#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Jun 22, 2011

Rugi RM2,000 selepas berbual

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Menampilkan perwatakan warak dengan berjubah labuh dan bergerak dalam kumpulan, geng pukau di kalangan wanita Arab dipercayai kembali aktif dengan lebih licik menyasarkan wanita tempatan.

Terbaru, seorang suri rumah kerugian lebih RM2,000 apabila wang di dalam beg sandangnya hilang sekelip mata ketika memilih cermin mata di sebuah kedai di hadapan Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Zaleha Othman, 47, bersama suaminya, Suhaimi Ahmad, ke kedai berkenaan untuk melihat cermin mata.

Sewaktu kejadian, hanya ada mangsa, suaminya, seorang jurujual dan pemilik di kedai berkenaan, sebelum empat wanita Arab berjubah hitam dan berselipar masuk ke kedai berkenaan.

Kehadiran keempat-empat wanita itu menjadikan keadaan menjadi tidak selesa kerana ruang kedai yang agak sempit, sekali gus menyebabkan mangsa ingin keluar selain tidak berkenan dengan cermin mata yang dipamerkan.

Namun, katanya, ketika dia hendak keluar seorang daripada wanita Arab itu menghampiri dan menghimpitnya serta bertanya mengenai cermin mata, sementara tiga lagi kelihatan memerhati koleksi cermin mata di kedai itu.

“Saya kemudian meminta dia merujuk kepada juru jual yang berada di situ, tetapi dia enggan dan terus bertanya kepada saya sambil menghimpit saya dengan badannya menyebabkan badan kami bersentuhan.

“Beberapa detik kemudian, barulah wanita berkenaan membuka ruang bagi membolehkan saya keluar daripada kedai berkenaan, sebelum keempat-empat mereka turut bergegas keluar secara tergesa-gesa.

“Ketika itu saya tidak sedar langsung dan saya percaya terkena pukau. Saya yakin ketika dihimpit, wanita Arab terbabit mengambil kesempatan membuka zip beg sandang saya dan mencuri duit di dalamnya,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia hanya menyedari kejadian itu apabila suaminya meminta duit untuk membayar tiket tempat letak kenderaan.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati hanya tinggal beberapa keping wang RM100 dan RM50 di dalam begnya, sedangkan sebelum itu dia membawa lebih RM2,000.

“Menyedari perkara itu, saya dan suami terus berkejar ke Kompleks Pertama untuk mencari wanita berkenaan, malangnya mereka sudah hilang.

“Saya terkejut kerana mereka berani melakukan kegiatan itu di tempat terbuka dan tidak ramai orang, malah saya percaya mereka bergerak secara berkumpulan bagi memudahkan operasi jahat mereka,” katanya.

Dia berkata, pemerhatian melalui rakaman kamera litar tertutup dengan bantuan jurujual terbabit juga gagal mengesan perbuatan jahat tangan wanita Arab terbabit. “Mereka amat licik ketika menjalankan aktiviti itu, kerana kamera litar tidak dapat merakam perbuatan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, dia menasihati orang ramai supaya berhati-hati kerana percaya geng pukau membabitkan warga Arab kembali aktif.

“Saya masih ingat wajah wanita berkenaan dan saya percaya dia berusia sekitar 30-an hingga 40-an dan bertubuh sederhana.

“Saya harap orang ramai lebih berhati-hati ketika berada di kawasan awam, selain sentiasa mengawasi beg yang dibawa selain jangan terlalu mempercayai orang asing,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan