#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Julai 02, 2010

Usah jaga anak macam bela ayam

Oleh rodelio junjun taucan
rodelio.taucan@ utusan.com. my


KOTA BHARU 29 Jun - Peningkatan gejala sosial di negeri ini berpunca daripada sikap ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka seperti 'menternak ayam dan itik'.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, ibu bapa sekarang tidak peka dengan perkembangan anak-anak kerana menganggap peranan mereka hanya cukup sekadar menyediakan makan dan minum.

Justeru katanya, walaupun ada anak perempuan mereka yang hamil, tetapi ia tidak dapat dikesan kerana tidak ada hubungan erat antara ibu bapa dengan anak.

"Kalau keluarga itu rapat, perkara seperti ini tidak akan terlepas pandang terutama sekali jika ibu selalu memeluk anaknya, maka dia tahu setiap perubahan fizikal anak.

"Tetapi itu tidak berlaku kerana kini ramai yang jaga anak macam ternak ayam dan itik, cukup sekadar bagi makan tetapi perkembangan fizikal, rohani dan mental semua tidak dijaga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Kecemerlangan Kerjaya dan Pengurusan Rumah Tangga (Kakitangan Lelaki) di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini semalam.

Menurut Wan Ubaidah, pertambahan institusi pendidikan tinggi (IPT) di negeri ini juga menjadi punca kepada pergaulan bebas apabila semakin ramai pelajar terpaksa berjauhan dengan keluarga dan tinggal menyewa.

Katanya, kesempatan berjauhan daripada keluarga selalunya digunakan oleh golongan remaja untuk memperluaskan hubungan sosial mereka.

Sementara itu menurut beliau, pihaknya sedang dalam proses menyiapkan modul Dasar Keluarga Mawaddah yang digubal kerajaan negeri sebagai panduan kepada masyarakat dalam membentuk keluarga bahagia.

"Kami memang bimbang dengan peningkatan masalah sosial remaja seperti buang anak, berkhalwat dan sebagainya.

"Modul ini sebagai panduan kepada setiap ahli keluarga untuk menilai diri masing-masing dan sejauh mana mereka berjaya melakukan tanggungjawab, " tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan