#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Mei 26, 2010

Tawanan dukun muda

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com. my
2010/05/25


KUALA LUMPUR: Tempoh tiga jam penuh mendebarkan buat seorang gadis apabila ditawan seorang dukun muda yang bertindak merawat mangsa melalui kaedah urut geli-geli pada seluruh tubuh selepas mendakwa rawatan itu mampu menyembuhkan penyakit kanser dihidap mangsa.

Difahamkan, suspek yang berusia 24 tahun berkenaan turut dipercayai mengamalkan ilmu pukau apabila menggunakan asap rokok dan gula-gula pedas bagi membuat mangsa menjadi kaku sebelum dicabul di dalam sebuah bilik hotel di sini.

Namun mangsa bernasib baik apabila tersedar sebelum cuba melarikan diri dari bilik hotel selepas bergelut dengan suspek yang hanya baru dikenali kira-kira lima hari melalui laman sembang Internet.

Sumber polis berkata, suspek mendakwa mempunyai kebolehan luar biasa mengesan penyakit yang dihadapi sesiapa saja dengan hanya melihat air muka mereka.

“Suspek berusia 20-an itu dikatakan menelek muka mangsa menerusi kamera web berkenaan sebelum mendakwa berjaya mengesan beberapa jenis penyakit dalam tubuh mangsa termasuk kanser.

“Suspek kemudian memberitahu turut dianugerahkan kebolehan luar biasa iaitu mampu mengubati penyakit itu dan meminta gadis berkenaan datang ke ibu kota bagi menjalani sesi rawatan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang termakan kata-kata pujukan suspek kemudian bersetuju datang ke ibu kota bagi menjalani proses rawatan di sebuah hotel di Jalan Chow Kit di sini, kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu.

“Sebaik tiba di bilik hotel, suspek berbual mesra terlebih dahulu dengan mangsa sebelum memulakan sesi rawatan aneh berkenaan dengan membuka bajunya sebelum mengarahkan mangsa membuat tindakan sama bagi memudahkan rawatan,” katanya.

Lelaki itu kemudiannya cuba meliwat dan memperkosa mangsa tetapi berjaya dihalang gadis itu menyebabkan suspek marah dan mengugut mahu mengikatnya dengan tali pinggang sebelum memukulnya.

Difahamkan, mangsa yang cuba melepaskan diri dari ‘tawanan’ kemudian mendapat akal melengahkan masa dengan berpura-pura lapar dan meminta suspek bersabar terlebih dahulu.

“Kesempatan itu diambil mangsa melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mangsa menjerit meminta tolong.

“Tindakan mangsa yang menjerit kuat itu menyebabkan suspek panik sebelum kelam-kabut melarikan diri dari bilik hotel berkenaan. Namun suspek sempat membawa lari bersama komputer riba, beg duit dan telefon bimbit mangsa dianggarkan berjumlah RM3,000,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang berjaya melepaskan diri berada dalam keadaan bingung sebelum dibantu beberapa orang yang berada di kawasan hotel terbabit bagi menelefon keluarga.

“Nasib baik mangsa mengingati nombor telefon adiknya di Johor untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Difahamkan saudara mangsa datang ke hotel berkenaan dan membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk membuat laporan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan