#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Mei 21, 2010

Jangan biar anak keluar malam

Oleh Fadzlena Jafar
2010/05/21

Berita Harian

MEREMPIT, buang bayi, ketagihan dadah dan melepak antara masalah yang kini hebat dikaitkan dengan remaja di negara ini. Terbaru, kisah dua remaja yang menanam bayi hasil hubungan terlarang mereka dilaporkan akhbar ini. Mereka bukan bersendirian kerana kebanyakan kes pembuangan bayi membabitkan remaja. Begitu juga merempit atau lumba motor haram yang lazimnya dilakukan golongan muda, malah menyedihkan apabila kita baca ada remaja berusia 15 tahun memandu kereta dan melepak bersama rakan pada jam 2 pagi.

Ada kalanya kita tertanya-tanya, siapa yang mengajar mereka untuk memandu atau membawa motor yang pastinya bukan kepunyaan mereka? Pada usia begitu muda dan tanpa sesi pembelajaran memandu secara formal, cara pemanduan mereka sehebat pemandu dewasa, malah mungkin lebih hebat. Belum lagi kisah remaja yang ditahan khayal bersama teman, sama ada mengambil syabu ataupun pil ecstacy. Apa yang pasti, isu penagihan dadah bukan hanya berlaku di kawasan bandar, sebaliknya turut membabitkan kawasan luar bandar seperti di kampung dan rancangan Felda.

Bagaimana mereka mendapat bekalan dadah? Siapakah yang memperkenalkan mereka dengan ‘benda’ yang tidak boleh didapati di pasaran terbuka?

Menakutkan sekali apabila memikirkan bagaimana ‘jaringan’ bagi merosakkan remaja itu berkembang. Hakikatnya, apa yang dilaporkan media hanya sebahagian daripada jumlah sebenar yang membabitkan remaja kita hari ini, tetapi apakah yang kita lakukan bagi membendung gejala sosial ini?

Jika dikaji kebanyakan gejala sosial itu berlaku pada waktu malam. Lumba haram umpamanya lazim dilakukan pada jam 12 malam. Begitu juga remaja yang melepak di kedai kopi pada dinihari. Ada kalanya kita sendiri tertanya-tanya bagaimana remaja yang masih di bangku sekolah boleh berada di luar rumah tanpa pengetahuan ibu bapa.
Isu seperti buang bayi, merempit dan penagihan dadah tidak lagi boleh dipandang sebelah mata kerana semakin kerap kes membabitkan golongan muda dilaporkan di media. Sesuatu harus dilakukan bagi memastikan masyarakat memandang serius isu ini, termasuk membabitkan dari segi undang-undang mahupun mencari punca mengapa kejadian sebegitu berlaku.

Sama ada suka atau tidak, kita harus akui aktiviti keluar malam adalah ibu kepada segala kepincangan yang berlaku di kalangan generasi muda hari ini. Mungkin halangan keluar malam bagi remaja atau kanak-kanak dikuatkuasakan dapat membantu mengurangkan masalah yang berlaku ini.

Beberapa tahun lalu, Perlis pernah mencadangkan larangan keluar malam itu, tetapi mendapat tentangan pelbagai pihak. Secara peribadi saya bersetuju supaya remaja tidak dibenarkan keluar malam kerana kita sebenarnya tidak tahu apa yang mereka lakukan pada waktu itu.

Di depan mata, mereka mungkin anak yang baik, tetapi di luar mungkin perangai mereka sebaliknya, tetapi siapa yang tahu? Justeru, selain memastikan mereka berada di rumah pada waktu malam, sebaiknya kita sebagai ibu bapa juga perlu mengambil tahu dengan siapa anak kita berkawan.

Pada masa sama, masyarakat juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa jika melihat ‘kepincangan’ yang dilakukan remaja hari ini. Konsep ‘enggan masuk campur’ tidak boleh lagi dipegang bagi memastikan masalah yang membabitkan remaja tidak menjadi barah kelak.

Kita sebagai ibu bapa juga perlu menerima hakikat kepincangan di kalangan generasi muda itu berlaku disebabkan kealpaan kita. Memang pahit untuk ditelan, namun setiap yang pahit itu jika ditelan akan menjadi penawar, sama seperti fungsi ubat yang lazim berasa pahit.

Hanya dengan mengakui kesilapan itu, barulah kita dapat dapat bermuhasabah diri dan seterusnya memperbetulkan kesilapan yang sudah dilakukan, bukannya berterusan menyalahkan pihak lain. Meletakkan kesalahan di bahu pihak lain atau kepada keadaan bukan cara terbaik kerana kita seolah-olah cuba menafikan kesilapan sendiri.

Anak kita adalah tanggungjawab kita, bukannya pihak sekolah atau masyarakat. Justeru, rapatkan kembali hubungan kekeluargaan dan jangan biarkan kesibukan kita dengan aktiviti sama ada di pejabat mahupun sampingan menjadi punca anak terus bebas melakukan apa saja.

fadzlena@bharian.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan