#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, September 01, 2009

Pembelajaran, pengajaran lapuk

Pendekatan membosankan kanak-kanak manakala buku yang ada tidak kreatif, imaginatif

KUALITI standard untuk semua prasekolah di negara ini perlu diwujudkan. Ini berikutan, kebanyakan pendekatan pembelajaran dan pengajaran yang digunakan di tabika atau tadika di Malaysia sebenarnya adalah lapuk. Hakikatnya, jika kita sudah berpuas hati dengan tahap taska atau tadika sekarang, kita akan terus berada di takuk yang lama.

Pandangan itulah dikongsikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Hasnah Toran, bagi mengulas kegagalan atau ketidakupayaan kanak-kanak sekolah rendah menguasai 3M - membaca, menulis dan mengira, meskipun mendapat pendidikan awal di prasekolah.

Hasnah berkata, isu itu sudah pun lama dibincangkan, tetapi sehingga kini mekanisma untuk memantau kualiti standard itu belum dibangunkan.

"Tadika atau tabika di negara ini masih menggunakan pendekatan atau kurikulum yang disebut 'watered-down Year 1 curriculum'. Malah, paradigma dan falsafah mengenai pendidikan awal kanak-kanak di negara ini masih belum tepat serta perlu diubah.

"Kurikulum masa kini juga tidak mengajar kanak-kanak menjadi pemikir. Mereka hanya perlu diam dan pasif serta hanya turut apa saja arahan guru. Komunikasi hanya sehala dan bukannya dua hala. Berbanding pendidikan awal di negara maju yang mementingkan perkembangan kemahiran sosio emosi dan sifat cintakan ilmu 'versus' akademik. Saya tidak katakan akademik tidak penting diajar tetapi apa yang ditekankan, skop pembelajaran dan pengajaran prasekolah di negara ini perlukan perubahan paradigma," katanya.

Beliau berkata, kegagalan atau ketidakupayaan kanak-kanak yang sudah memasuki sekolah rendah menguasai 3M bukan hanya diukur sama ada kanak-kanak itu dihantar ke prasekolah swasta atau sebaliknya.

Tidak dinafikan, perbezaan kualiti dari satu prasekolah ke prasekolah yang lain memang ada tetapi tidak adil jika ingin membanding atau menilai sekilas pandang sama ada sesebuah prasekolah itu baik atau pun tidak elok mutunya.

Begitu juga faktor antara kanak-kanak di luar bandar dan bandar, sebaliknya persekitaran yang lebih banyak menyumbang. Contohnya, di bandar kononnya banyak kemudahan tetapi kalau kawasan itu banyak kegiatan gangsterisme, ia juga membawa impak negatif kepada perkembangan kanak-kanak.

"Sekolah yang lengkap dengan kemudahan dan kelengkapan alat pembelajaran juga hanyalah salah satu faktor dan bukan punca utama menjadi penyumbang utama kepada tahap pencapaian kanak-kanak. Semua keadaan itu kita kena faham," katanya.

Beliau berkata, faktor dikenal pasti ialah biologikal dan persekitaran. Faktor bioligikal boleh jadi disebabkan oleh kurang keupayaan kanak-kanak itu sendiri seperti disleksia, ADHD (menyebabkan kanak-kanak susah hendak fokus apabila diajar) dan paling teruk sekali adalah kurang keupayaan intelektual (dulu dipanggil Terencat Akal) serta pelbagai isu biologikal yang lain.

Katanya, bagi faktor persekitaran banyak kajian di Barat yang mengkaji impak Status Sosial Ekonomi (SES) keluarga terhadap pencapaian kemahiran bacaan. Banyak program intervensi awal sekitar hujung tahun 60-an dan awal 70-an yang mengkaji impak program begitu bukan saja kemahiran membaca tetapi juga bidang perkembangan lain seperti kognitif, komunikasi dan sosial emosi.

"Kajian itu memang menunjukkan hubungan antara perkembangan kanak-kanak secara am dan faktor persekitaran. Contoh lain faktor persekitaran adalah tahap pelajaran ibu bapa, budaya membaca di rumah dan sebagainya manakala pengajaran di tadika ada yang berkualiti dan ada yang tidak. Justeru, kita perlu wujudkan suatu standard untuk memantau kualiti tadika atau tabika di negara ini," katanya.

Hasnah berkata, fokus kepada amalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) membaca di tadika atau tabika pula, didapati bahawa pendekatan yang digunakan di negara ini adalah 'cepat membaca' dan bukannya 'cinta membaca'.

Katanya, apa dimaksudkan ialah bukan saja guru atau pengasuh, malah ibu bapa sendiri terlalu taksub mahukan anak mereka cepat membaca. Hantar anak ke tadika mahupun taska pada umur tiga tahun, sebulan lepas itu mereka akan bertanya sama ada kanak-kanak berkenaan sudah boleh mengenali ABC atau belum.

Akibat terlalu taksub dengan usaha supaya kanak-kanak cepat membaca, ada yang akan mengguna kaedah bukan saja tidak baik, malah sudah ketinggalan seperti menghafal dan sebagainya. Inilah kaedah yang diamalkan di kebanyakan tadika atau tabika di Malaysia.

Hasnah berkata, selain itu buku-buku yang terdapat atau digunakan pula tidak kreatif dan tidak imaginatif, malah contoh ayat diberi tidak diterima akal oleh kanak-kanak serta tidak menyeronokkan.

"Jangan salahkan kanak-kanak jika mereka cepat jemu. Orang dewasa juga boleh jemu, apatah lagi kanak-kanak yang dihadapkan dengan buku berkenaan sebulan dan mungkin setahun. Melalui pendekatan itu kanak-kanak belajar membaca dalam situasi membosankan dan hanya membaca apabila dipaksa.

"Kanak-kanak sentiasa meneroka persekitaran dan membina makna dengan apa yang mereka lihat dan alami. Oleh sebab itu minat adalah penting. Pertama sekali, kita perlu pancing minat mereka dengan buku yang menarik, cantik, berwarna warni dan imaginatif. Begitu juga dengan aktiviti membaca yang seronok dan kreatif, jangan asyik belajar menghafal saja.

"Pengalaman saya mengikuti aktiviti taska dan tabika di Barat mendapati, walaupun sudah berusia saya berasa begitu seronok. Aktiviti membaca di sana disulami dengan pantomin, permainan patung dan sebagainya. Aktiviti ini kita panggil, Kemahiran Awal Membaca. Kanak-kanak kalau sudah cinta dengan buku atau membaca, mereka tidak akan boleh renggang dengan buku. Kalau diberi pilihan mainan atau buku, kanak-kanak yang sudah jatuh cinta tentu akan pilih buku," katanya.

Hasnah berkata, dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, ada kemahiran lain yang harus diutamakan. Contohnya, pada usia tiga hingga empat tahun amat penting bagi kanak-kanak itu untuk mengembangkan kemahiran sosial emosi mereka.

Bagaimanapun, terdapat debat yang mengatakan bahawa terdapat kanak-kanak yang sendiri sudah minat atau cenderung membaca pada usia muda.. Jika sudah ada kecenderungan, menjadi kesalahan pula jika menghalang minat mereka.

"Kanak-kanak pelbagai, maksudnya terdapat kepelbagaian antara mereka jadi cara kita 'tackle' pun kena ikut keserasian dengan peribadi mereka. Tetapi apa yang saya susah hati, terdapat guru dan ibu bapa yang memaksa kanak-kanak belajar pada usia mereka belum bersedia lagi. Apabila pada usia itu kanak-kanak tidak atau belum berminat, mereka ini dilabel sebagai nakal atau malas. Apabila mereka tidak dapat baca, dilabel sebagai bodoh atau lembam. Bahaya label melabel ini sebab kita bimbang kanak-kanak akan kekal percaya dengan label yang mereka dapat, maka mereka pun kurang minat belajar apabila dilabel nakal, malas atau bodoh," katanya.

Ditanya adakah isu tidak boleh membaca dan menulis di kalangan kanak-kanak Tahun 1 perlu dipandang serius Hasnah berkata, di negara Scandinavia contohnya, kanak-kanak tidak diajar membaca secara formal sehinggalah mereka masuk umur tujuh tahun.

Bagi mereka tidak wajar ajar sebelum tujuh tahun. Sebelum usia itu penekanan diberikan kepada perkembangan sosial emosi dan komunikasi. Jika kedua-dua kemahiran itu mantap dan kanak-kanak tiada risiko biologikal, selalunya dalam tiga bulan pertama pengajaran dan pembelajaran membaca secara formal, kanak-kanak sudah pasti dapat menguasai kemahiran membaca.

Beliau berkata, bagi kanak-kanak yang ada masalah membaca, perlu menggunakan pendekatan lain. Mulakan intervensi peringkat yang paling ringan sekali. Kalau masalahnya tidak berat selalunya dengan intervensi peringkat sedemikian, ia sudah boleh membantu mereka.

"Satu paradigma yang penting sekarang dalam pendidikan awal kanak-kanak ialah "Respecting the Child". Walau apa pun pencapaian mereka, kita jangan label atau malukan mereka dengan hukuman mahupun denda.

"Di negara maju, ada pendekatan pull-out, di mana kanak-kanak yang ada masalah membaca akan di ajar dalam kumpulan kecil tiga hingga empat orang atau kalau masalahnya lebih serious one-to-one. Tetapi guru yang mengajar membuatkannya sungguh seronok dan menarik sehinggakan kanak-kanak yang tiada masalah membaca pula cemburu serta berminat hendak menyertai kumpulan kecil ini," katanya.

Hasnah turut berpendapat, ketidakbolehan membaca dan menulis di peringkat sekolah rendah akan menyebabkan kanak-kanak itu tidak minat belajar, malah boleh menyebabkan mereka tercicir terus dalam alam persekolahan

Katanya, kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kanak-kanak yang jauh ketinggalan kemahiran membacanya di Gred 3, akan mempunyai masalah untuk bersaing dengan rakan sebaya yang lain.

Bagaimanapun, beliau percaya masih banyak ruang kosong boleh dilakukan bagi membantu atau mengatasi masalah kanak-kanak yang sudah berada sekolah rendah tetapi tidak boleh membaca dan menulis.

INFO: Peranan ibu bapa bagi membantu anak menguasai 3M

  • Semaikan sikap cinta membaca secara sedikit demi sedikit tetapi berterusan. Dari seusia bayi lagi ibu bapa boleh galakkan sikap cintakan buku kerana kini terdapat banyak buku untuk bayi di mana helaian muka suratnya di buat daripada plastik atau kertas tebal. Setiap hari cari masa untuk meletakkan bayi di atas riba dan melihat gambar-gambar di dalam buku bersama-sama.

  • Untuk anak sudah mula membaca pastikan apa yang diminatinya. Kalau anak minat kereta, beli buku cerita mengenainya atau jika anak minat puteri, beli buku berkaitan dengan puteri. Ini langkah pertama untuk memancing minat anak. Keadaan ini sama seperti kalau kita tidak suka cerita seram, tentu kita tidak akan mengambil untuk membacanya. Yang pasti apabila anak memasuki tadika atau Tahun 1 jangan kerap beli buku untuk 'belajar' saja sebaliknya, belilah buku yang menyeronokkan mereka.

  • Apabila anak sudah suka pada buku, ibu bapa boleh kembangkan minat mereka. Cara terbaik, bawa ke kedai buku dan biar mereka lihat pelbagai pilihan yang ada. Beri mereka masa untuk pilih buku dan secara lembut ibu bapa juga boleh tunjukkan kepada mereka buku yang bagus dibaca.
  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan