#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Jun 03, 2011

Jangan panik! Lakukan sesuatu

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto IZHAM JAAFAR & ZAINI HUSIN


KEJADIAN menyimbah cecair dipercayai asid di ibu kota semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Melihat angkanya, 23 kes dilaporkan (setakat artikel ini ditulis), bukan satu jumlah yang kecil.

Walaupun mungkin ada yang berkata, cecair yang digunakan bukan asid merbahaya, namun sekurang-kurangnya si pelaku tetap mendapat kepuasan daripada apa yang dilakukannya yang pasti dengan tujuan - menakutkan mangsa. Difahamkan berdasarkan beberapa kes yang disiasat, penjenayah menggunakan air bateri dan thinner untuk menyimbah mangsa.

Bagi mangsa pula yang mana kesemuanya wanita, selain mengalami kecederaan tidak kira berat atau ringan, kesan psikologi pastinya lebih parah lagi.

Keadaan ini mewujudkan rasa panik dan trauma di kalangan mereka.

Apa pilihan yang mereka dan masyarakat di luar sana ada? Tidak keluar rumah? Bagaimana untuk meneruskan rutin kehidupan harian? Jenayah pula tidak mengenal mangsa dan sukar dijangka.

Walau bagaimanapun, jangan biarkan diri menjadi mangsa tanpa melakukan sesuatu kerana kita mampu mengekang kesannya.

“Kejadian simbah cecair dipercayai asid seperti ini bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan. Mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa dan ini menimbulkan ketakutan orang ramai,” kata Pakar Kimia, Profesor Dr. Zainudin Arifin.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Dekan Fakulti Sains Universiti Malaya berkata, kejadian itu boleh diibaratkan sebagai ‘perang kimia’ senyap yang meninggalkan kesan mendalam buat mangsa juga masyarakat sekeliling.

Selain mengharapkan pihak berkuasa berjaya menangkap penjenayah tersebut, beliau menyarankan agar setiap individu perlu melakukan sesuatu supaya si penjenayah berasa serik dan perbuatannya itu sia-sia.

Menurutnya, masyarakat terutama wanita perlu didedahkan maklumat mengenai perkara tersebut dengan mengambil langkah berjaga dan bersedia sepanjang masa.

Jelas beliau, untuk menguatkuasakan larangan penjualan bahan berasid berbahaya di pasaran, ia bukan semudah yang disangka kerana bahan itu digunakan dalam pelbagai urusan harian.

“Lebih maju sesebuah negara, lebih banyak penghasilan asid yang dihasilkan dan kita tidak tahu siapa punya angkara.

“Bagi saya hanya mereka yang bijak dan berpengetahuan tentang hal berkenaan bahan kimia ini sahaja yang akan melakukan perkara seperti ini,” kata beliau.

Kesan

Mengikut kamus Dewan edisi keempat, asid adalah bahan yang mempunyai nilai pH kurang daripada tujuh. Ia bersifat menghakis di mana pada kadar kepekatan tinggi, ia boleh menyebabkan kesakitan, melecur dan rasa terbakar apabila terkena pada kulit atau mata.

“Malah ia melibatkan kesan jangka panjang seperti kecacatan kekal dan buta jika terlalu serius,” kata Prof. Zainudin.

Kebanyakan asid merbahaya katanya mudah didapati dalam bahan yang kita gunakan setiap hari. Misalnya asid sulfurik yang terkandung dalam air bateri kenderaan, asid hidroklorik dalam kebanyakan pencuci peluntur dan asid formik atau biasa disebut cuka getah.

Menurut beliau, asid sulfurik dan asid formik sangat menghakis. Walaupun selepas dicairkan, ia masih tajam dan boleh meninggalkan kesan lecur seperti gelumbung pada kulit mangsa.

Manakala thinner pula berasaskan aseton dan beberapa pelarut lain yang digunakan secara meluas bagi mencairkan cat. Walaubagaimanapun, ia kurang meninggalkan kesan jika terkena pada kulit atau mata jika dibandingkan dengan asid pekat. Namun dalam jumlah yang banyak jika dihidu, ia mampu menyerang saraf optik dan boleh menyebabkan buta.

Merujuk kepada kebanyakan kes simbah yang berlaku, Prof. Zainudin percaya cecair asid yang digunakan penjenayah sudah pun dicairkan terlebih dahulu atas faktor keselamatan si pengendali.

“Kalau ia terlalu pekat, mungkin mereka sendiri yang menjadi mangsa andai tindakan tidak berjaya,” kata beliau.

Bersedia

Sebagai langkah keselamatan andai menjadi mangsa simbahan sebarang cecair sama ada berasid atau alkali, kata Prof Zainudin, setiap individu perlu bersedia tidak kira mangsa.

“Kita tidak tahu bila ia akan berlaku dan siapa yang akan kena. Jika bukan diri sendiri, sekurang-kurangnya kita boleh membantu mangsa jika berada di tempat kejadian sebelum membawa mereka ke klinik atau hospital.

“Perlu diingat, asid pada kadar kepekatan tinggi ia sangat merbahaya dan jika kita melengahkan rawatan, ia boleh memberi kesan yang teruk kepada mangsa,” kata beliau.

Sebagai persediaan, beliau menyarankan supaya membawa bersama sebotol air yang boleh digunakan sebagai pencuci andai terkena sebarang simbahan cecair.

Jelas beliau, biasanya di tempat awam sukar untuk mendapatkan bekalan air. Jadi dengan membawa sebotol air, jika bukan untuk diri sendiri, ia mungkin boleh membantu mangsa yang berada berdekatan dengan kita.

Selain itu, mangsa juga katanya perlu menanggalkan pakaian yang terkena asid. Selepas itu katanya, bawa mangsa ke tandas berhampiran dan biarkan dia berada di bawah aliran air selama 15 hingga 30 minit.

Satu lagi katanya, bagi mereka yang memahami asas kimia yang mudah, sesuatu yang bersifat asid boleh dineutral dengan menambah asas alkali.

“Mungkin bunyinya seperti lucu, namun soda bikarbonat yang kita gunakan untuk menaikkan adunan kek boleh membantu meredakan kesakitan akibat simbahan cecair berasid. Caranya cuma masukkan beberapa sudu dalam air kosong tadi dan kemudian dicurahkan pada tempat yang terkena asid,” kata beliau.

Mengambil contoh serbuk yang banyak dijual di pasaran untuk melegakan perut yang sebu, ia juga sangat membantu.

Selain itu, pemakaian pakaian yang bertutup juga katanya mampu menghalang cecair daripada mencederakan tubuh mangsa.

Beliau turut menyarankan wanita memakai kaca mata hitam ketika berjalan sendirian di tempat terang kerana ia boleh menjadi pelindung pancaindera itu daripada simbahan sebarang jenis cecair.

“Mata merupakan pancaindera yang sangat sensitif. Jika tidak kena gaya, ia boleh menyebabkan masalah yang lebih teruk. Pemakaian kaca mata sangat membantu,” kata beliau.

Bagi mereka yang terkena simbahan cecair mengandungi thinner pula kata beliau, perlu cepat menanggalkan pakaian kerana bahan itu mudah meruap di udara.

Pandangan sudut psikologi

Pakar Perunding Psikiatri dari Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari pula berkata, berdasarkan modus operandi kes, terdapat beberapa sebab penjenayah berkelakuan demikian.

“Jika dilihat pada mangsa yang kena, penjenayah seakan tidak menetapkan sasaran tertentu seperti mahu membunuh atau mencederakan mangsa. Mangsa pula dipilih secara rawak dan ia hanya sekadar untuk menakutkan mangsa,” katanya.

Punca pertama beliau percaya penjenayah mempunyai masalah cacat mental kerana suka melihat orang di sekelilingnya rasa takut dan susah hati.

“Mungkin dia juga mempunyai masalah kecelaruan personaliti kerana suka kepada tindakbalas sedemikian,” katanya.

Beliau juga tidak menolak andaian penjenayah mempunyai personaliti antisosial kerana suka mengganggu norma kehidupan masyarakat.

Bagi penjenayah, dia mungkin rasa gembira apabila melihat orang lain menderita dan keadaan menjadi huru-hara.

Punca yang seterusnya kata Dr. Muhammad Muhsin boleh disebabkan pemikiran obsesif. Dengan melakukan perkara seperti perbuatan menyimbah cecair boleh menyebabkan dia berasa melepaskan segala tekanan yang ditanggung. Manakala punca terakhir beliau berkata, mungkin disebabkan penyakit mental yang serius seperti gangguan halusinasi yang menyuruh penjenayah berbuat demikian.

Bagi beliau, keadaan yang berlaku di ibu kota berbeza dengan kejadian menyimbah asid berbahaya seperti asid formik (cuka getah) yang sering berlaku di negara seperti India dan juga pernah berlaku di Malaysia.

“Ia mempunyai tujuan khusus iaitu mencederakan mangsa dan mahu mangsa cacat serta menderita. Namun dalam kes ini, penjenayah seperti sekadar suka-suka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan