#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, September 05, 2009

Merayau bawa botol susu

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Zainuddin Muhammad

KUALA TERENGGANU: Keprihatinan seorang anggota polis mencari rumah seorang kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di sebuah kedai makan di Jalan Sultan Omar di sini, kira-kira jam 2 pagi menjelang waktu bersahur Isnin lalu, wajar diberi pujian.


Kanak-kanak yang ditemui seorang pekerja kedai makan sambil memegang botol susu dan hanya berdiam diri ketika ditanya di mana rumahnya itu kemudian diserahkan kepada Lans Koperal Mathazir Ismail, 52, yang kebetulan berada di situ.


Meskipun boleh bersikap mudah dengan membawa kanak-kanak itu ke balai polis untuk diambil tindakan susulan, anggota polis itu kasihan dengan nasibnya dan merasakan dia tinggal
berdekatan kawasan itu.



Selepas memujuk, kanak-kanak itu menuding jari ke arah pusat bandar apabila ditanya kedudukan rumahnya sebelum Mathazir mendukungnya dan berjalan kaki dari rumah ke rumah di sekitar Jalan Sultan Omar.


“Kami ditemani tiga anggota polis trafik mula mengunjungi setiap rumah, namun agak sukar mengejutkan penghuni kerana waktu sudah menunjukkan jam 2.30 pagi dan ramai sedang tidur.


Menurutnya, selepas 30 minit berjalan sejauh satu kilometer, mereka menemui sebuah rumah di Lorong Tekukur yang dicam kanak-kanak itu dengan menganggukkan kepalanya sebagai isyarat.


“Kami mengetuk pintu hampir 15 minit sebelum dibuka seorang wanita berusia 30-an yang kemudian mengaku kanak-kanak itu anaknya.



“Selepas ditanya, ibu dan bapa kanak-kanak itu mengaku tidak menyedari kehilangan anaknya itu serta menyatakan anak mereka keluar tanpa disedari.


“Lega rasanya dapat menemui ibu bapanya walaupun beberapa persoalan bermain di fikiran saya masih belum terjawab selain sukar menerima hakikat kanak-kanak itu mampu keluar rumah tanpa disedari dan berjalan kaki sejauh itu,” katanya.


Menurutnya, beberapa pekerja restoran dan pelanggan memberitahu ada melihat kanak-kanak itu makan bersama orang dewasa beberapa jam sebelum kejadian itu, tetapi tidak pasti sama ada dia orang yang sama dilihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan