#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Julai 02, 2010

Anak hilang kepercayaan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
Harian Metro
2010/07/02


KUALA LUMPUR: “Anak ini akan hilang kepercayaan pada sesiapa pun kerana lelaki yang paling dipercayai dan sepatutnya menjadi pelindung adalah orang sama yang merosakkan hidupnya,” kata Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal.

Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata demikian ketika mengulas perbuatan jijik duda berusia 40-an yang merogol tiga anaknya secara bergilir-gilir.

Menurut Dr Noor Aziah, hilang kepercayaan antara kesan psikologi paling teruk dialami anak perempuan yang menjadi mangsa sumbang mahram sama ada oleh bapa kandung, bapa tiri, abang mahupun ahli keluarga lain.

Katanya, hanya dengan kaunseling yang menjamin kerahsiaan terhadap semua cerita akan membuatkan mangsa meluahkan rasa amarah atau apa saja perasaan yang terpendam dalam hati akibat perbuatan keji anggota keluarga sendiri.

“Itu pun bukan senang kita melihat mangsa membuka mulut kerana kes rogol yang ada kaitan dengan mahram sendiri tidak sama dengan rogol biasa, apatah lagi membabitkan orang yang sepatutnya memberi perlindungan kepada anak-anaknya.

“Jadi kita tak boleh salahkan mangsa jika dia mendiamkan diri, rahsiakan perkara sebenar kerana biasanya mereka takut hendak membuat laporan, tambahan sekiranya berdepan ugutan selain tidak tahu ke mana hendak pergi.

“Kalau ikutkan kes begini banyak berlaku dalam masyarakat, tetapi sangat kurang dilaporkan kerana mangsa masih berada dalam pengaruh pelaku. Jadi dia (mangsa) takut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan kisah seorang bapa yang luarannya dianggap bertanggungjawab kerana membesarkan sendiri tiga anak gadisnya sejak berpisah dengan bekas isteri, kira-kira lima tahun lalu sebenarnya menyimpan rahsia besar.

Lelaki berusia 40-an itu menjadikan tiga anaknya berusia 11, 13 dan 14 tahun sebagai pemuas nafsu sejak lebih enam bulan lalu dan rahsianya terbongkar Selasa lalu apabila seorang anak perempuannya mendedahkan episod hitam dihadapi.

Lebih mengaibkan tiga beradik yang bersekolah di Kota Kinabalu itu dirogol bapa mereka secara bergilir-gilir, seorang demi seorang pada satu malam, sebelum perkara itu diketahui ibu saudara mangsa yang tinggal berdekatan. Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut meminta masyarakat tidak meminggirkan mangsa rogolsebaliknya, memberi sepenuh sokongan untuk mereka memulakan kehidupan dengan lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan