#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Julai 02, 2010

Jangan guna konsep 'tarik kereta'

Utusan Malaysia
30/06/2010

KEBAHAGIAAN atau keruntuhan sesebuah perkahwinan bergantung kepada enam aspek utama
yang perlu diberi perhatian oleh pasangan suami isteri.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Asmawi Umar berkata, aspek pertama adalah niat seseorang lelaki atau wanita ingin bernikah.

Jika melangsungkan pernikahan hanya untuk keseronokan, terlafaz cinta lebih awal walaupun tidak bersedia, sudah terlalu rapat dengan keluarga pasangan atau terlanjur, perkahwinan yang dibina mungkin kucar-kacir dan hambar.

"Bila tidak bernikah mengikut tujuan yang disarankan agama, mungkin akhirnya salah seorang pasangan hanya mempunyai perasaan ehsan kepada pasangannya.

"Sebenarnya, tujuan utama perkahwinan adalah untuk mencari ketenangan dan pasangan yang dipilih perlu mampu menenangkan seseorang hingga akhir hayat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Pusat Islam di sini baru-baru ini.

Asmawi berkata, aspek kedua adalah mendekatkan diri dan keluarga dengan Tuhan serta menjalankan ajaran agama.

Jelasnya, ketenangan menyeluruh dalam sesebuah keluarga akan diperoleh jika individu di dalamnya melaksanakan suruhan Tuhan.

"Ada keluarga yang langsung tidak sembahyang atau mengaji, jadi macam mana untuk mendapat ketenangan dan keberkatan," katanya.

Seterusnya, Asmawi berkata, suami isteri perlu mengetahui dan memahami keperluan antara satu sama lain dalam apa juga keadaan termasuk peringkat umur serta tempat.

Bagi golongan isteri, mereka perlu cuba sedaya-upaya melayan suami sekerapnya dalam semua hal walaupun sibuk menguruskan kehidupan dan begitu juga sebaliknya.

"Suami mungkin tidak kisah makan di kedai mamak pada hari bekerja namun jika hujung minggu pun tidak dapat menikmati juadah isteri, mungkin ia akan menjadi masalah tidak puas hati dan boleh mengeruhkan perhubungan.

Selain itu, katanya, seseorang individu perlu mencari pasangan yang 'sekhufuq' atau sepadan dengannya dalam segala aspek termasuk umur dan taraf kedudukan supaya ikatan perkahwinan yang dibina sentiasa kukuh serta aman.

Kebiasaannya, Asmawi berkata, pasangan suami isteri yang berbeza terlalu jauh dari segi umur akan menghadapi masalah apabila tempoh perkahwinan semakin lama kerana keduanya sudah mula berbeza cita rasa.

"Sama juga halnya dengan suami yang mempunyai jawatan atau pendapatan kecil, di mana sukar menjalankan tanggungjawab menanggung keluarga.

"Berdosa bagi suami jika memaksa isterinya untuk menanggung keluarga kerana ia terpulang kepada isteri sama ada mahu melakukan ehsan membantu suami atau tidak," katanya.

Pada masa sama, isteri perlu memahami kedudukan kewangan suami dan lebih baik mengamalkan kesederhanaan dalam perbelanjaan.

Katanya, ketika masih berjawatan, gaji suami mungkin lumayan tetapi apabila bersara, wang pencen yang diterima kecil, jadi isteri perlu menguruskan perbelanjaan dengan bijak.

Menurut Asmawi, aspek terakhir adalah mengekang nafsu di mana suami atau isteri perlu bijak menggunakan akal fikiran dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

"Semua masalah dalam rumah tangga sebenarnya berpunca daripada nafsu jadi kawal nafsu dan jangan guna 'sistem menunda kereta' iaitu langgar untuk ditarik yang bermaksud cuba mencari masalah untuk bercerai," katanya.

Akuinya, kebanyakan perceraian berpunca daripada golongan suami yang sudah bosan melihat isteri apabila tua dan mahu berkahwin lain untuk memenuhi nafsunya.

"Lelaki perlu sedar, isteri muda juga akan jadi tua seperti isteri pertamanya jadi jika mereka terus mahukan wanita muda, mereka akan berkahwin dan bercerai sepanjang kehidupan," katanya.

Perceraian pada usia emas, jelasnya, adalah kes terpencil dan jarang dilihat atau didengari namun jika berlaku, ia memberi kesan yang amat buruk sama ada kepada pasangan, anak dan cucu.

"Banyak hati yang akan terguris apabila pasangan warga emas bercerai termasuk anak-anak yang berbelah-bahagi untuk berkunjung ke rumah ayah atau ibu.

"Saya bukannya memandang buruk perkahwinan poligami namun ia akan memberi lebih banyak kesan buruk berbanding baik.

"Peringkat mana pun usia suami isteri dan tempoh perkahwinan, pokoknya tengok niat pasangan berkahwin sama ada ikhlas mengikut suruhan Islam atau demi keseronokan sahaja," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan