang di dalamnya.

"Memang orangnya cantik tidak dinafikan berbanding dengan saya, macam langit dengan bumi jauh berbeza.

"Bagi mengubat hati yang lara, saya bercuti ke luar negara. Saya amat sedih dan kecewa kerana telah ditipu suami selama 10 tahun. Saya tidak salahkan madu saya. Sungguhpun dia seorang selebriti, dia tidak tahu suaminya ada isteri dan anak.

"Buat sementara, perkara ini saya diamkan saja, tetapi apabila ke Malaysia nanti, saya akan membuat keputusan. Tuhan saja yang tahu bagaimana pedihnya hati saya dengan sikap suami. Walaupun pedih, hidup mesti diteruskan. Saya tidak akan membiarkan kelukaan ini menghancurkan hidup dan masa depan saya. Doakan agar saya sentiasa tenang dan damai," Begitu Samiha menamatkan ceritanya.

Ketika membaca surat kiriman Samiha saya amat terkejut dan terkedu seketika. Tidak saya duga akan menerima cerita benar ini yang biasanya hanya ditonton menerusi televisyen.

Akan tetapi, itulah realiti hidup. Segala yang berlaku tidak pernah dirancang manusia. Dunia ini sebenarnya amat kecil dan Tuhan telah menemukan Samiha dengan wanita yang menjadi madunya untuk menunjukkan sikap sebenar suaminya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan