#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Mei 26, 2010

Ibu bapa perlu terap ilmu kekeluargaan

Oleh Sukhairi Abd Thani
Berita Harian
2010/05/24


Anak derhaka jika tidak hormat ibu bapa

KUALA LUMPUR: Anak yang enggan menjaga ibu bapa dan meninggalkan mereka di rumah transit atau perlindungan, disifatkan sebagai anak derhaka serta melanggar fitrah manusia supaya taat dan hormat kepada kedua ibu bapa.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata ilmu berkaitan agama seperti akhlak perlu diberi penekanan sejak dari bangku sekolah lagi bagi memberi mereka kesedaran dan mengelakkan perkara seumpama itu berlaku.


“Anak perlu ingat siapa melahirkan dan membesarkan mereka, mereka tidak boleh bersikap pentingkan diri dan mengejar keperluan di dunia sehingga melupakan tanggungjawab yang perlu digalas sebagai anak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Penasihat Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah di Klang, Ahmad Dusuki Abd Rani, berkata ibu bapa juga bertanggungjawab terhadap anak mereka berkelakuan seumpama itu kerana mereka tidak menerapkan jiwa kekeluargaan ketika anak masih kecil sehinggakan apabila besar melupakan tanggungjawab menjaga ibu bapa.

“Pertama kurang jiwa kekeluargaan, kedua ibu bapa pada masa awalnya tidak menerapkan ilmu agama yang mencukupi dan ketiga masyarakat kita pada masa kini lebih cenderung untuk mengejar kebendaan dari menjaga ibu bapa dianggap mereka sebagai satu bebanan,” katanya.

Bagi Persatuan Kebajikan Nur Hikmah yang kebanyakannya membantu golongan remaja bermasalah turut mempunyai hasrat yang sama untuk membina rumah perlindungan kepada golongan berkenaan dalam masa terdekat.

Yang Dipertuanya, Othman Ahmad berkata, pihaknya kini hanya mampu menyediakan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga dan warga emas yang mempunyai masalah.


“Kini, kita kekurangan pusat penjagaan warga emas yang dikelolakan oleh orang Islam. Oleh itu, kami mahu menyediakan pusat penjagaan warga emas ini disebabkan banyak perhatian kini lebih tertumpu kepada penjagaan anak yatim dan remaja bermasalah,” katanya.

Semalam, laporan muka depan Berita Minggu melaporkan ramai warga emas yang dulunya golongan profesional kini tergolong sebagai pesakit terdampar selepas tiada waris termasuk anak yang mahu mengambil mereka pulang walaupun sudah sembuh dirawat di hospital dan menyebabkan kesesakan di rumah transit sebelum dihantar ke rumah perlindungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan