#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, September 04, 2009

Sentuhan ajaib si manja

ARKIB : 30/08/2009
Sumber : Utusan Malaysia

Dr. Zulkifli sedang menunjukkan cara yang betul untuk mengurut bayi.


SESIAPA saja gemar dibelai. Apatah lagi bayi yang baru melihat dunia, pastinya belaian daripada insan yang paling hampir dengannya iaitu ibu berupaya memberi kuasa yang menakjubkan.

Belai dan urutlah si manja tersayang. Dengan belaian dan urutan mereka akan rasa selamat.

Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, urutan bayi memberi faedah kepada si bayi dan juga orang yang mengurutnya.

Menurut beliau, urutan selama 15 minit dua kali seminggu terbukti membantu bayi mendapat tidur lebih lena, meredakan kesakitan dan memberi ketenangan kepada mereka.

"Ia menggalakkan stimulasi, merehatkan minda serta fizikal dan mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak. Urutan lembut membantu pernafasan, melancarkan perjalanan darah, menguatkan ketahanan badan dan sistem penghadaman. Dengan itu menghilangkan tekanan pada bayi dan juga orang yang mengurutnya," katanya ketika melancarkan Bengkel Urutan Bayi 'Touch' Johnson & Johnson baru-baru ini.

Katanya lagi, berdasarkan kajian, didapati bayi lebih cepat tidur selepas diurut, kurang terjaga di tengah malam, lebih stabil, tenang, selesa dan kanak-kanak yang mengalami masalah berjalan ketika tidur juga berjaya mengatasinya selepas beberapa kali diurut.

Bagi orang yang mengurut pula katanya, ia membantu menurunkan paras kerisauan, mengurangkan simptom kemurungan, mengurangkan paras hormon stres, lebih jalinan sosial, mengurangkan kesakitan (didapati mereka yang mengurut kurang bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan) dan memperbaiki tidur serta meningkatkan tahap keyakinan diri.

Dr. Zulkifli berkata, di kalangan bayi pramatang, urutan didapati membantu pertambahan berat badan sehingga 47 peratus dan proses tumbesaran menjadi lebih baik.

"Bayi pramatang juga akan lebih aktif dan sentiasa bersedia dengan persekitaran hingga boleh discaj lebih awal enam hari dari hospital berbanding bayi pramatang yang tidak diurut," katanya.

Menceritakan mengenai sejarah urutan kata Dr. Zulkifli, zaman dahulu di Mesir urutan digunakan untuk merawat histeria manakala di India ia bertujuan untuk manfaat kesihatan.

"Di Greek dan Rom pula, urutan digunakan untuk memulih dan menguatkan otot olahragawan manakala di China ia dijadikan terapi," katanya.

Menurutnya satu kajian yang dijalankan pada 1938 oleh Jururawat Margaret Ribble di sebuah hospital mendapati kematian di kalangan bayi pramatang menurun daripada 30 peratus kepada kurang daripada 10 peratus.

"Bagi saya urutan adalah satu amalan yang memberi manfaat dan membantu proses tumbesaran bayi. Ambillah masa untuk mengurut bayi anda, ia tidak memerlukan apa-apa, hanya anda dan si manja," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan