#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Jun 22, 2011

Yang salah... lelaki

KISAH jangan hukum isteri kedua minggu lalu menerima banyak pandangan. kebanyakannya menyanggah pengalaman Azharina , namun saya paparkan tiga pandangan yang berbeza.

Puan Lily yang menentang poligami dalam e-melnya berkata, kalau dah ambil laki orang tak payah tanya pandangan orang lain. Sememang jelas wanita tak ada wanita yang gembira dan suka apabila suaminya dirampas.

''Lagi satu, tak payah cakap pasal Qada dan Qadar, kalau semuanya pakai Qada dan Qadar tak payahlah ibu bapa bersusah payah didik anak-anak masing-masing untuk jadi manusia. Bbiarkan saja mereka membesar dan serahkan pada takdir sama ada mereka nak jadi penagih, pembunuh, perompak ataupun perogol. Tawakal saja pada Allah. Adakah itu cara yang Azharina mahu? '' kata Lily.

Puan Sali pula dalam emelnya berkata, tidak ada manusia yang sama pandangan bila bercakap tentang poligami. Namun rata-rata semuanya memang tak suka.

''Saya sendiri tidak sanggup berpoligami. Bukan menentang, tetapi saya tau hati saya dan saya berhak untuk hidup bahagia, walaupun bukan bersama seorang lelaki dipanggil suami. Saya lebih rela berpisah daripada berkongsi. Tahniah wanita yang sanggup bermadu.

''Saya tidak bersetuju jika anda kata suami tak bahagia dengan isteri pertama. Bahagia adalah perasaan dalam diri sendiri. Jika tidak bahagia mengapa harus bersama lagi? Kalau alasannya kerana sayangkan anak-anak, itu alasan paling lemah. Bahagiakah anak-anak melihat ibu bapanya sentiasa bertengkar, bergaduh dan tidak bertegur sapa setiap hari?

''Ingat, anak-anak melihat semua itu, dan ia memberi impak negatif kepada mereka. Jadi lebih baik bercerai. Namun lepas cerai si ayah masih boleh menghubungi, melawat, memberi nafkah kepada anak-anak dan meluangkan masa bersama mereka, itu adalah lebih baik daripada memberikan mereka gambaran palsu dan berpura-pura bahagia sedangkan tidak. Lelaki yang beri alasan tak bercerai kerana anak adalah lelaki yang lemah, tidak berani menghadapi kenyataan.

''Jadi isteri kedua juga mesti bersedia mental dan fizikal. Jangan pula kata isteri pertama tidak faham serta tidak mahu berkorban untuk suami. Tidak cukupkah ketaatan yang dicurahkan, melahirkan anak, mengurus rumah, menjaga maruah suami dan sebagainya, tetapi masih dikatakan tidak bahagia?

Rahsia

''Tidak salah kahwin suami orang, tetapi mesti terus terang, kenapa mesti ada rahsia dan minta orang lain menghormati anda dan jangan tuduh anda perampas. Tidak semua manusia itu sempurna dan sama pemikirannya.

''Memang jodoh pertemuan ketentuan Allah. Tetapi kita manusia ada akal yang Allah berikan jadi berfikirlah mana yang baik dan mana yang buruk, jika masih ingin berkongsi, teruskanlah dan terimalah risikonya dengan redha.

''Jangan terlalu memandang tinggi pada suami konon dia insan serba sempurna dan dianiaya isteri pertama, konon tidak pernah dapat hidup bahagia. Itu semua alasan dangkal,'' demikian kata Sali dalam emelnya yang menentang poligami.

Sementara itu Puan Zee dalam emelnya berkata, dia tersenyum ketika membaca kisah Azharina, kerana dia juga isterfi kedua. Dia juga tidak pernah termimpi nak kahwin suami orang.

''Namun ketentuan Allah jua akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerimanya jadi suami. Tiga tahun lamanya kami merahsiakan perkahwinan dan selama itulah saya berkorban dalam banyak hal, pernah Uzir kenalkan saya sebagai stafnya jika berjumpa orang yang dia kenal.

''Selama ini Uzir sering memberitahu isteri pertamanya begitu sempurna. Saya tidak cemburu kalau dia puji kemahiran isterinya dalam banyak hal. Tapi lama kelamaan saya sedar betapa cinta, kasih dan sayangnya Uzir terhadap isterinya begitu mendalam, malah saya merasa saya tidak diperlakukan dengan adil dalam banyak hal.

''Hinggakan saya sering bertanya kenapa dia kahwini saya kalau sudah ada isteri yang sempurna. Jawapannya mudah, saya baik dan dia sayangkan saya. Jiwa saya sangat terdera bila rahsia perkahwinan kami terbongkar. Uzir bertindak mendiamkan diri mengabaikan perasaan saya yang tertekan ketika saya diserang oleh isterinya.

''Ketika isterinya memaki hamun tuduh saya perosak rumahtangga dan kami anak beranak jadi punca pergaduhan mereka, Uzir hanya berdiam diri seolah-olah saya memang layak dipersalahkan. Konon sayalah hendak berkahwin dengannya.

''Pelbagai kata-kata kesat sehingga menyamakan saya dengan binatang haram dan menuduh saya tamakkan harta Uzir, tetapi saya bersyukur saya masih waras dan menelan saja segala kata-kata nista tersebut dengan deraian airmata.

''Ketika itu saya terasa Uzir telah mengkhianati saya dan tepati janjinya, kerana dia langsung tidak membela saya malah mendiamkan diri. Dan Uzir meletakkan semua kesalahan ke atas bahu saya. Saya percaya Allah Maha Mengatahui dan Maha Adil atas setiap kejadian yang menimpa hambaNya kerana itu saya diam walaupun saya sering menitiskan airmata bila mengenangkan kembali saat-saat itu.

''Sedihnya ketika perniagaan Uzir berjaya dan bertambah mewah, hasil daripada apa saya usahakan hanya isteri dan anak-anaknya sahaja mengecapnya. Malah isterinya mendabik dada mendakwa kejayaan itu hasil pengorbanannya, sedangkan sayalah orang belakang tabir berkerja keras memastikan kejayaan syarikat. Saya bersyukur selama ini saya tidak pernah berharap atau mendoakan keruntuhan rumahtangga madu saya. Malah saya selalu doakan keberbahagiaan mereka.

''Dan mengapa wanita sering menyalahkan kaum wanita sahaja konon jadi perampas, sedangkan kaum lelakilah yang memulakan, menggoda, memujuk, merayu wanita jadi isterinya. Tetapi ketika mereka tersepit, mereka akan bertindak melepaskan diri sendiri, dan meletakkan kesalahan kepada orang lain. Apakah itu adil? Demikian cerita puan Zee tentang pengorbanannya menjadi isteri kedua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan