#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Jun 17, 2011

Minta cerai suami taik judi

SEBENARNYA sudah berbuih mulut Suhana mengingatkan Suffian supaya tidak membuang masa menghadap meja judi. Sudah masuk anak keempat pun, perangai suaminya itu tidak berubah.

Yang paling Suhana tidak tahan, dia yang terpaksa berhempas-pulas mencari nafkah untuk mereka keluarga.

Daripada makan minum, pakaian, bil air, bil elektrik hingga sewa rumah dia yang tanggung. Beberapa kali juga tuan rumah datang marah-marah kerana sewa tertunggak hingga berbulan-bulan.

Cakap lebih, tangan Suffian pasti akan melayang ke pipi Suhana terutama sekali bila lelaki itu kalah judi.

Gelang, cincin dan rantai emas pemberian arwah ibu Suhana yang sekian lama dipertahankan akhirnya satu demi satu menjadi milik kedai pajak gadai. Suffian memang buat tidak kisah saja bila ditanya tanggungjawabnya pada rumah tangga.

Yang Suhana tahu, Suffian tidak akan balik ke rumah jika menang pertaruhan. Dia hanya akan balik apabila duit itu habis dijoli.

Kesabaran Suhana akhirnya runtuh apabila satu hari Suffian mengamuk dan menolaknya sampai terhumban ke pintu gara-gara ditanya ke mana dia menghilang berminggu-minggu.

Seakan terasa masih panas lagi darah yang mengalir di dahinya dan sejak itu Suhana tekad membawa anaknya pergi jauh dari suaminya.

Suhana kemudiannya memohon fasakh di mahkamah syariah dan bersyukur kerana dirinya sudah bebas dari kisah silam yang amat menyedihkan itu.

Tuntutan fasakh juga antara kes yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur serta menjadi koleksi penghakiman Hakim Syarie, Wan Muhyiddin Wan Muhammad.

Dalam kes ini, Suhana telah memfailkan tuntutan fasakh terhadap suaminya berdasarkan peruntukkan seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (EUUKIS) 2003.

Saman bagi kes itu telah sempurna apabila saman dan penyata tuntutan telah diserahkan kepada defendan secara penyampaian ganti-iklan berdasarkan afidavit penyampaian.

Disebabkan defendan tidak pernah hadir ke mahkamah maka kes itu telah diteruskan dengan keterangan plaintif berasaskan Seksyen 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003.

Berdasarkan penyata tuntutan pindaan dan keterangan plaintif dan alasan plaintif memohon cerai fasakh seperti berikut;

Defendan didakwa cuai memberi nafkah kepada plaintif melebihi tiga - iaitu sejak berkahwin sepuluh tahun yang lalu dan tiada nafkah zahir dan tanggungjawab ke atas keluarga.

Plaintif telah menyediakan dua saksi yang mempunyai hubungan kekeluargaan bagi menyokong permohonan ini.

Dakwaan pertama iaitu nafkah yang gagal disedia defendan di mana mahkamah berpuas hati dengan keterangan plaintif bahawa defendan gagal memberi nafkah sejak Februari 2007.

Defendan juga tiada pekerjaan tetap dan tiada wakilnya datang untuk membantu plaintif.

Dakwaan ini diterima kerana keterangan plaintif disokong dan disahkan oleh saksi-saksi plaintif bahawa defendan gagal menyediakan nafkah zahir lebih dari tiga bulan sejak bulan Februari 2007.

Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan plaintif terpaksa menumpang di rumah tempat dia bekerja dan tinggal bersama-sama enam anaknya setelah dihalau oleh pemilik rumah kerana tidak membayar sewa.

Malah perbuatan defendan yang tidak memberi nafkah secukupnya ke atas plaintif telah menyusahkan hidupnya sedangkan mengikut syarak suami wajib memberi nafkah kepada isteri selagi mempunyai keupayaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dan bagi isteri-isteri itu wajib atas kamu (suami-suami) memberi nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang baik."

Berikutan itu, Wan Mahyuddin mensabitkan perbuatan defendan yang tidak memberi nafkah ke atas plaintif dengan mencukupi dalam tempoh tersebut telah mendatangkan kemudaratan ke atas diri plaintif.

Pernikahan antara plaintif dan defendan difasakhkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan