#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, September 06, 2009

Penagih dadah sering hilang pertimbangan

PENGAMBILAN dadah perangsang dalam tempoh panjang akan merosakkan fizikal dan mental kerana ia adalah campuran bahan beracun, kata Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Ahmad Hatim Sulaiman.

Beliau berkata, selain kerosakan gigi, gusi, sistem penghadaman dan hati, kesan paling teruk ialah kerosakan saraf otak yang boleh menyebabkan penagih menjadi gila.

“Nasihat saya jangan sesekali mencuba. Pengedar mendakwa ia tidak menyebabkan ketagihan tetapi saya mahu tegaskan dadah sintetik memang menyebabkan ketagihan. Sekali mencuba, mereka akan terus ketagih.

“Mereka yang mengambil dadah ini akan mengalami simptom seperti mendengar suara, percaya adanya ancaman yang mendorong mereka bertindak ganas termasuk membunuh.

“Selepas mengambil dadah itu, reaksi penagih bergantung kepada keadaannya ketika itu. Jika takut, dia akan berasa sangat takut seperti mendakwa nampak hantu dan jika dalam keadaan marah, mereka akan bertindak agresif,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan PPUM ada menyediakan rawatan untuk penagih dadah sintetik sejak setahun lalu dan mencatatkan kejayaan memberangsangkan.

“Kami membekalkan ubat dan rawatan percuma selama tiga bulan untuk penagih dadah sintetik kerana masih pada peringkat kajian. Mereka dirawat dengan ubat dan psikoterapi. Dalam kes ini, seramai 40 penagih tegar dadah sintetik terbabit dan boleh katakan lebih separuh daripada mereka sudah sembuh sepenuhnya.

“Bagi kes teruk, penagih akan ditempatkan di wad untuk seminggu atau dua minggu kemudian dibenarkan keluar selepas mendapati keadaan mereka semakin stabil. Bagi sebulan atau dua bulan, rawatan susulan dilakukan seminggu sekali dan seterusnya bergantung kepada keadaan mereka.

“Ada yang datang secara sukarela selepas membaca iklan dalam akhbar dan ada juga keluarga yang datang merujuk anggota keluarga mereka ke sini. Peratus kejayaan begitu memberangsangkan,” katanya.

Katanya, penagih atau keluarga yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 03-79604367 untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi, berkata penagih yang mengambil dadah sintetik membabitkan campuran bahan kimia cenderung hilang pertimbangan dan bertindak agresif hingga membahayakan orang lain.

Mengulas kejadian menyayat hati yang menimpa Mohd Adam Azrai, Mohd Yunus, berkata dadah sintetik seperti syabu mampu membuatkan penagih berdepan kemurungan teruk dan cepat marah.

“Pengambilan ganja dalam tempoh lama juga memberikan kesan sama. Dalam kejadian itu, penagih mungkin nampak kanak-kanak berkenaan sebagai objek yang mengancam dan membuatkan dia bertindak menikam mangsa.

“Sebenarnya banyak lagi kes seumpama itu yang berlaku tetapi tidak dilaporkan. Jenayah dilakukan penagih tegar seperti rogol, sumbang mahram, pukul sehingga membabitkan pembunuhan tidak dilaporkan keluarga.

“Mereka mungkin malu untuk berdepan tindakan polis dan mahkamah tetapi sikap itu menyebabkan tragedi berlaku. Malah ada kes suami isteri yang sudah bercerai tetapi masih tinggal serumah semata-mata untuk menjaga status kemasyarakatan mereka,” katanya.

Mohd Yunus menggesa keluarga supaya segera melaporkan kehadiran penagih tegar di kalangan mereka kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian yang menimpa Mohd Adam Azrai tidak berulang lagi.

“Hasil 18 tahun membabitkan diri mengendalikan kaedah pemulihan, saya dapati keluarga tidak mengizinkan laporan dibuat mengenai anggota keluarga mereka yang menagih dadah. Saya minta mereka buang rasa malu, sebaliknya laporkan segera kepada badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) demi keselamatan keluarga.

“Penagih seperti ini tidak boleh mengawal kemarahan mereka atau panas baran. Perkara biasa kepada orang lain dilihat besar oleh penagih dadah sintetik dan mendorong mereka bertindak ganas,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan