#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Julai 01, 2010

Derita anak yatim

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/07/01


KUALA LUMPUR: Tangannya diikat, mukanya ditampar manakala tubuh kecilnya pula ditendang serta dicucuh dengan puntung rokok yang masih menyala, selain disebat menggunakan penyangkut baju.

Itulah penderitaan terpaksa ditanggung seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dipercayai didera ibu angkatnya berusia 44 tahun sejak empat bulan lalu di rumah mereka di Jalan Ipoh, di sini.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu sudah tinggal bersama wanita itu sejak setahun lalu selepas kematian ibu bapa kandungnya.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 11.30 pagi, Rabu lalu, kanak-kanak malang itu terus menjadi mangsa ibu angkatnya melepaskan geram apabila dia terus dibelasah.

Bagaimanapun kanak-kanak itu agak bernasib baik apabila seorang penduduk curiga selepas terdengar tangisannya, lalu menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan kejadian itu.

Menurut sumber polis, berdasarkan maklumat itu, sekumpulan pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bergegas ke lokasi kejadian.

“Mereka tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari. Seorang wanita muncul dan berpura-pura terkejut apabila polis memaklumkan menerima maklumat dia melakukan penderaan sambil mendakwa dia difitnah.

“Pada mulanya dia tidak membenarkan polis memeriksa rumahnya, namun polis tetap menjalankan tugas mereka dan hasil pemeriksaan kami menemui seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dengan kain tudung dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, wanita terbabit ditahan sebaik pihak JKM dapat membuktikan dakwaan berkenaan.

“Ketika ditanya pihak berkuasa, kanak-kanak perempuan itu mendakwa dia diperlakukan sedemikian sejak empat bulan lalu.

“Ibu angkatnya itu akan mengikat sebelum memukulnya dengan penyangkut baju. Malah, dia mendakwa turut ditampar selain ditendang setiap kali ibu angkatnya itu mengalami tekanan.

“Tidak cukup dengan itu, tubuh kanak-kanak malang itu turut dicucuk dengan puntung rokok yang masih menyala,” katanya.

Sumber berkata, seluruh tubuh kanak-kanak itu terdapat kesan lebam, berbirat dan melecur.

“Malah, disebabkan kesan penderaan itu juga kanak-kanak perempuan itu tidak dibenarkan bersekolah kerana wanita terbabit bimbang rahsianya terbongkar,” katanya.

Kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Menurut sumber itu lagi, kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di bawah perlindungan JKM sementara kes terbabit disiasat pihak berkuasa. Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu ibu angkat kepada kanak-kanak itu kini direman bagi membantu siasatan.

Sementara itu, seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, 36, berkata pada malam kejadian dia mendengar kanak-kanak itu menangis meminta dikasihani.

“Suaranya semakin lama semakin kuat....disusuli dengan bunyi pukulan. Malah, itu bukan kali pertama berlaku. Sudah beberapa bulan saya mendengar tangisan kanak-kanak itu namun berdiam diri kerana tidak tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan