#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Jun 28, 2011

Anak mati, mak rebut harta

SEJAK berkahwin saya diberitahu bahawa dalam Islam, seorang isteri harus dahulukan ibu mentua daripada ibu sendiri. Saya akur dengan kenyataan itu tetapi, malangnya saya tidak ada perasaan sayang terhadap beliau hinggalah usia perkahwinan saya kini mencecah 21 tahun.'' Demikian cerita Juliza dalam e-melnya.

''Mentua saya orang Pantai Timur, saya dari Selangor. Bukan saya tidak cuba berbaik dengannya, tetapi sejak awal perkahwinan dia tunjukkan reaksi tidak sukakan saya. Dia sanggup menyusun pelbagai strategi membenci dan menganiaya saya, menyebabkan rasa sayang kepadanya sukar dipupuk.

''Walau apa pun perbuatannya, saya tidak pernah mengabaikan kebajikannya, kerana saya hormat dan takut balasan Allah kepada saya nanti. Tetapi beliau sanggup menghantar anak perempuannya ke rumah saya sambil meminta kami menyekolahkannya di sini. Namun, selang tiga hari, adik ipar saya mula tunjuk belangnya.

''Bayangkanlah, dia dengan sesuka hati menggunakan barangan peribadi saya tanpa meminta izin. Bila-bila suka dia ambil pakaian dalam saya walaupun saiz badan kami berbeza. Di sebabkan tekanan demi tekanan, saya minta tolong kawan saya kaunselingkan adik ipar saya itu.

''Akhirnya terbongkar rahsia, ipar saya mengaku segala perbuatannya disuruh ibu mentua untuk menyakitkan hati saya.

''Mentua saya juga pernah memaki hamun saya dalam telefon semata-mata kerana suami saya lambat kirim duit padanya. Dia tuduh saya kontrol gaji anaknya. Untuk pengetahuan pembaca, suami saya selalu tidak cukup duit kerana dia banyak berhutang sejak sebelum kami berkahwin lagi.

''Bukan tujuan saya mengumpat, tetapi sekadar meluahkan rasa sedih kerana wang yang dikirimkan kepadanya adalah daripada duit gaji saya sendiri. Namun saya tidak pernah memberitahu ibu mentua saya tentang hal ini.

''Dipendekkan cerita, akhirnya ibu mentua saya dapat terima saya, itupun setelah dia terasa dipinggirkan dan tidak dipedulikan oleh anak-anak kandung dan menantu lain, yang dengan berani menunjukkan rasa tidak sukakan sikapnya.

Kecil Hati

''Kerana rasa kecil hati dengan perbuatan mereka, barulah mentua saya menyedari bahawa sayalah menantu yang banyak ambil berat tentang dia. Mentua rasa lebih sedih bila ada anaknya yang tidak dapat menerima dia kerana sikapnya memang luar biasa.

''Walaupun akhirnya saya diterima mentua, namun perasaan saya tidak suka terhadapnya semakin menjadi-jadi. Ia berlaku sejak kejadian dua tahun lalu bila mana adik suami saya menghidap kanser. Ketika itu tembelang ibu mentua saya terbongkar. Dia susah hati harta yang akan ditinggalkan oleh anaknya bila mati nanti.

''Dia minta kami suami isteri campur tangan, tetapi kami tidak layan kehendaknya. Bayangkan ketika anaknya menderita penyakit kanser, mentua saya sanggup bertanya anaknya tentang harta yang ada dan atas nama siapa.

''Bila dia tahu, semua harta atas nama isterinya, mentua saya tidak dapat terima hakikat dan rasa amat kesal. Pada malam anaknya meninggal dunia, dia mula buat cerita bahawa anaknya tidak sempat beritahu harta yang mahu diberikan padanya.

''Disebabkan terlalu malu dan kecewa dengan sikap mnrtua saya, kami tidak sanggup bermalam di rumah ipar saya. Sebaliknya kami anak beranak bermalam di hotel, kerana kami tidak mahu mendengar sebarang perkataan daripada mertua saya tentang harta pusaka anaknya itu.

''Esoknya, kami singgah lagi rumah arwah. Apa yang mengejutkan, mentua saya tanpa rasa segan silu bertanya pada setiap kawan arwah tentang bilangan harta yang arwah tinggalkan. Bayangkan apa perasaan biras saya ketika itu?

''Seminggu selepas arwah meninggal, mentua saya semakin gelisah. Mulutnya tidak habis-habis bercakap soal harta pusaka arwah. Saya tahu biras saya tersinggung dan dia meminta tempoh untuk memberi hak atas harta itu kepada ibu mentua saya.

''Dipendekkan cerita, selang tiga bulan mentua saya meminta kami menghantarnya ke rumah arwah dengan alasan hendak menghadiri kenduri arwah. Setelah sampai, kami tinggalkannya di situ kerana tidak dapat cuti.

''Tetapi tidak sampai pun dua hari, isteri arwah menelefon kami supaya mengambil semula ibu mentua. Suami saya bergegas ke rumah arwah dan di situlah kami menyaksikan satu episod drama yang sangat menyayat hati. Mentua saya sanggup menjerit-jerit meminta harta pusaka arwah.

'' Beliau berguling-guling di depan rumah arwah tanpa perasaan malu kepada jiran tetangga. Sayu hati saya hanya Allah yang tahu. Ditakdirkan kejadian itu berlaku pada saya, tentu mertua saya akan melakukan yang sama kepada saya.

''Untuk meredakan hatinya yang sedih, kami membawanya berjumpa imam di tempat saya dengan niat biar lembut sedikit hatinya. Malangnya apa yang berlaku di luar dugaan kami, mertua saya berani berlawan cakap imam yang menasihatinya.

''Alangkah terkejutnya kami bila kami lihat imam tersebut yang menangis. Dia sedih kerana kebiasaannya anak-anak yang berebut harta peninggalan ibu bapa tetapi apa yang berlaku ibu yang berebutkan hartanya anaknya.

''Kini keadaan mertua saya amat menyedihkan. Dalam tujuh orang anak yang dilahirkan, tidak seorang anak pun yang menghormatinya termasuk suami saya. Di sebabkan dosa seorang anak itu terletak di bawah tapak kaki ibunya, saya nasihatkan dan mengingatkan suami saya agar hormatilah ibu, walau apa pun tindakannya, dia tetap ibu.

''Saya bersyukur kerana saya masih ada perasaan takut hukum Allah, kerana itu saya cuba pelihara tutur kata dan tingkah laku terhadap ibu mentua saya, cuma saya tidak mampu berbohong pada diri sendiri bahawa saya tidak ada perasaan kasih terhadapnya.''

Demikian cerita Juliza yang selama 20 tahun bersabar menghadapi kerenah mentuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan