#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Ogos 18, 2009

Berebut zuriat

Bekas suami tetap tuntut anak walaupun sudah berkahwin baru

AMINAH (nama ditukar) memanjatkan rasa syukur kepada Allah. Untuk seketika dirinya berasakan selesai sudah segala beban yang ditanggungnya sepanjang setahun ini. Malah, sepanjang tempoh itu banyak sudah air matanya mengalir kerana menanggung kerinduan.

Sehinggakan setiap kali bangun daripada tidur Aminah akan bertanya kepada dirinya sendiri, bilakah episod lara di hatinya itu akan berakhir? Sudah tidak tertanggung lagi hatinya berdepan dengan ujian seperti itu. Benci, geram dan marah semuanya bercampur-baur dalam hidupnya. Tetapi apakan daya, Aminah harus menunggu dengan sabar sehingga perbicaraan selesai dan Mahkamah Syariah menentukan keputusannya.

Aminah juga tidak faham, mengapa bekas suaminya sanggup berbuat demikian - merampas haknya. Sedangkan Suhairah adalah satu-satunya buah hati pengarang jantungnya.

Selepas rumah tangga yang dibina selama 10 tahun musnah, Suhairah, 9, adalah segala-gala baginya. Selama ini pun, Suhairah yang memberikannya kekuatan untuk menempuh dugaan terutama sekali ketika rumah tangga mereka menunjukkan tanda-tanda, ibarat retak menanti belah.

Kadang-kadang, Aminah terfikir adakah yang berlaku semua itu disebabkan bekas suaminya ingin membalas dendam dan mahu menyakitkan hatinya. Apa lagi yang dimahukan diri daripadanya sedangkan bekas suaminya itu sudah pun membina mahligai baru. Aminah reda dengan perceraian yang berlaku, tetapi sukar menerima hakikat jika anak kesayangannya dipisahkan daripadanya.

Bagaimanapun, hari itu tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan gembiranya. Apabila Mahkamah Tinggi Syariah memutus membatalkan permohonan bekas suaminya untuk mendapatkan hak penjagaan kekal terhadap Suhairah, perasaannya cukup lega. Keputusan itu ibarat, batu berat yang digalas di belakangnya selama setahun ini berjaya dihumbankan jauh-jauh.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Aminah sempat melahirkan rasa syukur dan berkata, dirinya berjanji akan menjaga Suhairah sebaik mungkin supaya anak itu tidak keliru lagi terhadap keikhlasan kasih sayangnya.

Katanya, sejak bercerai, Suhairah hanya sempat bersama dengannya dalam tempoh yang sekejap. Justeru, Aminah memang tidak sabar untuk jumpa dengan anak tunggalnya itu dan jika boleh hari itu juga mahu mengambilnya.

Bagaimanapun, Aminah perlu akur dengan arahan peguam. Untuk membolehkannya mengambil Suhairah, surat pengesahan rasmi hak penjagaan perlu diperoleh terlebih dulu. Hati Aminah sememangnya meruntun hendak bertemu segera dengan anaknya itu. Lalu, Aminah memujuk hatinya - jika setahun ini boleh bersabar tentu tidak akan menjadi masalah untuk menunggu seminggu dua lagi.

Mengimbas rentetan perbicaraan menuntut hak penjagaan anak, sebelum ini mahkamah yang sama menolak permohonan Aminah mendapatkan hak penjagaan Suhairah sehingga kanak-kanak itu berusia 11 tahun. Sebenarnya, selepas tarikh perceraian diputuskan, Suhairah tinggal lebih setahun bersama Aminah, tetapi kedua-dua beranak itu terpaksa berpisah selepas mahkamah menyerahkan hak penjagaan sementara kepada bekas suaminya.

Bekas suaminya telah membuat permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan kekal terhadap anaknya itu. Bagaimanapun, atas nama kasih seorang ibu, Aminah membuat tuntutan balas bagi mendapatkan hak penjagaan anak.

Ternyata, doanya sudah pun dimakbulkan Allah. Kelewatan beberapa minit bekas suami hadir ke mahkamah, hakim telah memutuskan membatalkan kes itu, sekali gus memberikan hak jagaan sementara, Suhairah kepada Aminah.

Biarpun ‘hak’ itu di dalam tangannya kini, Aminah tidak akan tamak kasih sayang dan menghalang bekas suaminya ingin menemui anak mereka. Aminah juga sedar hari itu keputusan mahkamah hanya memberikan hak penjagaan sementara anaknya. Apa yang diketahuinya, selepas ini bekas suaminya akan membuat tindakan susulan.

Baginya, episod lara pertamanya sudah pun berakhir. Untuk episod seterusnya, Aminah sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku dan hanya berserah kepada-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan