#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Mei 26, 2010

Salahkah saya diperkosa?

Utusan Malaysia
ARKIB : 23/05/2010


SAYA ingin mengucapkan ribuan terima kasih saya buat Putri yang sudi membaca luahan hati saya ini. Saya sekian lama saya memendamkan masalah ini.

"Malam bertandang, hati berbisik mengenang cerita derita yang daku pendam. Kata menguji cuba untuk ku sudahi berulang air mata membasahi. Aku kini perlu berdiri walau hakikatnya pastikan melukai. Aku ingin semua rasai kerana pengakhirnya hidup ku sendiri. Oh Tuhan Kau berikan aku segala kekuatan meneruskan perjalanan hidupku." Begitulah bait-bait lirik lagu yang menjadi kekuatan saya.

Siapa sangka, lelaki yang sangat saya percayai telah menodai diri ini. Kerana cinta, saya hanyut dan menyerahkan segala-galanya. Mujurlah saya tidak berbadan dua iaitu mengandung anak luar nikah. Jika tidak apa akan terjadi kepada bayi berkenaan. Semuanya terjadi tanpa kerelaan saya. Cinta monyet telah membuatkan saya leka dan akhirnya saya diperkosa.

Pada mulanya memang saya tidak berniat untuk membuka pekung di dada sendiri, tapi saya tidak mampu lagi menanggung seorang diri akibat cerita silam. Peristiwa hitam hidup saya ini terjadi ketika saya di zaman remaja, ketika masih di alam persekolahan. Entah dari mana datangnya kekuatan untuk melindungkan apa yang terjadi dari pengetahuan kedua-dua orang tua saya. Syukur ke hadrat Ilahi, ia tidak berpanjangan. Namun, selepas kejadian itu, saya menjadi semakin tidak menentu. Saya takut ditinggalkan apatah lagi dia sudah mulai berubah. Jika dulu, setiap hari dia akan menelefon saya. Tetapi sekarang, dia jarang bersms atau menelefon saya. Masa tu dunia saya bagaikan gelap, tiada siapa pun yang mampu menolong saya.

Itu kisah zaman remaja saya. Namun, segala-galanya berubah sehingga saya meningkat dewasa dan bertemu dengan seorang jejaka yang amat saya cintai. Kini, dia mahu meminang saya dan mengikat hubungan serius. Hati saya memberontak, takut, macam mana nak saya terangkan pada dia. Perlukah saya ceritakan kisah silam saya?

Saya memberanikan diri untuk berterus terang. Dengan keberanian saya luahkan isi hati pada lelaki ini tetapi kekecewaan yang saya perolehi. Dia tidak dapat terima saya Putri. Walaupun itu bukan kesalahan saya dan saya tak pernah meminta semua ini terjadi. Dia tetap tidak dapat menerima saya.
Masa itu saya merasakan dunia begitu kejam. Salahkah saya hanya kerana saya pernah diperkosa. Kejamnya perasaan seorang lelaki. Saya menangis dan kecewa kerana sikap jujur saya tidak diterima. Malah kebahagiaan yang saya harapkan musnah. Setelah mengetahui kedudukan diri saya, si dia berdiam diri, tiada sebarang keputusan diberi. Kalau dia mampu melihat hati saya, pasti dia tahu betapa remuknya jiwa dan raga ini.

Akhirnya saya yang membuat keputusan untuk memutuskan hubungan yang kami. Saya tak sanggup menanti jawapan dan keputusan daripadanya. Peristiwa ini benar-benar menyeksa jiwa dan hati saya. Kepada semua lelaki di luar sana, terimalah pasangan anda seadanya. Mungkin kisah silam dan perit mereka lalui bukan atas kerelaan. Bagi remaja yang sedang leka bercinta, berhati-hatilah dan hargailah kehormatan yang anda miliki.

Zuri, Johor.


Zuri,

Cinta itu buta sehingga kita sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Tanpa kita sedari pengorbanan yang kita lakukan akhirnya meninggalkan luka yang amat dalam. Sehinggakan kita tidak boleh mengubah takdir itu. Buat Zuri, janganlah berputus asa. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini. Siapa tahu, anda bakal bertemu dengan seorang lelaki yang boleh menerima kekurangan diri anda. Sebaiknya, pada masa akan datang, Zuri meminta pendapat daripada ustazah atau mereka yang mahir tentang agama berkaitan perkara ini. Tanyakan pendapat mereka, perlukah Zuri berterus terang atau tidak. Dalam hal ini, tidak semua lelaki akan memandang serong wanita yang mempunyai kisah silam seperti Zuri. Sebagai wanita, kita perlu bijak membuat keputusan untuk memilih lelaki yang menerima kita seadanya.

Kepada remaja di luar sana, jadikan kisah ini sebagai pengajaran. Jangan sekali-kali menggadaikan maruah hanya kerana cinta. Bila nasi sudah menjadi bubur, terlalu sukar untuk kita kembali kepada kehidupan normal semula. Apa yang boleh dilakukan, perbaiki diri dan mencari semangat baru untuk hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan