#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Mei 26, 2010

Usah binasa hidup anak

Harian Metro
2010/05/26


KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang hanya tahu menggunakan kuasa ‘veto’, tapi tidak pernah mengambil kira kemampuan, keperluan dan kehendak anak termasuk soal perkahwinan hanya menyebabkan anak lebih menderita.

Penceramah bebas yang juga perunding motivasi, Dr Rubiah K Hamzah, berkata walaupun tugas ibu bapa membimbing dan anak perlu patuh arahan, tidak bermakna mereka berhak membuat keputusan yang boleh membinasakan hidup zuriat sendiri.

Katanya, lebih teruk jika keputusan diambil tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya mencalit luka lebih parah hingga mengakibatkan anaknya terseksa, sekali gus menyimpan kebencian mendalam terhadap keluarga.

“Kes ibu bapa mengahwinkan anak gadis dengan perogol wajar dijadikan iktibar kerana ini tanda ibu bapa yang hanya pandai menggunakan paksaan dan faktor menakutkan, tapi tidak menyelesaikan apa-apa masalah.

“Tindakan begini tidak teliti, tak juga melihat daripada sudut kemanusiaan dan berdosa ibu bapa itu apabila membiarkan anak derita serta didera emosinya kerana berkahwin dengan orang yang pernah memusnahkan hidupnya.

“Ibu bapa kena tanggung masalah ini, apatah lagi anaknya sendiri sudah derita mengandung terpaksa pula menanggung malu kerana dirogol dan tidak dihormati sebagai gadis,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai sebuah keluarga di Kuala Terengganu sanggup mengahwinkan anak gadisnya dengan perogol yang menyebabkannya mengandung anak luar nikah semata-mata mahu menutup malu.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak menyelesaikan masalah berkenaan, malah menyebabkan mangsa fobia dan trauma akibat dirogol selain terpaksa berdepan perogol yang juga suaminya. Dr Rubiah yang juga Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa Malaysia, menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah atau dirogol supaya mencari penyelesaian terbaik mengikut pertimbangan yang seimbang.

“Saya sarankan ibu bapa supaya dapatkan nasihat dan panduan daripada mereka yang pakar atau lebih berpengalaman sekiranya tidak mampu menyelesaikan masalah anak secara sendirian berikutan ini lebih baik daripada menggunakan paksaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan