#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, September 06, 2009

Wang hantaran tinggi tak janji bahagia

Ummah kena sederhana ikut syariat dalam isu mahar kepada pengantin perempuan

MAHAR disebut juga sebagai mas kahwin yang bermaksud satu pemberian yang diwajibkan Allah SWT ke atas suami untuk isterinya sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib..." (An-Nisa': 4).

Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menyebut bahawa ayat ini ditujukan kepada suami sebagai satu perintah daripada Allah yang mengarahkan suami supaya memberikan mas kahwin kepada isteri mereka dan ayat ini pada masa yang sama ditujukan kepada wali pengantin perempuan pada zaman Jahiliah kerana mereka mengambil mas kahwin dan tidak diberikan kepada pengantin perempuan.

Allah SWT menggunakan perkataan nihlah merujuk mas kahwin dalam ayat di atas sebagai satu penegasan bahawa mas kahwin ialah pemberian khas daripada Allah untuk pengantin perempuan diwajibkan ke atas pengantin lelaki yang menjadi milik mutlak wanita dan bukannya milik wali atau keluarga wanita berkenaan.

Ini adalah satu batas sempadan baru yang membezakan amalan orang Islam dengan amalan orang Jahiliah sebelum kedatangan Islam dan satu batas sempadan baru yang membezakan syariah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, Rasul terakhir dengan syariah nabi dan rasul yang terdahulu.

Masyarakat Melayu terkenal dengan masyarakat berbudi bahasa, bersopan santun dan beradat resam. Antara ungkapan yang popular yang berkaitan dengan adat dan budaya kita ialah 'biar mati anak jangan mati adat.'

Islam tidak pernah memusuhi adat dan budaya selagi adat itu tidak bercanggah dengan prinsip asas yang ada dalam ajaran Islam serta menguntungkan umat Islam.

Antara adat resam kita di sesetengah negeri berkaitan adat perkahwinan ialah pemberian wang hantaran kepada pihak keluarga isteri.

Perbezaan ketara antara mahar dan hantaran ialah mahar satu perkara wajib yang disebut dengan jelas dalam al-Quran dan A-Sunnah al-Nabawiah, manakala wang hantaran adalah satu perkara harus yang menjadi amalan masyarakat setempat.

Pada masa kini, wang hantaran lebih diutamakan masyarakat berbanding mahar. Ini bermakna kita mengutamakan perkara harus melebihi perkara wajib. Buktinya, rata-rata mahar yang disebut ketika akad berbentuk puluhan ringgit atau ratusan ringgit saja, manakala hantaran pula berbentuk puluhan ribu ringgit.

Ramai yang beranggapan bahawa mahar yang diberikan kepada isteri perlu sedikit agar rumah tangga lebih diberkati. Andaian ini berasaskan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Bahawa sebaik-baik nikah yang berkat itu ialah yang paling mudah mas kahwinnya." (Riwayat Abu Daud).

Benarkah keberkatan sesebuah perkahwinan diukur dengan melihat kepada nilai mahar yang sedikit atau rendah? Jika mahar yang diberikan dalam jumlah yang rendah dan disebut dalam akad oleh pengantin lelaki seperti: "Aku terima nikahnya Pulanah binti Pulan untuk diriku dengan mas kahwin sebanyak RM99 tunai," namun pada masa sama pengantin lelaki terbeban dengan jumlah wang 'hangus' yang tidak disebut sebagai mahar tetapi disebut sebagai wang hantaran berjumlah puluhan ribu ringgit sehingga mencecah angka RM99,999.99 atau lebih daripada itu. Persoalannya adakah perkahwinan itu amat diberkati Ilahi.

Imam al-Ghazali dalam kitab Al-Mustasfa ada menyebut lima asas penting Maqasid Syarak iaitu untuk menjaga agama, diri (jiwa raga), akal, keturunan dan harta. Perkahwinan dalam Islam bermatlamat menjaga kesucian keturunan manusia agar terus berkekalan ke akhir zaman. Islam menolak perbuatan zina kerana ia boleh mengancam institusi keluarga dan hidup berumah tangga yang menjadi asas penting dalam pembinaan masyarakat.

Melihat kepada makna tersirat di sebalik kaitan keberkatan dalam rumah tangga dan rendahnya mas kahwin, Iman al-Shan'ani pengarang kitab Subul al-Salam menegaskan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah ialah disunatkan berkahwin dengan mas kahwin yang rendah dan ringan.

Imam al-Shaukani, pengarang kitab Nailul al-Author menyebut bahawa apa yang tersirat di sebalik hadis itu ialah jika mas kahwin itu rendah, sedikit dan mudah, hal ini bertujuan tidak merumitkan bakal pengantin mendirikan rumah tangga, ramai pasangan akan dapat mendirikan rumah tangga tanpa mengira mereka itu daripada golongan miskin atau kaya.

Dengan ada perkahwinan, sudah pasti akan bertambahnya bilangan umat Islam dan membanyakkan bilangan umat Islam adalah matlamat dan wawasan utama perkahwinan dalam Islam.

Nabi bersabda yang bermaksud: "Berkahwinlah (dengan wanita yang berakhlak mulia dan yang subur, sesungguhnya aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai. (Riwayat Abu Daud). Jelas matlamat asal hadis berkaitan rendahnya mas kahwin wanita ialah untuk mengelakkan pasangan lelaki daripada dibebani dengan hutang yang cukup berat selepas bergelar suami atau menyukarkan mereka daripada mendirikan rumah tangga lantas mereka bergelombang dengan dosa khalwat atau perzinaan.

Namun tercapaikah apa yang tersirat di sebalik hadis itu dengan apa yang berlaku dalam masyarakat kita iaitu adat dan budaya telah membebankan pasangan pengantin lelaki bukan atas nama mas kahwin tetapi wang hantaran perkahwinan yang akhirnya menjadi wang hangus hanya sekadar membiayai majlis perkahwinan itu sendiri.

Dalam Islam mengadakan majlis perkahwinan ialah sunnah fadilah yang digalakkan, namun disunatkan mengikut tahap kemampuan pasangan pengantin lelaki.

Sudahlah jatuh ditimpa lagi dengan tangga, bagi bakal pengantin lelaki yang tidak berkemampuan kerana terpaksa membiayai dua kenduri serentak, satu di rumah isteri atas nama wang hantaran dan satu di rumah sendiri, hal ini tentulah membebankan pasangan pengantin lelaki.

Dalam menghadapi kegawatan ekonomi adalah wajar kita menilai kembali adat yang tidak menguntungkan masyarakat kita terutama bagi mereka yang tidak berkemampuan, sewajarnya ungkapan 'biar papa asal bergaya' sudah tidak ada dalam pemikiran masyarakat kita setelah 52 tahun kita mencapai kemerdekaan .

Apa guna menjadi raja sehari tetapi menjadi hamba menanggung hutang buat selama-lamanya lantaran tingginya wang hantaran yang ditetapkan.

Lebih memedihkan lagi, tanpa mengira suami atau isteri, jika rumah tangga juga turut 'terbakar hangus' bersama wang hangus dan hanya dapat bertahan seminggu atau sebulan atau setahun.



Meninggikan mas kahwin mereka bagi yang berkemampuan atau meninggikan bayaran wang hantaran bagi yang berkemampuan bukanlah satu kesalahan jika mahar yang tinggi itu tidak menyusahkan dan menyukarkan proses pernikahan dan dilakukan dengan tulus ikhlas dan tidak disertakan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau berada dalam perlumbaan meninggikan mahar atau wang hantaran.



Ada kalanya mahar yang tinggi milik mutlak isteri jika diurus dengan baik boleh dijadikan payung ketika hujan, bukankah menyediakan payung sebelum turunnya hujan satu sifat yang terpuji.

Apabila hari hujan tempat berteduh pasti dicari, adalah lebih baik meninggikan mas kahwin dengan kadar yang sepatutnya yang bakal digunakan, contohnya sebagai pendahuluan membeli rumah sebagai tempat berteduh yang kekal yang pasti akan membahagiakan pasangan yang baru berkahwin daripada dihanguskan wang berkenaan kerana namanya wang hangus semata-mata untuk berbangga dengan majlis perkahwinan dan hasilnya ialah ucapan pujian daripada tetamu kedengaran kerana indah dan gahnya majlis perkahwinan, namun pasangan suami isteri kekal berteduh di rumah sewa.

Masihkah kita ingin bersikap menang sorak kampung tergadai atau bersederhana yang pastinya sifat terpuji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan