#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Ogos 21, 2009

Keliru syarat poligami

SOALAN:
saya sudah berumah tangga hampir tujuh tahun. Remuk hati saya apabila suami menyampaikan hasrat untuk berkahwin lagi.

Tidak dinafikan bahawa poligami dibenarkan dalam hukum syarak. Tetapi apa yang menyedihkan ialah poligami sering dilihat sebagai sesuatu yang menyeronokkan untuk kaum lelaki, sebaliknya tidak bagi wanita yang dimadukan.

Saya agak keliru dengan peruntukan undang-undang mengenai poligami. Oleh itu, saya mahu tahu apakah syarat-syarat dari segi perundangan di Malaysia agar saya dan kaum wanita yang lain faham tentang kebaikan dan keburukan berpoligami?
Puan Sofeya,
Ampang.


Jawapan:
Sejarah telah menunjukkan bahawa isu poligami ini telah wujud sebelum kedatangan Islam. Seperti yang telah tercatat dalam sejarah, kaum Ibrani dan Arab pada masa tersebut telah mempunyai berpuluh-puluh orang isteri. Keadaan tersebut dilihat sebagai suatu penindasan terhadap kaum wanita. Setelah syiar Islam disebarkan, poligami yang telah diamalkan oleh kaum-kaum tersebut diharamkan dan Islam mengharuskan poligami dengan syarat-syarat tertentu.


Hukum syarak telah menggariskan bahawa hukum poligami adalah harus, tetapi keharusannya bukanlah secara mutlak. Oleh itu, hukum syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu untuk berpoligami.

Merujuk kepada firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa: 3 bermaksud, "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga, atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja …Yang demikian itu adalah lebih dekat, (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."

Kemudian dalam ayat 129 surah yang sama, Allah berfirman seterusnya:
"Dan kamu tidak akan dapat, berlaku adil antara isteri-isteri kamu, sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)."

Menurut dua ayat di atas, poligami lebih dilihat kepada satu tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap anak-anak yatim.

Oleh itu, untuk menentukan keadilan antara isteri-isteri dan supaya tidak ada kezaliman yang berlaku dalam sesuatu perkahwinan poligami, maka kerajaan Malaysia menetapkan syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh suami sebelum dia dibenarkan berkahwin satu lagi.

Mengikut perundangan Malaysia, poligami dibenarkan tetapi beberapa syarat harus dipenuhi. Setiap negeri mempunyai syarat yang berbeza berkaitan poligami.

Contohnya di Selangor dan Kuala Lumpur, suami yang ingin berpoligami hendaklah mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu. Dalam mendapatkan kebenaran mahkamah, ada beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah.

Ia juga bertujuan untuk memastikan bahawa seseorang suami itu benar-benar layak untuk berpoligami berdasarkan hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia.
Malah ia juga bertujuan untuk mengelak penganiayaan kepada isteri sedia ada dan anak-anak serta bakal isteri kedua.

Peruntukan di bawah seksyen 23 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, menyatakan bahawa permohonan untuk kebenaran berpoligami hendaklah dikemukakan di Mahkamah disertai dengan surat akuan menyatakan alasan-alasan mengapa poligami patut dan perlu dibenarkan, maklumat pemohon, pendapatan, bilangan tanggungan sedia ada dan tanggungan bakal isteri juga perlu dinyatakan. Selain itu, suami juga perlu mengemukakan izin atau pandangan isteri sedia ada sama ada ia diperolehi atau pun tidak terhadap permohonan poligami tersebut.

Merujuk seksyen 23(4) Akta, memperuntukan faktor-faktor yang dipertimbangkan sebelum kelulusan berpoligami dibenarkan. Seksyen 23 (4) (a) Akta memperuntukkan bahawa faktor perkahwinan yang dicadangkan (berpoligami) perlu dijalankan itu adalah patut dan perlu diluluskan.

Faktor-faktor tersebut adalah berdasarkan kepada kemandulan dan keuzuran jasmani atau kesihatan seperti gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. Peruntukan ini merujuk kepada keadaan isteri tersebut terlalu lemah atau sakit dan tidak dapat melayan kehendak batin suami, maka ia boleh menjadi salah satu alasan untuk mendapatkan kebenaran untuk berpoligami.

Syarat kedua adalah merujuk kepada seksyen 23 (4) (b) Akta menyatakan bahawa suami hendaklah mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak. Seterusnya seksyen 23 (4) (c) Akta memperuntukan bahawa suami berupaya memberi layanan sama rata kepada isteri-isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak.

Bagi memenuhi kehendak ini, Hakim Syarie perlu memastikan bahawa seseorang suami berlaku adil kepada isteri sedia kala dan bakal isteri.

Perkara ini boleh dipastikan berdasarkan keterangan kedua-dua belah pihak berkaitan , sifat-sifat dan keperibadian seorang suami itu. Manakala seksyen 23 (4) (d) Akta pula memperuntukan perkahwinan yang dicadangkan itu tidak menyebabkan darar syarie (bahaya atau musibah) kepada isteri sedia ada atau bakal isteri.

Peruntukan-peruntukan yang dinyatakan perlu dipenuhi oleh seseorang suami sebelum mahkamah memberi kebenaran untuk berpoligami. Undang-undang yang telah diperuntukan bukan untuk menyekat amalan berpoligami tetapi untuk menjaga maslahah semua pihak bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau komplikasi yang bakal ditempuhi kelak.

Diharap penjelasan dan informasi yang telah diberi dapat membantu puan. Untuk sebarang pertanyaan dan kemusykilan, puan boleh menghubungi pihak kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan