#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, September 01, 2009

Cabaran prasekolah

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my




Ada menyatakan hantar anak ke tadika swasta lebih terjamin, boleh membaca serta menulis dengan baik

APABILA kanak-kanak di negara ini mencapai usia lima hingga enam tahun, ibu bapa lazimnya akan memastikan anak mereka dihantar ke tadika atau tabika sama ada yang dibiayai oleh kerajaan atau pun swasta. Langkah itu adalah sebagai persediaan, menyediakan asas yang kukuh kepada kanak-kanak itu sebelum pendidikan formal di sekolah rendah.

Namun, agak mendukacitakan walaupun sudah dihantar ke prasekolah, ada kanak-kanak yang sudah memasuki Tahun Dua mahu pun Tiga, masih tidak dapat mengenal ABC atau hanya mampu membaca merangkak-rangkak. Sehingga akhirnya, terpaksa mengikuti kelas pemulihan bagi menguasai kemahiran berkenaan.

Kegagalan kanak-kanak yang sudah melangkah ke sekolah rendah menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dengan baik, meskipun mendapat pendidikan awal prasekolah adalah antara cabaran dunia pendidikan masa kini.

Bagaimanapun, yang membimbangkan, jika masalah itu dibiarkan berterusan kanak-kanak terbabit mungkin hilang terus minat mereka untuk ke sekolah. Akhirnya, boleh menyebabkan mereka tercicir daripada alam persekolahan.

Isu itu turut menimbulkan pertanyaan, di manakah silap atau apakah kekurangannya sehingga kanak-kanak itu tidak boleh membaca dan menulis walaupun mereka sudah mendapat pendidikan awal persekolahan.

Selain memberikan pelbagai pendapat, ada juga yang membuat perbandingan dan menyatakan menghantar anak ke tadika atau tabika swasta adalah lebih baik serta terjamin bagi memastikan mereka boleh membaca dan menulis dengan baik.

Dengan yuran lebih mahal dan kelengkapan serta kemudahan serba lengkap dan canggih disediakan oleh tadika swasta, ibu bapa yang menghantar anak mereka ke prasekolah seperti itu sudah tentu mengharapkan pencapaian lebih baik.

Persoalannya, adakah benar persepsi bahawa tadika swasta lebih baik berbanding tabika yang dibiayai kerajaan dan jauh lebih murah yurannya? Tadika swasta juga dikatakan turut memberi jaminan kanak-kanak yang dihantar ke situ tidak akan berdepan dengan masalah kegagalan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) apabila memasuki sekolah rendah kelak.

Guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas PPR Kerinchi, Azizah Ibrahim, berkata persepsi itu tidak tepat sama sekali. Apatah lagi, corak pengajaran dan pembelajaran di tadika swasta serta tabika dibiayai kerajaan, tidak jauh bezanya.

Berpengalaman 10 tahun dalam bidang pendidikan prasekolah, Azizah berkata, kegagalan kanak-kanak membaca bukan bergantung sama ada prasekolah itu swasta atau pun sebaliknya tetapi ada banyak faktor lain.

“Tidak dinafikan persekitaran dan kemudahan yang disediakan oleh tadika swasta adalah lebih baik tetapi ia berbaloi dengan bayaran dikenakan apabila kanak-kanak belajar di situ. Bagaimanapun, pengalaman saya mendapati ada juga kanak-kanak yang belajar di Tabika Kemas, misalnya dan hanya mengenakan bayaran RM20 sebulan, pencapaiannya jauh lebih daripada yang belajar di tadika swasta serta terpaksa membayar beratus ringgit sebulan. Malah, pernah berlaku ada ibu bapa yang tidak puas hati dengan pencapaian anaknya di tadika swasta menghantar anak ke tabika Kemas dan hasilnya, kanak-kanak itu menunjukkan kemajuan,” katanya.

Azizah berkata, jika kemajuan kanak-kanak yang dihantar ke tadika swasta adalah lebih baik itu memang sewajarnya kerana dengan suasana lebih selesa dan kondusif, sudah tentu tumpuan pembelajaran adalah lebih baik.

Katanya, berbanding dengan tabika yang dibiayai oleh kerajaan ada beberapa kekurangan atau kelemahan terutama pada persekitaran dan kelengkapan alat bantu bantu mengajar, sekali gus ada ketika tumpuan pembelajaran kanak-kanak tidak begitu memberangsangkan.

“Namun, tidak semua ada juga tabika Kemas yang keadaannya cukup sempurna. Ini bergantung ikut sesuatu tempat dan kawasan. Misalnya, di tempat saya mengajar kini, tempatnya agak kecil dan hanya mampu menampung sehingga 25 kanak-kanak saja.

“Dalam keadaan tempat yang terhad, kanak-kanak berusia lima dan enam tahun terpaksa dicampurkan dalam satu kelas. Ada yang melihat ini tidak bagus kerana perbezaan usia menyebabkan pembelajaran menjadi sukar kerana cara penerimaannya tidak sama.

Sebenarnya, inilah bukanlah masalah besar kerana biasanya apabila membuat latihan atau gerak kerja, saya akan bezakan mereka mengikut usia. Mungkin ada sedikit kelemahan tetapi kadang-kadang saya lihat kanak-kanak usia lima tahun pencapaiannya lebih baik daripada yang berusia enam tahun,” katanya.

Azizah berkata, selain sifat kendiri kanak-kanak, peranan ibu bapa sebenarnya jauh lebih penting bagi menggalakkan kanak-kanak cepat dapat membaca dan menulis.

Ibu bapa tidak boleh hanya mengharapkan guru untuk mendidik anak mereka sedangkan tiada usaha langsung yang dilakukan di rumah sebagai galakan untuk anak terus meningkatkan pembelajaran.

“Pembelajaran untuk anak mestilah berterusan. Kita kena faham konsep belajar di tabika hanya antara dua hingga tiga jam sehari. Ini sudah tentu tidak cukup. Jadi, apabila anak berada di rumah perlu ada kesinambungan dan ibu bapa perlu beri dorongan serta membantu sama anak belajar.

“Selain itu, interaksi antara ibu bapa dan guru mestilah dua hala. Jika ada interaksi itu barulah kita sama-sama dapat mengesan lebih cepat kelemahan atau kekurangan yang ada pada kanak-kanak itu. Di tabika, seorang guru yang terpaksa mengajar 25 murid tentu sukar atau lambat mengesannya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan