#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Mei 26, 2010

Enam beradik menderita kematian ibu, bapa hilang

2010/05/24
Berita Harian

GEORGETOWN: Nasib enam beradik yang berusia di antara tujuh bulan hingga 17 tahun, terumbang ambing selepas bapa mereka menghilangkan diri sejak enam bulan lalu, iaitu dua bulan selepas kematian ibu.Walaupun tinggal bersama nenek dan datuk, serta mendapat bantuan pelbagai pihak, masa depan enam beradik itu umpama 'ayam kehilangan ibu'.

Ibu mereka, Mazlina Mohd Taib, meninggal dunia seminggu selepas melahirkan Mohd Ikmal Hafifi yang kini berusia tujuh bulan, manakala bapa, Mohd Khairi Durani, 45, menghilangkan diri pada 29 Disember lalu. Anak kedua, Nor Ahmad Khorsani, 16, tidak lagi bersekolah selepas menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu. Dia kini bekerja untuk membantu keluarganya.


Anak sulung, Noraznorsari, 17, akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, manakala Siti Jamiah, 12, akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dua lagi adik mereka ialah Ahmad Daniel, 10, dan Ahmad Haris Adha, 3.

Noraznorsari berkata, sejak kematian ibu dan kehilangan bapa yang tidak pasti sama ada masih hidup atau mati, kehidupan mereka adik beradik memeritkan.Tambahan pula, neneknya, Fauziah Osman, 58, perlu menjaga datuk mereka, Mohd Taib Mokhtar, 61, yang uzur akibat diserang angin ahmar.

“Agak sukar apabila memikirkan apa yang berlaku kerana saya anak sulung akan mengambil SPM tahun ini. Saya berjanji akan buat yang terbaik demi adik-adik,” katanya.

Noraznorsari berkata, bapanya seorang pengawal keselamatan, pergi tanpa meninggalkan sebarang pesan.

“Polis hanya menemui motosikal bapa di atas Jambatan Pulau Pinang dan kehilangannya menimbulkan teka teki hingga sekarang,” katanya.

Noraznorsari tidak mengetahui punca bapanya menghilangkan diri kerana orang tuanya tidak suka berkongsi masalah sehinggalah dia menemui notis tunggakan sewa rumah yang mencecah RM3,600.

Mereka sekeluarga menyewa rumah milik kerajaan Pulau Pinang. Bapanya menerima notis supaya mengosongkan rumah sebelum 31 Januari lalu.

“Mungkin kerana tertekan memikirkan masalah tunggakan sewa rumah, perbelanjaan persekolahan kami adik beradik, bapa menghilangkan diri,” katanya.

Sementara itu, Fauziah berkata, pada hari Mohd Khairi menghilangkan diri, dia melihat menantunya memberi anak bongsunya makan ubat demam kira-kira jam 4.30 pagi.

“Makcik dengar Mohd Khairi kata itulah kali terakhir dia suap ubat untuk anaknya dan sebelum keluar, dia mengusap pipi anaknya dan mengucapkan selamat tinggal. Makcik pelik sebab dia tidak pernah buat macam itu,” katanya.

Penderitaan enam beradik itu mendapat perhatian Sekretariat Pengaduan dan Kebajikan Rakyat (Sepakat) yang membantu mengurangkan penderitaan mereka.

Ketua Pegawai Operasi Sepakat, Azlina Mehtab Mohd Ishaq, berkata melalui sumbangan orang ramai, Sepakat mengumpul RM2,400 bagi melangsai sebahagian tunggakan sewa rumah, manakala sewa bulanan RM102 ditanggung seorang penderma.

Enam beradik itu turut mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan bulanan barangan dapur dan wang daripada Pusat Urus Zakat.

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan, mesin basuh, tunggakan sewa rumah, simpanan sebanyak RM4,666 atas nama Noraznosari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan