#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Julai 30, 2010

Disamun dalam pejabat

2010/07/30
Harian Metro


KUANTAN: Tindakan seorang wanita berusia 25, menolak pelawaan lima rakan sepejabat untuk makan tengah hari bersama bertukar mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa samun dalam kejadian di sebuah pejabat di Semambu, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu, pekerja wanita berusia 25 tahun berkenaan yang bekerja di sebuah syarikat menjual barangan elektrik pada mulanya dipelawa rakannya untuk makan bersama namun memilih bersendirian di pejabat ketika waktu rehat.

Namun, tindakan wanita berkenaan ternyata silap apabila dia bukan saja diikat kaki dan tangan, malah mulutnya turut ditutup dengan pita pelekat oleh seorang lelaki tidak dikenali. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata pekerja wanita berkenaan hanya menyedari kehadiran lelaki terbabit sejurus dia keluar dari bilik air dan terkejut apabila suspek secara tiba-tiba meluru ke arahnya.

Katanya, lelaki berkenaan kemudian mengikat kaki dan tangan mangsa selain mulutnya ditampal pita pelekat.

"Selepas mengikat mangsa, suspek yang tidak bersenjata mengugut mangsa supaya mendiamkan diri jika tidak mahu dicederakan sebelum menggeledah pejabat berkenaan," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mohd Haris berkata, suspek berjaya mengambil wang tunai berjumlah RM3,852 milik syarikat berkenaan.

"Mangsa yang berjaya membuka ikatan selepas penyamun berkenaan melarikan diri kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal polis mendapati suspek memasuki pejabat berkenaan melalui pintu depan pejabat sebelum meluru ke arah mangsa dan mengikatnya," katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan