#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Julai 02, 2010

Ibu resah

Oleh Riadz Radzi
Harian Metro
2010/07/02

ALOR SETAR: “Setiap hari saya menunggu panggilan telefon mengharapkan anak dibawa pulang ke rumah, tetapi masih tiada jawapan,” kata Rokiah Hassan, 43, ibu kepada Nurul Huda Mohamad Tarmizi, 20, yang dilarikan tunangnya, seorang duda berketurunan Indonesia.

Beliau berkata, dia masih menunggu maklum balas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Jitra berhubung status kes anaknya kerana mendakwa sejak dimaklumkan mengenai penemuan anaknya itu, tiada sebarang tindakan dan berita diterima daripada polis.

Katanya, dia tidak mempunyai pilihan selain menunggu tindakan polis kerana tiada sumber kewangan untuk ke Batu Berendam, Melaka, bagi membawa pulang anak keduanya itu ke rumah mereka di Kampung Bendang Tok She, Changlun.

“Saya mengharap 100 peratus usaha membawa pulang Nurul Huda dilaksanakan pihak polis kerana saya tidak berkemampuan daripada segi kewangan. Kalau boleh sekarang pergi ke Melaka.

“Merunsingkan lagi, anak saya tidak lagi mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti selalu dan saya bimbang jika dia sudah dibawa lari oleh lelaki itu ke rumah ibunya di Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap IPD Kubang Pasu ketika dihubungi meminta keluarga Nurul Huda bersabar kerana polis kini dalam proses membawa pulang gadis itu dan pihaknya akan menghubungi mereka dalam tempoh terdekat ini.

Nurul Huda, dipercayai dilarikan tunangnya, Fauzi Mokhtar, 40, pagi Sabtu lalu, di rumahnya ke Melaka sebelum berangkat ke rumah ibu lelaki itu di sebuah daerah di Indonesia. Difahamkan ia percubaan ketiga Nurul Huda melarikan diri bersama lelaki itu selepas hubungan mereka ditentang keluarga kerana Fauzi sudah menjatuhkan maruah keluarganya apabila tidak hadir di majlis perkahwinan mereka 10 April lalu. Seminggu sebelum majlis perkahwinan mereka, Fauzi yang bekerja sebagai tukang besi membawa lari Nurul Huda ke rumah kakaknya di Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka, dipercayai untuk dilarikan ke Indonesia sebelum dikesan keluarga gadis itu. Isnin lalu, polis dari IPD Kubang Pasu menghubungi Rokiah kira-kira jam 5 petang, memaklumkan mereka menemui anaknya di sebuah kawasan perumahan di Batu Berendam, Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan