#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Mei 26, 2010

Pengetahuan seksual secara ilmiah

Berita Harian
Oleh Nurul Nadia Abdul Hamid
2010/05/25

Cegah remaja daripada aktiviti tidak sihat

LANGKAH pengenalan dasar pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (PKRS) menggantikan pendidikan seks menekankan pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan sosial agar mampu mengelakkan masyarakat, terutama golongan muda daripada terjebak dalam tingkah laku yang tidak sihat. Sebelum ini, cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks sebagai subjek khas di sekolah ditolak berikutan keengganan segelintir ibu bapa menerimanya, selain bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sehubungan itu, Lembaga penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di samping NGO menetapkan matlamat program berkenaan sebagai asas kukuh kepada perkembangan model pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling menghormati.

Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan keluarga) LPPKN, Dr Norliza Ahmad, berkata pengetahuan seksualiti penting sebagai benteng untuk menangkis unsur buruk yang mampu menjerumuskan generasi muda ke arah salah laku seksual.


“Remaja kini mengalami cabaran yang dahsyat selain terdedah dengan pelbagai unsur negatif. Teknologi yang melangkaui sempadan dan kemudahan berlebihan memberi mereka input sehinggakan terjadi masalah sosial seperti seks luar nikah, seks rambang, rogol, pornografi, seks siber dan sexting atau mesej seks melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya ketika taklimat bersama media di bangunan LPPKN, baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman.

Katanya, pelbagai faktor penentu kepada aktiviti remaja sedemikian antaranya peningkatan hormon reproduktif apabila pengakhiran umur remaja, status sosio-ekonomi, pegangan agama yang goyah dan senario tingkah laku pasangan ketika janji temu.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak faktor latar belakang keluarga, kawalan dan pengaruh rakan sebaya selain etnik turut menjadi penyumbang kepada permasalahan sosial remaja.

Kajian penduduk dan keluarga Malaysia keempat oleh LPPKN pada 2004 pula menunjukkan data hampir 2.2 peratus remaja mengadakan hubungan seks luar nikah, manakala kajian di Negeri Sembilan pada 2006, menunjukkan 5.4 peratus remaja mengadakan hubungan seks pada purata umur 15 tahun.

Memeranjatkan apabila kajian oleh MAC pada 2000 menyatakan umur paling muda melakukan hubungan seks ialah seawal usia sembilan tahun dan kajian media LPPKN 1998 mencatatkan 27.2 peratus remaja berumur 16 tahun melakukan hubungan seks pertama.

Laporan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan 1,456 kes rogol berlaku setiap tahun. Jumlah itu dikatakan hanyalah 10 peratus daripada kejadian sebenar, manakala lebih separuh daripada kes berkenaan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Kajian menunjukkan 84 peratus mangsa dirogol oleh individu yang dikenali, mempunyai pertalian saudara termasuk teman lelaki yang baru dikenali dengan 67 peratus lokasi rogol adalah di tempat yang dianggap selamat oleh mangsa iaitu rumah dan bangunan.

Dr Norliza berkata, berdasarkan pelbagai kejadian yang dilakukan itu pihaknya berharap masyarakat dapat menerima bahawa pendidik mengenai seksualiti amat penting supaya kanak-kanak khususnya, tahu mengenai fungsi organ reproduktif.

“Objektif kita adalah memberi kesedaran, pendidikan, mengurangkan sensitiviti dan salah tanggapan mengenai PKRS melalui penyediaan program sokongan seperti modul I am in Control, modul Mutiara Kasih serta program kafe@TEEN khusus di kalangan remaja, dewasa dan ibu bapa,” katanya.

Bagi melaksana dan meningkatkan penyelidikan bagi menambah baik sistem berkenaan, badan berkaitan bekerjasama memberi penekanan input dalam jangka pendek, sederhana dan panjang melalui projek seperti yang dianjurkan Tabung Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), kajian MPFS, Sex and Concerned, Teenagers dan kajian Risks serta tanda aras (benchmarking).

Dihasilkan Kumpulan Kerja Teknikal yang dipengerusikan Kementerian Pelajaran Malaysia sejak 2006, ia diluluskan pada 6 November lalu dan menekankan lima aspek penting iaitu biologikal, sosiobudaya, psikologikal dan kerohanian serta spiritual.

Strategi pelaksanaan dan keberkesanan dasar membabitkan inisiatif pelan tindakan PKRS melalui advokasi iaitu pemberitahuan kepada masyarakat umum, pembangunan modal insan, penyelidikan, pembangunan dan pemantauan pelbagai program di samping penilaian berkala diharap mampu membendung masalah sosial yang kian berleluasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan