#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, September 06, 2009

‘Hidup kami susah’

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KOTA BHARU: “Puasa atau tidak, bagi kami sama saja kerana sudah biasa dengan keadaan seperti ini,” kata Mek Jah Yaakob, 48, ibu kepada 18 anak yang hidup dalam kemiskinan di Kampung Pantai Pulau Kundur, Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini.

Walaupun tiga anaknya meninggal dunia selepas dilahirkan, Mek Jah bersama suaminya, Isa Hassan, 51, tetap tabah mengharungi dugaan membesarkan 15 anak lain.

Katanya, beban ditanggung sedikit berkurangan selepas empat anaknya berumah tangga dan kini masih menyara 11 lagi anak yang kebanyakannya bersekolah.

Mek Jah berkata, dia bersama suami terpaksa membanting tulang empat kerat mencari pendapatan tambahan dengan mengutip lokan dan rebung nipah untuk dijual kepada penduduk sekitar.

“Beginilah rutin kami sekeluarga. Setiap hari, saya dan suami akan pergi ke kawasan yang mempunyai banyak pokok nipah untuk menuai bunganya sebelum direbus dan dijual kepada pelanggan.

“Selain itu, pendapatan yang sekadar cukup makan juga diperoleh daripada usaha gigih suami mencari lokan di kawasan berhampiran, selain menjaring ikan,” katanya yang juga anak jati kampung berkenaan.

Mek Jah yang mendirikan rumah tangga dengan suaminya sejak 34 tahun lalu berkata, mereka sekeluarga sudah dua kali berpindah berikutan kediaman runtuh akibat dimakan anai-anai.

“Sebaik kediaman pertama runtuh, saya dan suami bertungkus-lumus mendirikan rumah baru menggunakan kayu lama yang dibuang orang kampung.

“Nak beli rumah baru, memang tidak mampu. Mahu atau tidak disebabkan mempunyai ramai anak, kami usahakan juga membinanya,” katanya yang turut memiliki 12 cucu.

Katanya, akibat tidak memiliki sijil kelahiran, beberapa anaknya kini tercicir dalam pelajaran, manakala yang lain berhenti sekolah lebih awal kerana tidak mampu menyediakan kelengkapan persekolahan.

“Ibu mana yang tidak mahu anak-anak pandai. Mak cik pun mempunyai perasaan seperti itu, tetapi apakan daya kami kerana desakan hidup menyebabkan perkara itu berlaku.

“Bagaimanapun, kini hanya dua adik mereka saja yang meneruskan pelajaran di sekolah berdekatan dengan salah seorang menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAM),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan