#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Julai 27, 2010

Taubat Lara

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
Kosmo - Rencana Utama


SUDAH lama Lara, 13, (nama samaran) tidak mengecapi kebahagiaan dan ketenangan seperti yang dinikmatinya pada hari ini.

Biarpun sudah dua bulan terasing daripada keluarga kerana menjalani pemulihan di sebuah rumah perlindungan, jiwa remaja ini tidak lagi cepat memberontak dan liar seperti dahulu.

Tempoh sesingkat itu bagaikan berupaya menjinakkan hatinya untuk menjalani kehidupan berlandaskan cara hidup Islam yang sebenar.

“Walaupun berjauhan daripada keluarga, hati saya tenang. Di sini ramai kawan-kawan dan pembimbing yang tidak jemu memberi sokongan agar saya berubah dan mulakan kehidupan baru.

“Saya menyesal dengan tabiat lama saya yang membelakangkan agama. Ia juga memburukkan lagi keadaan keluarga yang selama ini kucar-kacir,” ujarnya sayu ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Ice baby

Membuka kisah hidupnya, bicara remaja ini dilihat lebih matang daripada usianya. Pernah menjadi pelajar cemerlang di sekolah, ia bukan jaminan untuk anak bongsu daripada empat beradik ini terlepas daripada pengaruh sosial yang mampu meragut masa depannya.

“Saya jadi begini kerana mama dan papa bercerai. Tahun lepas, semasa saya berada dalam darjah enam hubungan mereka semakin tegang dan sebagai anak, saya mula bosan dengan suasana di rumah, langsung tak ada ketenangan,” cerita Lara yang mendapat 5A dalam peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

Sikap ibu bapanya yang dianggap tidak mempedulikan keperluan pembelajaran anak-anak, menjadikan Lara lebih suka melepak, sama ada di kompleks beli-belah, taman permainan ataupun rumah sewa rakan-rakannya yang lebih berusia.

“Habis saja waktu sekolah saya akan melencong keluar bersama kawan-kawan. Mama dan papa tidak tahu kerana bekerja dan mereka hanya pulang lewat petang.

“Waktu malam pula, saya lebih suka memerap dalam bilik dan buat kerja sekolah. Lagipun, bila-bila masa perang mulut antara mama dan papa boleh berlaku,” katanya yang mengakui sangat tertekan dengan suasana kaku di rumah.

Jelas Lara, setiap malam dia terpaksa memekakkan telinga mendengar ibu bapanya bergaduh malah keadaan lebih buruk apabila ibunya mendapat tahu bapanya berkahwin lain.

“Kadang-kadang saya fikir mereka tidak pernah peduli perasaan kami empat beradik sedangkan kami amat memerlukan perhatian daripada mereka, lebih-lebih lagi saya akan hadapi UPSR manakala kakak akan menduduki PMR (Penilaian Menengah Rendah),” ujarnya.

Tidak betah dengan apa yang berlaku di rumah, Lara dan tiga kakaknya lebih gemar menghabiskan masa dengan rakan-rakan di luar.

Jika mereka berduit, panggung wayang dan pusat boling menjadi tumpuan mereka. Jika tidak, Lara dan kakaknya hanya melepak dan bermain permainan video di rumah rakannya.

Dek pergaulan tanpa sekatan itu, Lara mula belajar menghisap rokok dan meminum arak. Bermula sekadar suka-suka, tabiat itu semakin lama semakin sebati dengan jiwanya dan Lara bagaikan ketagih.

“Saya juga pernah mencuba ice baby yang ditawarkan oleh kawan-kawan. Mujur saya tidak sampai pada tahap ketagih kerana saya tidak menyukai rasanya yang sedikit pahit dan memeritkan tekak,” katanya.

Lari rumah

Selepas perpisahan ibu bapanya, dia dan seorang kakaknya diambil untuk tinggal bersama ibu mereka manakala dua lagi kakaknya mengikut bapa mereka pindah ke Kuala Lumpur.

Hidup Lara lebih liar selepas itu. Ibunya pula jenis yang tidak kisah jika anak gadisnya itu keluar bersama rakan-rakan asalkan pulang ke rumah dan tidak terlanjur.

“Apabila papa dapat tahu saya semakin liar, saya dibawa tinggal bersamanya di Kuala Lumpur apabila tiba musim cuti sekolah. Saya yang tidak suka dikongkong, nekad melarikan diri dari rumah dan kembali semula ke rumah rakan-rakan.

“Masuk ke tingkatan satu, nakal saya semakin menjadi-jadi. Saya kerap ponteng sekolah dan selalu bergaduh dengan mama kalau dia cuba menyekat kebebasan saya.

“Papa yang sudah lama bersabar dengan perangai liar saya ada memujuk agar saya tinggal bersamanya semula. Mujur ibu tiri saya menerima saya dan kakak dengan baik.

“Melihat kemesraan dan kesudian mereka untuk menjaga dan mengambil berat keadaan diri saya, hati saya terbuka untuk mengikut papa. Tetapi, apabila papa menyuarakan pendapat untuk menghantar saya ke rumah perlindungan ini, saya membantah,” tuturnya.

Selain Lara, kakaknya yang berusia 16 tahun juga dimasukkan ke rumah perlindungan lain namun tidak diketahui lokasinya.

“Mama tidak tahu saya dan kakak dimasukkan ke rumah pemulihan. Hanya papa, ibu tiri dan keluarga sebelah papa sahaja yang tahu. Mulanya saya malu dan memberontak, tetapi kini, saya sedar.

“Saya amat hargai usaha mereka untuk saya menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.

Enggan lagi menghabiskan masa remaja dengan perkara yang sia-sia, Lara berazam untuk menjadi anak yang lebih baik selepas keluar dari pusat bimbingan ini.

“Saya mahu kembali ke sekolah dan saya berjanji tidak mahu lagi mengecewakan mama, papa dan ibu tiri saya. Saya bersyukur kerana masih belum terlambat untuk saya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

“Perjalanan hidup saya masih panjang dan saya telah berjanji dengan diri saya sendiri, saya tidak akan sia-siakan peluang kedua ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan