#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, September 01, 2009

Dasar Wanita Negara 2009 lebih dinamik

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my

Dikemas kini selepas 20 tahun dasar pertama diperkenal bagi perkasakan wanita dalam arus perdana secara komprehensif

SELEPAS 20 tahun, akhirnya Dasar Wanita Negara 2009 yang diluluskan Kabinet pada 22 Julai lalu dilancarkan, sekali gus menjadi aspirasi untuk memberikan lonjakan dan nafas baru dalam usaha kerajaan memperdanakan wanita di negara ini dalam pembangunan negara.

Pengenalan dasar baru yang dilancarkan sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2009 itu juga sejajar dengan perubahan persekitaran dan keperluan masa hadapan dalam dunia globalisasi yang semakin kompetitif.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Dasar Wanita Negara yang digubal kerajaan pada 1989 adalah titik tolak kepada agenda pembangunan negara yang sangat penting kerana buat pertama kalinya, garis panduan yang konkrit untuk mengintegrasikan wanita sepenuhnya dalam pembangunan negara, diwujudkan.

Beliau berkata, kemajuan dan pencapaian wanita Malaysia di bawah Dasar Wanita Negara yang pertama amat terserlah sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat, keluarga mahupun individu.

“Menyedari keperluan untuk potensi wanita yang menjadi separuh daripada kekuatan negara ini digilap secara optimum, kerajaan menggubal Dasar Wanita Negara pada 1989. Dasar ini mengandungi strategi khusus bagi memastikan impak positif wanita dalam proses pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2009 di ibu negara, baru-baru ini.

Pelancaran Dasar Wanita Negara 2009 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Shahrizat berkata, dasar baru berkenaan berhasrat untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri dengan melahirkan wanita berilmu serta berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi, di samping menghayati nilai-nilai murni.

Katanya, dasar itu juga bermaksud untuk memberi panduan dan hala tuju dalam usaha perancangan dan pelaksanaan pembangunan wanita atas kesedaran bahawa wanita adalah separuh daripada penduduk negara yang menyumbang gigih kepada pembangunan negara.

“Kerajaan berasakan perlu dan penting Dasar Wanita Negara yang digubal 20 tahun lalu dikaji semula dan diperkemaskan supaya lebih relevan. Hasilnya, Dasar Wanita Negara 2009 diperkenalkan dan ia adalah dasar yang progresif dan dinamik serta mampu menjadi peta laluan bagi wanita Malaysia mencorakkan landskap pembangunan ekonomi, sosial dan politik negara.

“Dasar ini adalah hasil daripada percambahan minda, konsultansi dan pemuafakatan antara agensi kerajaan, ahli akademik, kumpulan pakar, sektor swasta serta NGO yang arif dan berpengalaman dalam bidang masing-masing,” katanya.

Antara pembaharuan yang diketengahkan dalam dasar baru itu ialah pembudayaan kesaksamaan gender di kalangan badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman, di samping langkah membenarkan untuk meningkatkan penyertaan wanita pada peringkat pembuat keputusan.

Dasar berkenaan turut menggalakkan sinergi multi sektor untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi wanita serta penyelidikan dan pembangunan yang menjurus kepada pengumpulan serta pengaplikasian data mengikut pecahan gender.

“Dasar yang dilancarkan ini akan turut disusuli dengan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) bagi memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan dan bukan kerajaan. Dalam Pelan Tindakan berkenaan dimuatkan inisiatif untuk pembangunan wanita yang merangkumi 13 sektor utama, antaranya ekonomi, kemiskinan, undang-undang, keganasan terhadap wanita dan kesihatan,” katanya.

Shahrizat berkata, ledakan teknologi maklumat, proses globalisasi, transformasi politik serta perubahan iklim ekonomi baik pada peringkat nasional mahupun global memberikan pelbagai bentuk cabaran baru untuk wanita Malaysia .

Katanya, antara cabaran utama dihadapi ialah kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh masih rendah. Statistik terkini menunjukkan kadar penyertaan wanita di negara dalam sektor pekerjaan adalah pada kadar 45.7 peratus jika dibandingkan dengan peratusan tenaga kerja wanita di negara lain yang mencecah sehingga 70 peratus.

Kedua, isu pembangunan ekonomi wanita dan isu kemiskinan terutama di kalangan isi rumah yang diketuai oleh wanita termasuk ibu tunggal di bandar dan luar bandar. Ketiga, masih terdapat undang-undang dan peraturan yang dianggap mendiskriminasikan wanita walaupun secara tersirat.

Keempat, peningkatan kes keganasan terhadap wanita termasuk keganasan rumah tangga, rogol, sumbang mahram, pencabulan dan gangguan seksual di tempat kerja, manakala kelima, risiko yang lebih tinggi berkaitan isu kesihatan masa kini seperti barah dan HIV/Aids.

INFO
Dasar Wanita Negara 2009:


  • Dasar Wanita Negara adalah dasar pembangunan sosioekonomi yang merangkumi falsafah, inspirasi dan aspirasi wanita daripada pelbagai peringkat, umur, lapisan masyarakat serta semua sektor.

  • Dasar Wanita Negara 2009 adalah kesinambungan kepada dasar yang digubal pada tahun 1989 dengan mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan yang akan datang.

  • Dasar Wanita Negara mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender seperti yang termaktub dalam:

    - Perlembagaan Persekutuan

    - Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW)

    - Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC)

    - Deklarasi dan Pelan Tindakan Mengenai Pembangunan Wanita Dalam Negara Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM)

  • Dasar ini dilengkapi Pelan Tindakan Pembangunan Wanita bagi memperincikan tindakan yang perlu diambil.
  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan