#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Ogos 18, 2009

Kurang tidur jejas kesihatan


TIDUR tanpa gangguan penting untuk tubuh badan dan minda berehat.
- Gambar hiasan


PAGI itu Michel Chiew memandu seperti biasa untuk tugasan luar. Mengantuk tidak terkira hingga dia mengambil keputusan berhenti sejenak di stesen minyak untuk makan asi krim. Bukan itu sahaja, untuk bangun daripada tidur setiap pagi, dia juga mempunyai masalah. Letih dan kadang-kadang tertidur ketika mesyuarat. Sah, dia mengalami masalah tidur yang mungkin mengakibatkan produktivitinya terganggu. Gangguan tidur yang dialami menyebabkan dia berjumpa dengan doktor untuk mendapat kepastian. Akhirnya, doktor menyarankan dia menggunakan alat bantuan mengurangkan gangguan tidur. Ternyata ia berkesan dan kini dia dapat tidur dengan nyenyak. Malah, dia lebih bertenaga dan cergas bekerja.

Kes Micheal merupakan cebisan untuk masalah gangguan tidur.

Dianggarkan 80 hingga 90 peratus gangguan tidur tidak didiagnosis, walaupun terdapat simptom yang nyata

Orang yang mempunyai Obstructive Sleep Apnea (OSA) yang tidak dirawat, suatu gangguan tidur yang lazim, mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap masalah kesihatan yang serius yang boleh memberi impak negatif kepada produktiviti dan kualiti kehidupan.

Kelaziman OSA adalah dua kali ganda lebih tinggi di Malaysia berbanding negara lain di Asia .

Obstructive Sleep Apnea (OSA) atau henti nafas semasa tidur untuk beberapa ketika (beberapa saat hingga melebihi satu minit) terjadi kerana saluran pernafasan yang tersekat sementara. Ia merupakan gangguan tidur paling lazim berlaku di seluruh dunia, yang menjejaskan anggaran tujuh peratus penduduk tempatan . Suatu keadaan yang dikenali oleh ciri henti nafas semasa tidur, OSA bukan saja boleh memberi impak negatif terhadap kualiti kehidupan dan produktiviti keseluruhan seseorang, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, serangan jantung, angin ahmar dan lain-lain penyakit.

Majoriti orang gagal untuk mendapatkan diagnosis perubatan bagi gangguan tidur mereka. Individu-individu dengan keadaan OSA sederhana hingga tahap teruk, selalunya memiliki beberapa simptom termasuk dengkur yang kuat dan amat menganggu, tercungap-cungap mencari udara atau tersedak semasa tidur, dan rasa teramat mengantuk pada siang hari. Namun, hanya sebilangan kecil orang sedemikian telah didiagnosis secara tepat.

Di Malaysia, kelaziman OSA bersimptom yang nyata pada lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 70 tahun ialah masing-masingnya, 8.8 peratus dan 5.1 peratus .

Ini adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada tahap OSA bersimptom di Asia bagi kalangan lelaki pertengahan umur (4.1-7.5 peratus) dan wanita (2.1 - 3.2 peratus) .

Tempoh dan kualiti tidur orang ramai menurun disebabkan perubahan gaya hidup - yang boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti tekanan berkaitan kerja, kebimbangan kewangan atau diet yang lemah.

Hanya satu dalam tujuh orang yang mempunyai Obstructive Sleep Apnea telah mendapatkan bantuan perubatan. Orang ramai perlu mengambil tidur mereka dengan lebih serius."

Tidur bukannya satu pilihan - ia adalah sangat kritikal kepada kesihatan manusia.

Kkesan-kesan daripada tidak cukup tidur telah didokumentasi sepenuhnya. Orang yang kerap tidak cukup tidur mempunyai impak ekonomi yang besar; selain daripada penurunan produktiviti yang ketara, keadaan mereka turut boleh mengakibatkan kemalangan industri mahupun jalan raya. Kekurangan tidur juga boleh mengakibatkan pertambahan berat badan, diabetes, tekanan darah tinggi dan juga serangan jantung.

Individu-individu dengan OSA adalah dua atau tiga kali lebih tinggi untuk menghidap hipertensi dan juga meningkat risiko serangan jantung berbanding mereka yang tanpa OSA . Kajian-kajian lanjut telah menunjukkan bahawa diabetes jenis dua lebih kerap berlaku pada pesakit dengan pernafasan gangguan tidur yang bebas daripada faktor-faktor risiko lain .

Menurut Presiden Persatuan Masalah Tidur Malaysia (SDSM), Prof. Dr. Syed Hassan Ahmad, di Malaysia, peningkatan usia, obes, merokok dan penggunaan sedatif adalah dikaitkan dengan dengkur, yang merupakan simptom OSA. Kumpulan etnik Cina dan India juga berisiko lebih tinggi berbanding Melayu.

Kajian terbaru yang dikendalikan oleh Philips di lima pasaran di seluruh dunia mendedahkan bahawa tatkala OSA dianggap penyakit yang boleh dirawat, hanya lebih satu per tiga daripada mereka menganggap berdengkur - satu daripada simptom utama OSA - sebagai satu masalah kepada mereka secara peribadi, dengan dua pertiga daripada responden menyifatkan berdengkur sebagai masalah kecil yang mereka fikir tidak perlu dipedulikan. Kajian itu mengukuhkan mengenai perlunya diadakan pendidikan mengenai OSA dan lain-lain gangguan tidur yang mana, lazimnya tidak diambil serius di kalangan individu yang memilikinya.

OSA boleh dengan mudah didiagnosis oleh doktor yang menilai aduan dan simptom pesakit. Jika apnea tidur yang disyaki, pesakit akan dirujuk kepada kajian diagnostik tidur dikenali sebagai polysomnogram, atau PSG, bagi mengesahkan bentuk dan tahap serius apnea tidur, serta rawatan yang sewajarnya diambil.

Sebaik sahaja OSA dikenal pasti sebagai punca aduan dan simptom pesakit, ia selalunya boleh dirawat secara berkesan dengan terapi Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP), iaitu kaedah rawatan yang lebih digemari untuk OSA. CPAP memberikan aliran lembut tekanan udara menerusi saluran lubang hidup menggunakan topeng, mengelakkan saluran udara daripada tumbang bagi membolehkan pesakit OSA bernafas bebas semasa tidur. Peralatan CPAP dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri untuk meningkatkan keselesaan pesakit semasa terapi.

"Kita berdepan dengan masalah penjagaan kesihatan yang serius jika kita tidak menganggap tidur sebagai suatu yang serius. Dalam kes OSA, pesakit terpaksa terjaga dari tidur seketika untuk menyambung pernafasan, menyebabkan tidur yang terganggu. Dalam kes yang lebih teruk, seseorang mungkin terjaga lebih 30 kali semasa tidur disebabkan apnea yang berulang-ulang," jelas Dr. Syed Hassan.

Beliau menambah, terapi CPAP boleh secara dramatik meminimumkan impak OSA. Ia juga menawarkan manfaat tambahan seperti pertambahan tenaga, tekanan darah lebih rendah serta penurunan risiko serangan jantung dan angin ahmar.

Sebagai peneraju dalam pasaran pengurusan tidur dan rawatan OSA, Philips merancang untuk mereka bentuk produk terapi tidur yang akan menggalakkan penerimaan pesakit kepada rawatan OSA menerusi pertambahan keselesaan untuk menambah baik tidur mereka dan paling penting, meningkatkan kualiti kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan