#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Mei 27, 2010

Bawa anak ke kelas

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/05/27

SHAH ALAM: Walaupun terpaksa membahagikan masa antara belajar dan keluarga, ia tidak mendatangkan masalah bagi penerima Anugerah Naib Canselor, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan Islam) Nazeriah Muhamad Ali, 32, kerana apa yang penting bijak menguruskan masa, selain bersungguh-sungguh.

Nazeriah mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.76 berkata, suaminya, Rosdeen Rasip, 44, dan dua anak lelakinya, Nazrul Qaid, 5, dan Nazreen Hakimi, 4, pendorong utama untuknya belajar bersungguh-sungguh.

Dia yang bekerja di Bank Negara, berkata kepayahan ketika menguruskan dua anaknya yang kecil, selain bebanan tugasan sedikit pun tidak mematahkan semangatnya mendapat keputusan terbaik dalam setiap mata pelajaran diambil, malah menjadikan perkara itu sebagai cabaran dia berusaha lebih gigih.

“Sesekali saya membawa kedua-dua anak saya ke kelas kerana suami keluar kawasan bekerja.

“Malah, saya sedikit pun tidak mengeluh dan menganggap ia ujian bagi mereka yang bekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Sri Budiman, semalam.

Nazeriah memasuki UiTM pada 2007 dan menamatkan pengajian tahun lalu mendapat tajaan daripada majikannya, Bank Negara.

Antara cabaran yang sukar dilupakannya apabila suaminya bekerja sebagai jurutera projek ke Sarawak untuk tugasan hampir enam bulan menyebabkan dia menguruskan keluarga seorang diri.

Ditanya cara pembelajarannya sehingga setiap semester mendapat Anugerah Dekan, dia berkata dia seperti pelajar lain, belajar dan memberi tumpuan di dalam kelas.

“Tetapi minat perlu ada kerana jika kita tak minat dalam sesuatu subjek, agak susah mendapat keputusan cemerlang.

“Memandangkan di dalam kelas, saya yang paling senior, mungkin itu menyebabkan saya perlu belajar lebih daripada mereka,” katanya menambah kebanyakan pelajar terlalu mengharap kepada nota kuliah dan tidak berusaha mencari sendiri.

Nazariah berkata, pemikiran juga berbeza antara pelajar baru dengan senior kerana kebanyakan pelajar baru semuanya hendak mudah sekali gus menyebabkan mereka menjadi malas.

“Tetapi tidak bagi saya, kerana tujuan saya masuk universiti bukan berseronok, tetapi mencari ilmu dan pengalaman baru,” katanya yang tinggal di Telok Pulai, Klang.

Sementara itu, bagi penerima Anugeran Naib Canselor Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) Roslinawati Mat Ghaza, 24, berkata dia berulang-alik setiap hari dari rumahnya di Padang Luas, Besut Terengganu ke kampus UiTM di Kota Bharu.

“Dugaan itu menyebabkan saya tidak berputus asa dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga saya mendapat CGPA 3.58,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan