#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, Ogos 23, 2009

Apa neraca yang kita pakai?

SAYA terpanggil mengulas sedikit mengenai isu poligami yang dipaparkan dalam ruangan ini minggu lalu. Poligami adalah satu perkara yang dibenarkan Islam. Ia halal, mengikut hukum, walaupun wujud syarat-syarat yang mesti dilaksanakan untuk melepaskan diri daripada dosa jika tidak melaksanakannya.

Poligami melibatkan perkahwinan lebih dari satu. Kesalahan tidak menjalankan tugas dengan baik, berlaku bukan saja pada mereka yang berpoligami, tetapi juga pada mereka yang berkahwin satu. Jika logik yang kita tolak poligami kerana ia menyebabkan ketidakadilan dan kesalahan, bagaimana pula dengan kesalahan, ketidakadilan yang dilakukan oleh mereka yang berkahwin satu?

Sebagai seorang Islam, neraca kita sepatutnya mesti berpandu pada hukum Allah SWT. Apa yang dihukum Allah sebagai halal, tentulah indah dan cantik dan apa yang diharamkan Allah tentulah tidak cantik dan tidak elok.

Makanan yang ada daging khinzir, secantik mana pun dihias, tak mungkin dianggap sedap oleh mereka yang ada iman. Ini kerana bagi mereka yang beriman, daging khinzir itu haram dan tidak baik dan tidak elok. Orang yang beriman, jika melihat orang lain tidak menutup aurat mereka, akan menundukkan pandangan mereka, kerana memandang perkara yang bercanggah dengan hukum Islam itu buruk dan tidak membawa kebaikan.

Kalau kita guna neraca ini, maka bagaimana kita boleh berkata yang poligami menjatuhkan maruah wanita, sedangkan kita diam, bila melihat kumpulan sorak yang berpakaian pendek dan mendedahkan aurat, berkumpul dan diraikan? Kita tidak pula katakan yang kumpulan seperti ini, (yang nyata melakukan satu perkara yang haram, dan tidak mungkin dianggap cantik) sebagai menjatuhkan maruah wanita. Tentu sekali kumpulan seperti ini menjatuhkan maruah wanita, dengan kelakuan dan kemegahan pada perkara yang jelas ditegah Islam.

Bercanggah

Tidak pula kita takrifkan sebagai tidak cantik, gambar para artis yang berpakaian bertentangan dengan Islam. Malah, kita beri mereka anugerah kerana melakonkan adegan yang panas dan berkesan dalam filem, walaupun apa yang mereka lakukan itu bercanggah dengan hukum Islam.

Apa pula takrifan kita tentang persatuan yang mempromosikan penyanyi dan penari yang bergiat aktif secara berterusan melanggar hukum Tuhan? Adakah persatuan-persatuan ini memperjuangkan perkara yang baik atau tidak?

Kalau kita tentang persatuan yang mempromosi satu perkara yang halal dan kita sokong persatuan yang mempromosi perkara yang haram, dimanakah neraca kita sebagai seorang Islam?

Adakah kayu ukur kita datang dari New York dan Paris atau dari Mekah dan Madinah?

Salam.

*Hamba Allah.

Kuala Lumpur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan