#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Jun 22, 2011

Isteri perangkap suami bersama madu

BAGI yang selalu minum madu, rasanya tentulah manis dan sedap selain membantu menyihatkan tubuh badan.

Namun manisnya madu, tidak sama dengan mereka yang hidup bermadu walaupun ada segelintirnya beroleh kebahagiaan.

Tentu ramai yang akan tersenyum sinis apabila membaca mukadimah saya minggu ini. Bagi lelaki, amat mudah untuk melafaz kata-kata ingin menambah cawangan atau berpoligami kerana kuasa ada di tangan mereka.

Berbeza pula dengan wanita kerana mereka hanya mampu membantah jika tidak setuju, itu pun bergantung pada nasib, belum tentu suami mendengar atau memang mereka sudah dimadukan.

Begitulah yang dilalui Farhana (bukan nama sebenar) apabila suami, Reza (bukan nama sebenar) menambah cawangan setelah dua tahun ditukarkan bekerja di utara.

Farhana berusia awal 40-an telah 15 tahun bernikah dengan Reza. Pasangan ini bekerja dengan syarikat swasta dan dikurniakan dua anak berusia 14 dan 12 tahun. Sebelum ini mereka keluarga bahagia.

Namun, berita kenaikan pangkat Reza sebagai pengurus yang pada mulanya dianggap rahmat dan rezeki, kini menjadi mimpi ngeri bagi Farhana yang disakiti Reza.

"Saya sudah dua tahun menanggung derita hati dan perasaan dengan sikap suami yang bernikah seorang lagi setahun lalu.

"Semuanya gara-gara dia dinaikkan pangkat dua tahun lalu sebagai pengurus. Dia ditukarkan bekerja di utara tanah air. Kerana kami bekerja di syarikat yang sama, memang saya tidak dapat ikut dia ke sana.

"Kerana memikirkan masa depan kami terutama anak-anak, saya reda suami pergi seorang ke sana untuk menjalankan tugasnya dengan doa dia tidak berubah dan terus cemerlang dalam kerjayanya.

"Saya mengambil cuti seminggu dan membawa anak-anak ke sana ketika suami ditukarkan dulu. Suami menyewa sebuah rumah yang sederhana besar bagi memudahkan saya dan anak-anak tinggal apabila berkunjung ke sana.

"Alhamdulillah, setahun berlalu semuanya berjalan seperti biasa. Dia kerap menelefon bertanya khabar. Sebulan dua kali kami berjumpa. Ada kala suami balik ke Kuala Lumpur, ada masa saya dan anak-anak turun ke utara.

"Siang malam setiap kali solat saya tidak lupa berdoa agar Allah permudahkan segala urusan hidup kami, dan kesihatan yang baik. Saya tidak pernah terfikir suami akan berubah hati kerana saya yakin dia memang sayang saya dan anak-anak.

"Bagaimanapun ujian Allah tidak memilih hamba-Nya. Masuk tahun kedua, suami mula nampak berlainan dari segi sikap, tingkah laku dan lebih mendiamkan diri padahal dia seorang yang suka bergurau dan mengusik saya dan anak-anak.

"Ini diikuti perubahan jadual bertemu saya dan anak-anak. Dulu dua kali sebulan saya boleh turun ke utara, kini tidak lagi. Dia memberitahu terlalu sibuk dengan kerja dan tiada masa menerima kunjungan saya dan anak-anak.

"Apabila saya tanya pegawai di syarikat kami, katanya tidak ada projek besar yang ada di utara melainkan urusan kerja biasa. Apabila saya telefon, dia mula beri alasan sibuk, nanti telefon semula dan macam-macam lagi.

"Saya tidak sedap hati. Saya cari maklumat daripada staf di sana yang saya kenal, malangnya semua mengelak daripada bercerita tentang suami saya.

"Seminggu saya memikirkan hal itu, tidur saya tidak lena, dan kerja juga terjejas. Akhirnya saya ke utara tanpa pengetahuan suami, ditemani adik perempuan saya.

"Kepada anak-anak, saya beritahu terpaksa hadir seminar di Pulau Pinang. Pada hari yang diatur, saya bersama adik bertolak ke utara. Kami sampai di sana lewat petang dan menginap di sebuah hotel. Saya tidak terburu-buru ke rumah sewa suami sebelum saya siasat apa yang berlaku.

"Malam itu saya dan adik nekad ke rumah tersebut dengan harapan kebenaran wujud di depan mata.

"Sampai di rumah itu, saya memberi salam. Seorang wanita berusia awal 20-an muncul dan menjawab salam saya. Orangnya tinggi lampai, tersenyum sambil menjemput saya masuk. Dia bertanya cari siapa dan apabila saya beritahu nama orang yang saya cari, dia pelawa kami masuk.

"Dia memanggil nama suami saya. Darah saya mula menyirap. Tubuh saya menggigil, seperti seluruh dunia ini bergoncang. Saya beristighfar banyak kali, minta Allah beri saya kesabaran.

"Lima minit kemudian muncul suami saya dan wanita itu. Ya Allah! Begitu besar ujian-Mu. Memang betul itu suami saya. Jadi siapa wanita itu? Adakah dia....? Melihat saya di situ, suami tergamam. Langkahnya terhenti.

"Tergagap-gagap dia bertanya bila saya datang, dengan siapa, mana anak-anak? Berani dia berlakon depan saya macam itu? Dia ingat saya ini patung, tidak ada hati dan perasaan. Akhirnya dia mengaku wanita itu isterinya. Mereka bernikah setahun lalu.

"Seperti biasa alasan lelaki, memang nak beritahu tetapi belum sampai masa. Jawapan standard. Saya tidak ada minat untuk bertanya banyak. Saya minta dia buat keputusan, pilih saya atau wanita itu. Saya bukan tamak, tidak juga ego tetapi kesal sikapnya yang membuatkan saya macam orang bodoh. Saya juga ada maruah dan harga diri sebagai wanita dan isteri.

"Selesai melepaskan apa yang terbuku di hati saya mengheret tangan adik dan keluar tanpa mengucapkan selamat tinggal. Saya mendengar isteri keduanya menjerit-jerit memarahi dia sambil menangis kerana tidak memberitahu yang dia sudah beristeri dan anak-anak. Bijaknya lelaki, mengaku bujang.

"Ketika ini air mata saya tidak dapat ditahan lagi, berlinangan di pipi, hancur luluh hati saya mengenangkan apa yang berlaku. Saya nekad apa yang akan berlaku selepas ini. Kepada Allah saya serahkan segala-galanya."

Kepada Farhana, saya bersimpati dengan ujian yang menimpa anda, tetapi saya puji sikap anda yang sabar dan cekal menghadapinya. Saya yakin anda punya keyakinan diri menangani masalah ini secara rasional. Banyakkan bersabar dan berdoa agar kehidupan selepas ini akan menjadi bertambah baik.

Apa juga keputusannya, utamakan masa depan anak-anak. Mereka adalah zuriat, anugerah Allah yang tidak terhingga kepada pasangan suami isteri.

Menutup catatan, wanita adalah matahari yang tidak pernah terbenam, jika pun tidak kelihatan, sinarnya akan sentiasa ada, menerangi hati dan jiwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan