#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, September 01, 2009

Prasekolah penting

KUALITI sentiasa diutamakan supaya senilai dengan wang yang dikeluarkan oleh ibu bapa, di samping dapat memenuhi kepercayaan serta tanggungjawab bagi mendidik kanak-kanak yang dihantar ke tadika itu dengan baik.

Falsafah itulah menjadi pegangan utama pemilik dan pengasas Tadika Qasrina, Ashida Kamarudin, yang membuka tadika itu sejak 10 tahun lalu.

Ashida berkata, setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka terutama dalam memberikan pendidikan. Justeru, tidak hairanlah ada ibu bapa yang sanggup mengeluarkan belanja lebih asalkan ia memberikan pulangan dikehendaki atau disasarkan.

“Menghantar anak di tadika swasta yang mementingkan mutu perkhidmatan pembelajaran walaupun mahal, ada banyak kebaikannya. Anak bukan saja dapat mengikuti pembelajaran dengan baik tetapi berpeluang mengembangkan kemahiran lain seperti komunikasi, hubungan sosial dan sebagainya. Contohnya di Tadika Qasrina, selain menggunakan 70 peratus kurikulum wajib yang ditentukan Jabatan Pendidikan, di sini juga ada tambahan 30 peratus pembelajaran lain iaitu fardhu ain dan kemahiran komputer. Ini membantu meningkatkan perkembangan pembelajaran kanak-kanak itu,” katanya.

Ashida berkata, tadika itu turut menggunakan kaedah pembelajaran dan pengajaran berkesan serta terkini bagi memastikan tiada satu pun kanak-kanak yang di hantar di situ tidak boleh membaca atau menulis apabila mereka melangkah ke Tahun Satu. Ketika sesi pembelajaran pula kanak-kanak akan diasingkan mengikut usia mereka.

Katanya, ini penting supaya sesi pembelajaran dapat berjalan dengan lancar kerana tahap pemikiran dan penerimaan kanak-kanak yang berusia bawah usia enam tahun lebih cenderung untuk bermain. Justeru, bagi menarik minat mereka belajar pendekatan yang digunakan adalah berbeza.

Ashida turut berpendapat, peringkat prasekolah adalah penting untuk setiap kanak-kanak sebagai persediaan untuk melangkah ke sekolah formal. Jika pada peringkat prasekolah lagi kanak-kanak itu ada masalah atau tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca dan menulis, ia mungkin boleh mempengaruhinya ketika berada dalam Tahun 1 dan seterusnya.

Malah, apabila memasuki sekolah formal lebih merumitkan lagi untuk membantu kanak-kanak itu. Dengan jumlah anak murid lebih ramai dan beban pembelajaran yang bertambah tentu sukar untuk cikgu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kanak-kanak berkenaan.

Katanya, berbeza di peringkat prasekolah melalui pemantauan yang dilakukan dari masa ke semasa tahap kemajuan setiap kanak-kanak akan diketahui perkembangannya iaitu daripada hari pertama dihantar ke situ hinggalah penghujung tahun.

“Kanak-kanak ini memang ada perbezaan tahap pencapaiannya. Tetapi berdasarkan pengalaman, dengan kaedah pembelajaran yang betul dan seronok, hampir semua kanak-kanak dihantar di sini, dalam tempoh tiga hingga empat bulan belajar sudah boleh membaca dan menulis. Kecuali untuk kes kanak-kanak yang sememangnya ada masalah lain seperti dileksia dan sebagainya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan