#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Mei 07, 2010

Fokus: Waspada, elak jadi mangsa rogol

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2010/05/07

MELETAKKAN kepercayaan terhadap seseorang perlu ada sempadan atau batasan. Faktor itu adalah ‘penyelamat’ dan perisai utama daripada mengelakkan individu itu menjadi mangsa mahupun apa saja bentuk penganiayaan yang mungkin tidak diduga, boleh berlaku bila-bila masa saja.

Aktivis Keselamatan, K Balasupramaniam, berkata tidak dinafikan ada kes rogol dan jenayah lain yang berkaitan dengan perasaan dendam, sakit hati dan sebagainya kepada mangsa, malah pelakunya, tidak mustahil individu yang dikenali atau rapat dengan mangsa termasuklah, teman, kekasih dan sebagainya.

Justeru, Balasupramaniam berkata, wanita yang lazimnya menjadi mangsa tidak kira ke mana saja pergi atau dirinya berada, tidak boleh leka walaupun hanya untuk sedetik.

Katanya, mempunyai perasaan syak mahupun was-was perlu sentiasa ada dalam diri pada setiap wanita, lebih-lebih lagi jika bersendirian dan bersama dengan orang yang tidak dikenali kerana semua itu boleh menjadi ‘penyelamat’ serta dapat mengelakkannya daripada menjadi mangsa.

“Perasaan hati selalunya adalah benar. Oleh itu individu kena percaya kepada perasaan diri sendiri, misalnya jika berasa tidak sedap hati maka hendaklah lebih was-was lagi. Lebih-lebih lagi, jika duduk dalam ‘hutan batu’ setiap individu perlu ada pertahanan survival diri - jangan cepat percaya dan mudah diperdaya sekali pun orang itu baik dengan kita. Ingatlah, bersifat baik belum tentu lagi bersikap pelindung,” katanya berkongsi pandangan bagi individu mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.
Balasupramaniam berkata, untuk keselamatan individu yang sudah mengetahuinya lemah dan tidak berdaya bertindak bersendirian jika berdepan dengan sebarang kemungkinan yang tidak diingini, sebaik-baiknya jangan mendedahkan perkara itu.
Contohnya, jika individu berkenaan tinggal bersendirian di rumah dan didatangi orang yang tidak dikenali, jangan sama sekali memberitahu keadaan itu.
“Begitu juga apabila keluar rumah atau pergi ke mana-mana dengan seseorang termasuklah teman, jiran dan sebagainya, antara helah yang boleh digunakan ialah menelefon ahli keluarga atau orang lain yang dikenali bahawa ketika itu anda bersama dengan individu berkenaan. Dengan teknologi yang ada hari ini, mungkin juga boleh menghantar MMS wajah orang yang anda keluar bersama itu kepada keluarga dan sebagainya.

“Taktik seumpama itu boleh menyebabkan individu yang berniat melakukan sesuatu tidak baik dengan anda membatalkan hasrat kerana bimbang, jejak atau tindakan jahat itu mudah dikesan,” katanya.

Rakan jadi dajal

SEPERTI gunting dalam lipatan. Dalam diam, rakannya menjadi ‘dajal’ yang memusnahkan kemanisan hidup remajanya. Itulah nasib menimpa Ikin yang menjadi mangsa rogol angkara rakan baik yang dikenali sejak kecil lagi.

Semuanya berpunca daripada perasaan cemburu yang tersembunyi dan dengki membuak rakan Ikin kepadanya apabila beliau dinaikkan pangkat. Malangnya, Ikin tidak menyedari hal itu dan rahsia itu hanya terbongkar apabila dirinya sudah pun menjadi mangsa.

Ikin bekas pekerja kilang elektronik berkata, beliau tidak menyangka sama sekali keinginan menyambut hari kemerdekaan di bandar, membawa padah dalam hidup dan menjadi kenangan pahit serta tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.

“Itulah pertama kali saya ingin melihat suasana sambutan hari kemerdekaan di bandar dan saya memang jarang keluar malam apatah lagi jika tiada apa-apa hal. Malam itu saya dan dua lagi rakan perempuan keluar bersama. Kedua-duanya, sama bekerja dengan saya dan kami kenal baik antara satu sama lain. Malam tu, memang seronok dan meriah, tetapi apa yang dirancang lain pula jadinya,” kata Ikin dalam nada perlahan.

Ikin yang berasal dari selatan berkata, ketika berasa haus rakannya menawar diri untuk membelikan air minuman. Tanpa ada perasaan syak wasangka, air dibelikan rakan disedut bagi membasahkan tekak. Selepas meminum air itu kepalanya berpinar dan pandangannya semakin kelam, malah Ikin tidak tahu apa yang berlaku selepas itu.

“Sedar-sedar, saya sudah berada di atas katil di sebuah rumah yang saya sendiri tidak tahu di mana tempat itu. Waktu itu sudah pagi dan saya tanya kepada dua rakan, apa yang berlaku dan mereka kata saya pengsan, sebab itulah terpaksa bermalam di situ. Saya berasa hairan tetapi tidak syak apa-apa kerana tidak berasa apa-apa perubahan pada diri, malah pakaian yang dipakai juga lengkap dan sama seperti malam itu,” katanya lalu menghela nafas panjang.

Empat bulan selepas kejadian itu, rakan yang bersubahat dan diasak perasaan bersalah menganiaya Ikin, membocorkan rahsia sebenar peristiwa pada malam itu. Bagaikan luruh jantung Ikin, mendengar cerita yang berlaku. Wanita bertubuh kecil itu kebingungan dan tidak tahu apa yang mesti dilakukan.

Akhirnya, perkara itu dikongsi bersama dengan penyelia dan laporan polis dibuat. Dua minggu selepas itu, lelaki merogolnya berjaya ditangkap, manakala rakan yang menganiayanya menghilangkan diri entah ke mana. Malang yang menimpa Ikin tidak habis di situ kerana didapati mengandung lima bulan.

“Hari-hari saya menangis dan kadang-kadang, rasa hendak bunuh diri, tetapi nasib baiklah, ibu serta nenek sentiasa memberikan sokongan,” ceritanya lagi. Ibu Ikin mencadangkannya memasuki mana-mana pusat perlindungan wanita. Ikin yang tidak berdaya berdepan tekanan, menerima cadangan itu.

Ikin diterima memasuki Kompleks Dar-Assa’adah dan kini sudah hampir setahun menjadi penghuni di situ. Malah, anaknya sudah pun berusia lima bulan dan kini dijaga oleh ibunya di kampung. Hari raya tahun lalu, Ikin sempat menghabiskan masa bersama anak lelakinya itu.

“Sehingga hari ini saya tidak pernah melihat wajah sebenar perogol itu. Saya hanya melihatnya melalui gambar yang ditunjukkan ibu. Dulu, memang ada perasaan marah dan geram pada lelaki itu, tetapi kini saya terima dengan reda apa yang sudah berlaku dan biarlah Allah saja membalasnya.

“Saya dapat tahu, perogol itu dijatuhkan hukuman tujuh sebatan dan penjara. Dia juga pernah beritahu kepada ibu saya untuk bertemu dan datang minta maaf dengan saya selepas keluar penjara nanti. Tetapi bagi saya, lebih baik tidak payah tengok mukanya langsung,” katanya tegas.

Mengambil iktibar daripada peristiwa itu, Ikin berkata, akan lebih berhati-hati dan selepas ini mungkin tidak akan mudah mempercayai seseorang sekalipun sudah lama kenal.

Mengenai perancangan masa depan, Ikin yang berpeluang belajar menjahit di pusat perlindungan itu bercadang untuk bekerja kerana ingin menanggung dan menjaga sendiri anaknya selepas tempoh berada di pusat perlindungan di situ tamat nanti.

Mangsa si pemasang jeriji

TAKUT, sedih, marah dan macam-macam lagi perasaan bercampur-baur dalam diri Roslina apabila mendapati dirinya mengandungkan anak yang bukan disemai daripada benih cinta, sebaliknya akibat perbuatan keji lelaki jahanam tidak dikenali sehingga mencalar maruah diri.

Namun, Roslina tidak berdaya untuk memutarkan masa yang sudah berlaku. Meskipun, terlalu pahit untuk diterima semua itu, anak bongsu dalam lapan beradik itu terpaksa reda berdepan dengan kenyataan.

Menceritakan peristiwa yang merenggut kebahagiaannya sehingga memaksanya membawa diri ke pusat perlindungan Kompleks Da-Assa’dah, Roslina berkata, hari yang dianggap berlangsung dengan baik dan sempurna, tidak sangka adalah hari paling malang buatnya.

“Pagi itu di tadika tempat saya mengajar ada gotong-royong dan selepas habis, semuanya balik kecuali saya yang perlu mengunci tadika berkenaan sebelum pulang. Saya juga tidak boleh pulang awal kerana hari itu ada kerja pemasangan jeriji oleh lelaki yang rumahnya hanya bersebelahan dengan tadika itu. Mahu tidak mahu, saya perlu menunggunya habis melakukan tugas itu. Waktu itu memang tinggal kami berdua saja.

“Dalam sibuk buat kerja, lelaki itu kemudian memberitahu saya dia berasa haus dan ingin membeli air, malah turut menawar membelikan minuman untuk saya. Tanpa berfikir panjang saya pun setuju. Sebaik saja lelaki itu membelinya, saya pun terus minum air berkenaan dan akhirnya tidak sedarkan diri.

“Apabila bangun, saya mendapati seluar yang saya pakai sudah tertanggal. Saya syak sesuatu yang buruk telah berlaku pada saya dan begitu panik tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Akhirnya, saya telefon bapa dan memberitahu kejadian itu,” katanya yang mengakui berasa malu untuk membongkar cerita mengaibkan itu.

Roslina berkata, disebabkan berasa terlalu malu, trauma dan dilanda perasaan yang tidak keruan, kejadian itu tidak dilaporkan pada pihak berkuasa. Bagaimanapun, sebelum itu bapa dan abang-abangnya berusaha juga mencari lelaki jahanam itu, konon untuk ‘mengajarnya’.

Ternyata, lelaki itu lebih licik dan sudah pun menghilangkan diri. Mendiamkan diri, membuatkan Roslina terus tertekan dan keadaan bertambah teruk apabila mendapati dirinya mengandung.

“Sikap saya tidak seperti sebelum itu. Kanak-kanak yang saya ajar menjadi takut dengan saya kerana sikap saya yang cepat marah dan tidak mesra lagi dengan mereka. Keadaan lebih teruk apabila dapat tahu saya mengandung empat bulan. Saya asyik mengurung diri saja. Keluarga kemudian membuat keputusan melaporkan kejadian itu kepada polis dan menghantar saya ke pusat perlindungan wanita supaya jiwa tenteram dan semangat saya kembali pulih,” katanya yang sudah pun selamat melahirkan bayi lelaki beberapa bulan lalu ketika berada di pusat perlindungan itu.

Roslina yang berasal dari Pantai Timur berkata, melalui polis barulah diketahui bahawa lelaki yang merosakkan hidupnya itu sebenarnya memang dikehendaki pihak berkuasa kerana melakukan beberapa kesalahan jenayah, namun lelaki itu masih tidak dapat dikesan.

“Anak saya kini di bawah jagaan ibu saudara. Walaupun, kelahirannya di dunia bukan atas kerelaan, saya tetap menyayanginya. Anak saya itu tidak bersalah dan sebab itulah saya mahu berikannya kasih sayang seperti sebuah keluarga sempurna dan tidak mahu apabila besar kelak, dia berasa tersisih atau rendah diri,” katanya meluahkan naluri hatinya sebagai ibu.

Roslina yang berkelulusan diploma dalam bidang kejuruteraan berkata, kejadian hitam itu turut hampir merosakkan hubungan baiknya dengan teman lelaki yang sudah dikenali sejak lima tahun lalu. Mujur, teman lelaki yang sudah merancang menyuntingnya sebagai suri dalam hidup, masih boleh menerima Roslina seadanya, tetapi tidak pasti bagaimana penerimaan keluarganya.

Selepas keluar dari pusat perlindungan itu Roslina merancang untuk mengambil kursus pengasuhan kanak-kanak bagi membolehkannya meneruskan kerjaya dalam bidang yang diceburi sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan