#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Mei 07, 2010

Fokus : Derita mangsa rogol

2010/05/07

Kompleks Dar-Assa’adah suluh cahaya ubati luka

BERMULA hanya dengan sembilan penghuni, pusat perlindungan dan bimbingan wanita, Kompleks Dar-Assa’adah yang terletak di Batu 5, Jalan Ipoh, kini mempunyai lebih 30 pelatih.

Pusat perlindungan dan bimbingan wanita yang terletak di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu boleh menerima kemasukan pelatih sehingga 60 orang pada satu-satu masa dan diasaskan pada 1985, tetapi hanya mula beroperasi 1989. Ketika awal penubuhan, ia hanya beroperasi di blok bangunan rumah kedai di Cheras, Kuala Lumpur.


Pengetuanya, Aspalela Hassan, berkata berikutan jumlah kemasukan penghuni semakin bertambah, pada 1996 pusat itu berpindah ke sebuah lot rumah banglo di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Aspalela berkata, pusat itu berpindah sekali lagi pada 2000 di tempat yang lebih besar dan selesa di Batu Caves, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, tempat itu juga tidak kekal kerana jumlah penghuni terus meningkat dan akhirnya, 2008 ia berpindah ke lokasinya sekarang.

Katanya, selain kes mangsa rogol, pusat perlindungan dan bimbingan itu turut menempatkan wanita yang berdepan dengan beberapa masalah lain seperti masalah akhlak, penderaan rumah tangga, kesempitan hidup, saudara baru serta sebagainya.

Kemasukan di situ adalah secara sukarela, tetapi khusus untuk wanita dan gadis yang berusia 18 tahun hingga 35 tahun serta mestilah melalui permohonan yang kemudian akan dinilai berdasarkan proses temu duga. Permohonan seterusnya, akan diluluskan jika pelatih dan keluarga memenuhi syarat serta bersetuju dengan peraturan yang ditetapkan.

“Bagi pelatih yang mengandung, institusi ini akan menyelia rawatan dari tempoh mengandung sehingga bersalin seperti membuat rawatan di klinik. Apabila pelatih bersalin, mereka dirujuk kepada keluarga atau keluarga angkat berdasarkan perbincangan dan persetujuan pihak terbabit,” katanya.

Aspalela berkata, bagi membantu pelatih yang memasuki institusi itu konsep digunakan ialah pelatih melupakan pengalaman lalu dan membina kehidupan baru. Justeru, selain menyediakan tempat tinggal yang selesa dan selamat, pelatih sentiasa diberikan bimbingan agama dan latihan kemahiran.

Bagi memastikan pelatih dapat membina masa depan yang lebih baik, institut itu juga turut mengambil inisiatif membantu pelatih mencari peluang pekerjaan, manakala bagi yang masih belajar, usaha juga dibuat supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran selepas dua tahun berada dan keluar daripada pusat perlindungan serta bimbingan itu.

Katanya lagi, bagi membantu mangsa rogol misalnya, penerimaan kebanyakan pelatih pada awalnya berada di tempat itu bukanlah mudah kerana ada yang mengalami kemurungan dan bersedih kerana terlalu memikirkan nasib serta tragedi menimpa diri mereka. Namun, selepas diberikan bimbingan agama dan kaunseling, semangat pelatih berkenaan beransur-ansur pulih, manakala jiwa semakin tenang dalam menghadapi dugaan itu.

“Pelatih juga sering dinasihatkan supaya pandai jaga diri dan belajar ‘jual mahal’ kerana dengan cara itu ia dapat membantu mereka menjaga maruah diri dan tidak mudah diperdayakan,” katanya.

Ketahui taktik selamatkan diri

BAGI wanita khususnya yang menjadi mangsa Balasupramaniam menasihatkan, supaya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam usaha melindungi dan menjaga keselamatan diri. Antara yang boleh dibuat ialah sering bertanya atau berbincang mengenai perilaku lelaki dan jika tidak tahu, tidak salah untuk bertanya. Ini kerana apabila mengetahuinya, wanita itu sedikit sebanyak boleh ‘membaca’ dan menilai perwatakan sebenar lelaki berkenaan.

Mengulas tindakan sewajar yang boleh dilakukan bagi membantu mangsa rogol, katanya adalah lebih baik tidak memberikan atau menambahkan lagi tekanan yang sudah sedia ada pada mangsa. Sebaliknya, berikan gambaran sebenar tindakan yang boleh dilakukan mangsa bagi mendapatkan pembelaan.

Selain itu sokongan dan khidmat bantuan dari badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mestilah mudah bagi mangsa untuk akses. Ini kerana kebanyakan mangsa bukan saja berasa malu untuk memberitahu kejadian itu tetapi takut, lemah semangat dan sebagainya.

“Saya percaya bukan saja mangsa tetapi tanyalah kepada 10 orang awam, apakah tindakan yang akan dilakukan jika ada berlaku kes rogol. Dari jumlah 10 orang itu, mungkin jumlahnya terlalu sedikit yang mengetahui apa mesti dibuat dan dengan siapa perlu dirujuk untuk mendapatkan sokongan. Kesimpulannya, peranan dan sokongan NGO yang banyak membantu menangani kes rogol memang amat diperlukan bagi membantu mangsa rogol,” katanya.

Balasupramaniam turut memberitahu, dalam sesuatu kes rogol bagi mendapatkan bukti kukuh adalah penting dan adalah lebih baik jika ada sekurang-kurangnya empat saksi yang boleh dikemukakan mangsa bagi membuktikan pelaku itu ada bersama-samanya.

“Seelok-eloknya, mangsa kena tahu siapa yang mengetahui, dia keluar atau bersama dengan pelaku pada masa hari kejadian itu. Selain itu, jika keluar dan singgah mana-mana restoran, pekerja di situ boleh juga menjadi saksi kerana pernah melihat kedua-duanya (mangsa dan pelaku) ada datang bersama ke tempat itu. Ketiga, jika menyewa mana-mana hotel, pekerja di situ juga boleh dijadikan saksi dan akhir sekali, mungkin pemandu teksi yang membawa mangsa dan pelaku ke lokasi. Namun, semua ini adalah contoh, mungkin ada lagi saksi lain yang boleh dikemukakan mangsa bagi mengukuhkan dakwaan.

“Apa yang penting, mangsa juga perlu menyimpan bukti-bukti sedia ada termasuklah kiriman SMS, pakaian ketika kejadian dan sebagainya. Mangsa juga perlu bersedia dengan tekanan kuat yang bakal dihadapi sepanjang kes berkenaan disiasat dan dibicarakan,” katanya.

Balasupramaniam turut berharap, kes rogol yang dibawa ke muka pengadilan tidak tertangguh atau mengambil masa lama untuk dibicarakan kerana dibimbangi bukti-bukti sedia ada tidak lagi boleh diguna pakai manakala saksi yang dikemukakan menghilangkan diri. Begitu juga mangsa dan keluarga, lama kelamaan tidak lagi berminat untuk meneruskan kes rogol berkenaan kerana tidak mahu lagi susah payah turun naik mahkamah, sudah memulakan kehidupan baru seperti berumahtangga dan sebagainya.

Lapor kejadian untuk keadilan diri

PENGANALISIS jenayah, Dr Kamal Affendi Hashim, menegaskan setiap kejadian rogol perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan tidak boleh disembunyikan, bahkan sebaik-baiknya laporan dibuat dalam tempoh 48 jam selepas kejadian berkenaan berlaku.

Katanya, jika seseorang wanita itu enggan melaporkan kejadian rogol yang berlaku terhadapnya ia bukan saja menafikan hak yang ada pada diri sendiri bagi mendapatkan pembelaan keadilan, tetapi turut membiarkan pelaku terus melakukan perbuatan terkutuk itu, sehingga wanita lain akan menjadi mangsa seterusnya.

“Mendiamkan diri tidak akan membantu mangsa. Justeru, apa yang perlu dilakukan mangsa ialah melaporkannya kepada pihak berkuasa. Pada masa kini, untuk membuat laporan kes rogol tidak semestinya pergi ke balai polis, sebaliknya mangsa boleh pergi ke mana-mana hospital kerajaan yang ada Pusat Khidmat Sepadu (One Stop Crisis Centre). Malah, pusat itu sudah pun lama diperkenalkan dan antara tujuannya ialah bagi memudahkan mangsa rogol membuat laporan.

“Apabila membuat laporan di pusat itu, mangsa akan terus dirujukkan kepada doktor bagi membuat pemeriksaan dan juga polis yang akan mengambil keterangan daripadanya, malah khidmat kaunselor juga ada disediakan,” katanya.

Kamal berkata, seandainya mangsa tidak melaporkan kejadian rogol itu secara tidak langsung, memberikan keyakinan kepada pelaku untuk mencari mangsa lain. Keadaan itu akan berterusan jika mangsa seterusnya turut bertindak sama, mendiamkan diri dan tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Mengulas dua kes yang dipaparkan, Kamal berkata, untuk langkah keselamatan dan mengambil sikap berjaga-jaga individu disarankan jika ingin menerima pelawaan seseorang memberikan air, pastikan hanya menerima air tin atau pun dalam bekas botol yang belum dibuka lagi.

“Bukannya apa, dibimbangkan air minuman itu dicampurkan dengan dadah yang boleh terdapat dalam beberapa jenis, Antaranya, dadah jenis cecair yang apabila dicampurkan dalam minuman, seseorang itu boleh memberikan rangsangan selama enam jam dan mangsa boleh tidak sedar apa yang berlaku. Selain itu ada juga jenis pil yang boleh menyebabkan seseorang itu langsung sedar sehingga lapan jam dan tidak boleh tahu ia berada di dalam tubuh kecuali hanya dengan melakukan ujian toksikologi bagi mengetahui kehadirannya,” katanya.

Jelasnya lagi, mengambil dadah gamma-hydroxybutyrate atau GHB misalnya, boleh membuatkan individu itu berasa mabuk dan ada rasa keghairahan serta hilang koordinasi. Apabila dadah itu dicampurkan dalam air, individu yang meminumnya mungkin tidak tahu.

Katanya, dalam kes rogol ada tiga jenis mangsa yang boleh dikategorikan. Pertama, menjadi mangsa disebabkan keadaan, contohnya individu itu keluar rumah dan tiba-tiba menjadi sasaran perogol, manakala kedua, mangsa sememangnya dipilih oleh pelakunya dan ketiga, mangsa merelakan diri.

“Bukan bersangka buruk kepada mangsa, tetapi dalam sesetengah kes rogol, walaupun ada yang mangsa mendakwa dirinya menjadi sasaran perogol, hakikatnya ada merelakan perkara itu berlaku. Malah, dalam kebanyakan kes rogol yang berlaku di negara ini mendapati, mangsa mengenali pelakunya sama ada mereka itu teman, kekasih, tunang dan sebagainya.

“Kelewatan atau enggan melaporkan kes rogol pada awalnya pula mungkin disebabkan siri ‘tawar menawar’ antara kedua belah pihak bagi menyelesaikan masalah itu misalnya pelaku setuju berkahwin dengan mangsa, meminta sejumlah wang tertentu sebagai ganti-rugi dan sebagainya. Selain itu, ada juga yang tidak mahu perkara itu diketahui masyarakat kerana ia boleh memalukan keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, kata Kamal, kejadian itu boleh dikenal pasti benar-benar sebagai kes rogol apabila pemeriksaan biologi dibuat terhadap mangsa. Contohnya, hasil keputusan klinikal dapat membezakan koyakan, luka yang berlaku, tujahan dan sebagainya terdapat pada alat sulit mangsa dapat memberikan jawapan sebenar dakwaan dirinya dirogol.

“Apabila mangsa membuat laporan, polis akan memberinya borang Pol 59 untuk membuat pemeriksaan doktor. Hakikatnya, koyakan akibat dirogol adalah berbeza dan unik. Itulah sebabnya melakukan pemeriksaan biologi adalah penting bagi mendapatkan bukti yang kukuh bahawa wanita itu dirogol dan ia perlu dilakukan secepat mungkin selepas kejadian itu supaya bukti-bukti lain yang turut ada tidak hilang. Jika bukti tidak konsisten, tidak mustahil pelaku akan bebas daripada tuduhan,” katanya.

Kamal berkata, umumnya, dalam 100 kes rogol dilaporkan sekurang-kurangnya empat kes tidak selesai. Antara faktornya ialah saksi daif seperti hilang diri dan sebagainya, laporan lewat serta bukti hilang.

Katanya lagi, berdasarkan statistik dari sumber polis kadar penyelesaian bagi jumlah kes rogol yang dilaporkan sehingga Januari 2010 ialah 95 peratus dan secara purata, 96 peratus kes membabitkan tangkapan.

Info Perbandingan kes rogol antara Januari 2009 dan Januari 2010:

1. Hubungan mangsa dengan pelaku
* Mangsa kenal dengan pelaku
- 2009 - 153 kes
- 2010 - 191 kes

* Mangsa tidak kenal dengan pelaku
- 2009 - 85 kes
- 2010 - 77 kes

* Mangsa dan pelaku adalah kenalan baru
- 2009 - 1 kes
- 2010 - 33 kes

2. Mangsa rogol mengikut umur

* Umur antara 10 hingga 12 tahun
- 2009 - 13 kes
- 2010 - 7 kes

* Umur antara 13 hingga 15 tahun
- 2009 - 109 kes
- 2010 - 125 kes

* Umur antara 16 hingga 18 tahun
- 2009 - 35 kes
- 2010 - 89 kes

Tiada ulasan:

Catat Ulasan