#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Mei 21, 2010

Tanda lelaki tidak mahu komitmen

LELAKI yang suka mencari kesalahan pasangannya jelas tidak mahukan komitmen. - Gambar hiasan.
- -------------------------------------------------------------------------------

KOMITMEN merupakan satu perkara penting dalam sesuatu perhubungan, sama ada sebelum perkahwinan apatah lagi semasa melayari tempoh perkahwinan.

Ada ketikanya, komitmen masih perlu selepas berlakunya pembubaran perkahwinan terutamanya bagi perkara yang berkaitan dengan kemaslahatan dan kebajikan anak-anak.

Namun, masalah yang sering berlaku ialah kesukaran bagi seorang gadis (bagi yang belum berkahwin), isteri atau bekas isteri menentukan sama ada pasangannya atau bekas pasangannya itu memberikan komitmen yang sewajarnya atau sebaliknya.

Menurut Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, terdapat enam tanda utama seseorang itu enggan memberikan komitmen iaitu suka mengelak, memberi alasan, mencari salah pasangan, tidak memberikan kerjasama, sukar dihubungi dan tiada komunikasi.

1. Suka mengelak

Jika pasangan anda suka mengelak, sama ada daripada memperkatakan tentang hubungan, tentang hala tuju perkahwinan atau tentang apa jua perkara yang berkaitan dengan perhubungan tersebut, itu tandanya dia tidak berminat lagi untuk meneruskan komitmen terhadap hubungan tersebut.

Mengelak boleh berlaku dalam banyak keadaan. Selain tidak berterus terang, seseorang yang mahu mengelak juga akan mencari jalan agar membincangkan perkara lain yang tidak berkaitan dengan soal perhubungan atau menukar tajuk perbincangan tentang hubungan anda yang telah anda mulakan malah dia juga boleh mendiamkan diri.

2. Memberi alasan

Individu yang tidak mahu memberikan komitmen sebaliknya mudah memberi alasan apabila diajukan persoalan atau perbincangan mengenai hubungan bersamanya.

Sebagai contoh, jika anda merancang untuk berkahwin, si dia akan memberi alasan demi alasan untuk tidak mengusahakan rancangan perkahwinan anda itu. Sekiranya anda telah berkahwin pula dan si dia berusaha memberikan pelbagai alasan untuk tidak meluangkan masa bersama anda.

3. Mencari salah pasangan

Ada ketikanya pula, individu yang enggan berikan komitmen akan sengaja mencari malah mereka-reka salah pasangan.

Mereka akan bersikap agresif, menyalahkan pasangan walau hanya atas alasan yang remeh dan dalam sesetengah keadaan akan memanipulasi keadaan persekitaran hingga mewujudkan rasa bersalah yang tinggi kepada pasangan. Pengakuan bersalah pasangan pula akan menjadi batu loncatan buat mereka bagi menamatkan perhubungan.

4. Tidak berikan kerjasama

Individu yang tidak mahukan komitmen juga akan bersikap tidak bekerjasama. Mereka mungkin mengaku akan melakukan sesuatu yang dihajati oleh pasangan tetapi akhirnya pengakuan hanya tinggal pengakuan dan hajat pasangan akan dibiarkan tanpa sebarang pelaksanaan.

Individu ini juga akan bersikap tidak peduli dengan kehendak pasangan, biar dipujuk atau dirayu, mereka akan membatukan diri, bersikap selamba malah bersikap memekakkan telinga.

5. Sukar dihubungi

Individu yang tidak mahukan komitmen juga sukar untuk dihubungi. Selalunya mereka akan bersikap mendiamkan diri, tidak akan menghubungi anda kecuali dihubungi dan ada ketikanya tidak melayani panggilan anda.

Dalam perkahwinan pula, mereka akan bersikap menyendiri dan membiarkan pasangan bercakap sendiri.

6. Tiada komunikasi

Mereka yang tidak mahukan komitmen juga bersikap menafikan sebarang bentuk komunikasi dengan anda. Komunikasi bukan saja wujud dalam perbualan sebaliknya juga melalui bahasa tubuh iaitu sikap, perlakuan malah mimik muka.

Penampilan wajah yang tidak ceria atau masam ketika bersama pasangan, tanpa apa-apa penjelasan atau alasan yang wajar menjadi tanda dia tidak mahukan komitmen bersama anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan