#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Jun 22, 2011

Duka anak dihina ibu

Puan Aniz,
SAYA terpanggil untuk berkongsi masalah yang telah lama saya pendamkan.

Kalau Puan melihat drama di televisyen tentang ibu tiri yang zalim serta pilih kasih terhadap anak-anak, saya pula lebih hebat lagi dipinggirkan ibu kandung.

Sejak lahir, saya dijaga oleh datuk dan nenek kerana ibu menganggap saya membawa nasib malang. Setelah bersekolah saya diambil semula oleh ibu dan bermulalah episod duka dalam hidup saya. Kulit yang gelap, wajah yang tidak cantik menjadi hinaan ibu. Apa yang saya lakukan serba tidak kena. Jika berlaku pertengkaran dengan adik, ibu akan menyalahkan saya, dan saya akan dipukul.

Pernah dalam satu perselisihan faham adik menolak saya dari anjung rumah tingkat satu, menyebabkan saya koma di ICU. Saya harap ibu berubah selepas kejadian itu, tetapi tidak banyak yang berubah.

Saya cukup tertekan, bagaimana Puan harus saya mulakan langkah pertama mengubat diri yang sangat terluka dan sedih ini.

Dila

Segamat, Johor

DILA, kadang kala warna-warni kehidupan tidak pernah kita duga ada berlaku. Permainan minda, prasangka, kata-kata adalah antara bibit-bibit yang akan membuahkan keindahan mahupun kemudaratan dalam hidup insan.

Ia boleh menjadi doa mahupun sumpah yang akan memakan diri. Kenyataan ini memang perit dan tidak mudah diterima anak kecil yang dahagakan kasih sayang, apatah dalam peringkat tumbesaran.

Gaya asuhan ibu bapa di peringkat kosong hingga 18 tahun merupakan tahun-tahun penting individu membentuk personaliti dan jati diri. Apabila berlakunya lekatan seperti ini, mangsa kurang keyakinan diri, mempunyai kritik diri yang tinggi, cenderung mengasingkan diri dan sering mencari alasan untuk membina boundary selamatnya.

Impaknya, hidup berada dalam fasa krisis yang tidak berpenghujung, peperangan diri antara rindukan kehadiran kasih sayang dan belaian ibu serta rasa terkilan, benci dan marah.

Ini yang terkadang walaupun dianugerahkan Allah hadiah-hadiah yang hebat seperti kerjaya cemerlang, sahabat setia mendengar dan kemewahan tidak kan mampu mengubat luka yang hadir.

Mudah sahaja Dila, ia harus bermula dari dalam diri Dila. Perkara asas yang perlu Dila lakukan adalah memaafkan ibu Dila. Ada sebab dia jadi begitu. Lazimnya individu yang suka mencari permusuhan dengan orang lain ada sisi silam mereka yang juga pahit. Mengikut teori, hanya individu yang pernah didera mampu menjadi pendera. Beban rasa, kesakitan, dendam silam dilepaskan kepada anaknya, itulah yang selalunya berlaku. Adalah menjadi virus keturunan jika dendam silam ini tidak diberes dengan baik. Mulakan belajar untuk menyelami sisi silam dan kehidupan ibu Dila, kenapa agaknya dia bersikap sedemikian.

Apabila Dila lebih mengerti penderitaan mahupun kesakitan yang pernah ibu alami, insya-Allah Dila akan lebih mudah memaafkan ibu. Kata-kata hikmah ada menyebut kemaafan merupakan hadiah paling mahal dan berharga bukan untuk orang lain tetapi untuk diri kita. Bersama iringan kemaafan, ia akan menemukan Dila kebebasan daripada beban rasa yang melelahkan. Bukan itu sahaja, ia akan membawa Dila kepada keharmonian dan kelapangan hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan