#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, September 05, 2009

Ibu tak sanggup pulang ke rumah

Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Ibu mangsa bunuh membabitkan seorang kanak-kanak tiga tahun yang ditikam bapa saudaranya Selasa lalu masih trauma dengan kejadian menimpa anaknya itu.

Yusnisuhaila Yusoff, 36, yang belum dapat menerima hakikat kematian anak kesayangannya itu sehingga kini tidak boleh pulang ke rumah atau melihat pakaian serta mainan kegemaran anaknya.

Walaupun kejadian itu berlaku di rumah ibunya di Kampung Melayu, dekat sini, Yusnisuhaila belum dapat melupakan peristiwa paling menyayat hati dalam hidupnya.

Suaminya, Rosman Mohd Noor, 41, berkata Yusnisuhaila tidak mampu melihat dua rumah itu yang menjadi kenangan manisnya bersama arwah, Mohd Adam Azrai Rosman.

“Kejadian itu menyebabkan isteri bukan saja tidak mahu duduk di rumah ibunya, tetapi rumah kami sendiri di Kampung Tanah Puteh kerana banyak pakaian dan mainan baru dibeli untuk mangsa.

“Selepas kejadian, kami terpaksa berkumpul dan tinggal sementara di rumah datuk di Kampung Lembaga kerana masih trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, alat permainan di rumah mereka mengimbau detik paling menggembirakan dengan arwah yang sudah pandai bercakap dan meminta sesuatu.

“Permainan itu menjadi kegemaran arwah Mohd Adam sejak dia pandai bercakap dan pandai meminta sesuatu beberapa bulan lalu hingga memaksa saya bersama isteri melayani kerenahnya.

“Bukan isteri saja, saya sendiri menitiskan air mata apabila melihat pakaian raya yang baru dibeli untuk Mohd Adam dan itu semua hanya tinggal kenangan buat selama-lamanya,” katanya sebak.

Rosman berkata, dia bersama isteri terpaksa melupakan sementara rumah sendiri sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.

“Sekarang ini saya tidak boleh cakap apa-apa kerana keadaan keluarga kami masih diselubungi kesedihan selepas berlaku tragedi memilukan Selasa lalu.

“Saya masih teringat-ingat kenakalan anak kami itu, selain sifat manja dan periangnya,” katanya.

Katanya, dia sendiri belum dapat meneruskan kerja sebagai pemandu lori mengangkut kelapa sawit di Kampung Kuala Betis kerana sering terbayang-bayang wajah anaknya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan