#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Julai 20, 2010

Ibu tiri idola

bminggu@bharian.com.my
2010/07/18


Isteri baru perlu dorong suami prihatin anak perkahwinan lalu

KISAH Ifa melalui liku-liku hidup sebagai ibu tunggal, berkahwin dengan duda dan 'bermadu' pula dengan bekas isteri pertama suami menarik perhatian Kak Ani untuk dibincangkan dalam ruangan Kongsi Rasa kali ini. Pertama sekali, Kak Ani kagum dengan sikap Ifa berdepan kerenah keluarga dan masyarakat sekeliling ketika mengandung dan melahirkan anak tak sah taraf. Pengalaman yang diharungi ibu tunggal tanpa melalui ikatan perkahwinan tentu lebih sulit berbanding mereka yang menjadi ibu tunggal selepas bercerai.

Kehidupan penuh ranjau ini jika silap pertimbangan boleh mendatangkan banyak keburukan seperti kes buang bayi yang menjadi isu hangat sekarang.
Ketabahan Ifa membesarkan anak tunggalnya patut dicontohi mereka yang pernah melalui detik hitam dalam hidup.

Walaupun pernah kecewa dengan sikap teman lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap anaknya, Ifa masih percaya kepada ikatan perkahwinan selepas dipertemukan jodoh dengan duda anak dua yang pernah bercerai dua kali.

Pernikahan adalah ikatan suci sama ada berkahwin sesama teruna dan dara atau duda, menjadi isteri kedua, ketiga dan keempat. Dalam Islam tiada perbezaan antara isteri pertama, kedua, ketiga dan keempat. Seseorang suami yang amanah dan tahu tanggungjawab sebagai pemimpin rumah tangga seharusnya memberi layanan sama rata terhadap isteri-isterinya. Bagaimanapun si suami juga perlu ada pertimbangan tersendiri mengikut keadaan. Takkanlah isteri pertama yang mempunyai enam anak sama belanjanya dengan isteri kedua yang mempunyai seorang anak?

Begitu juga jika pasangan itu sudah bercerai dan jatuh talak tiga pula, hubungan pasangan suami isteri itu sudah tentu terlerai. Hubungan pasangan bercerai sama seperti hubungan bukan mahram lain yang kena jaga auratnya. Walaupun bercerai, ikatan hubungan ayah dan anak tidak putus dan nafkah anak hendaklah ditanggung oleh bapa. Begitu juga hubungan bekas isteri dengan ibu mentua juga tidak akan putus.

Bagi pasangan bercerai, jangan jadikan perceraian sebagai alasan untuk memutuskan hubungan bapa atau ibu dengan anak. Seseorang ibu tidak harus mendidik anak membenci bapa selepas bercerai.

Malah, mereka yang berkahwin duda pula, kena ingatkan tanggungjawab suami membantu anak bekas isteri. Jangan rosakkan hubungan baik suami dengan bekas isteri selagi mengikut batas-batas yang ditetapkan agama. Sebagai isteri yang beriman dan mempunyai kelebihan dari segi pendapatan atau harta, Kak Ani rasa tidak salah isteri itu menghulurkan bantuan perlu kepada anak tiri.

Mungkin sikap ini dapat mengikis pandangan buruk masyarakat kepada ibu tiri yang sering dianggap jahat dan mengongkong pergerakan suami.

Pemberian nafkah zahir sering dinilai berdasarkan harta benda. Memang tidak dinafikan wang ringgit memang diperlukan dalam hidup, tetapi jika suami tidak berkeupayaan memberi kemewahan, seseorang isteri kena terima hakikat kekurangan itu.

Sebelum berkahwin, tentu setiap pasangan sudah mengetahui latar belakang pasangan masing-masing. Kalau kekurangan dianggap beban, mengapa memberikan komitmen untuk hidup bersama?

Penilaian seorang isteri terhadap suami sepatutnya bukan dilihat berdasarkan sumber kewangan saja, tetapi hendaklah dilihat dari pelbagai sudut termasuk memiliki nilai peribadi baik, beriman dan mampu mengharmonikan rumah tangga dengan sikap penyayang dan bertanggungjawab.

Isteri baru makan hati

SAYA tertarik dengan isu yang di ketengahkan dalam Kolum Kongsi Rasa -Trauma gelaran janda Bersama Kak Ani, minggu lalu. Saya berumur 30 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga dengan duda beranak dua berusia 42 tahun. Untuk pengetahuan Kak Ani, saya mempunyai seorang anak perempuan berumur tujuh tahun berstatus tidak sah taraf. Semasa kami mendirikan rumah tangga (anak saya bersama bekas teman lelaki saya yang berasal dari USA). Saya bekerja sebagai Pengurus Kewangan di salah sebuah syarikat insurans di Kuala Lumpur.

Untuk pengetahuan Kak Ani, bekas teman lelaki saya meninggalkan saya semasa saya mengandungkan anak saya. Dan seperti yang Kak Ani sedia maklum lumrah masyarakat kita, memandang hina wanita seperti ini termasuk keluarga saya sendiri. Tapi Tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang, hidup saya bertambah senang selepas kehadiran anak saya. Enam tahun saya mengharungi susah senang kehidupan ini sendirian bersama anak sebagai ibu tunggal.

Saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan suami sekarang. Suami saya memang tidak pernah mengambil tahu perihal anak saya. Semua perbelanjaan sara hidup anak saya tanggung sendiri.

Di sini saya ingin bertanyakan pendapat Kak Ani, adilkah untuk diri saya yang sudah bergelar isteri yang sah tidak mendapat nafkah bulanan daripada suami saya? Sepanjang perkahwinan kami, saya tidak pernah meminta walau sesen duit suami untuk dibelanjakan untuk diri saya dan anak saya.

Suami saya pernah dua kali bercerai. Hasil perkahwinan pertama dia dikurniakan dua anak manakala perkahwinan kedua dia tidak mempunyai anak. Bekas isteri pertama dicerai talak tiga tetapi untuk pengetahuan Kak Ani dia masih tinggal bersama mentua saya sekarang. Adakah dalam Islam membenarkan perbuatan begini? Bekas isteri pertama banyak meracuni fikiran mentua sehinggakan saya tidak diterima keluarga suami. Untuk pengetahuan Kak Ani, keluarga suami tidak mengetahui latar belakang saya dan anak.

Bekas isteri pertama suami tidak bekerja. Suami memberi wang bulanan kepadanya dan anak-anak. Adakah ini adil untuk saya yang berstatus isteri yang sah?

Jika dibandingkan gaji, pendapatan saya melebihi suami. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud saya harus menanggung segala-galanya menggunakan pendapatan saya. Apa yang saya lihat pada zaman sekarang, kebanyakan ibu tunggal lebih gembira memburukkan bekas suami mereka kepada anak sekiranya permintaan mereka tidak ditunaikan. Mereka sepatutnya memahami keadaan bekas suami. Adakah bapa anak mereka mampu untuk memenuhi setiap permintaan dengan gaji yang ada.

Jangan cuba menyalahkan isteri baru, kononnya mengongkong segala-galanya. Kadangkala hidup isteri baru tidak seindah yang mereka sangkakan.

IFA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan