#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Ogos 18, 2009

Tidak mahu berebut lelaki

SAYA mungkin terlewat untuk memberi komen tetapi saya berharap penulisan saya ini ibarat kita sama-sama nasihat menasihati. Saya bersetuju dengan Mawar Melaka. Jika berlaku tidak keadilan dari pihak lelaki, kita harus bangkit. Cerita Madu Tiga ada memberi pengajaran dan jalan untuk kita mengatasi dan cara mengajar lelaki yang tahu kahwin tapi tak mahu berlaku adil dan bertanggung jawab. Satu pelajaran dari cerita Madu Tiga Allahyarham Tan Sri Ramlee.'Jamil'tidak zalim. Dia berkahwin lagi kerana mungkin mahukan zuriat. Ketiga-tiga pula tak memberi zuriat 'padanya'. Ini pendapat saya tetapi mereka bersatu untuk mencari keadilan.

Saya mangsa keadaan. Diceraikan tanpa ada sebab yang boleh saya fahami. Saya cuba mempertahankan ikatan perkahwinan ini. Saya tak sangka, setelah lama bersamanya membina rumah tangga. Badai datang melanda. Saya terima jika dimadukan tetapi perceraian pilihannya. Saya reda walaupun sudah merintih agar ingat pada anak-anak. Saya terima kerana itu permintaannya. Maka saya berkorban jika itu yang dia mahukan. Semoga berbahagia dan mana-mana salah saya pada pandangannya saya mohon maaf dan saya minta dia berdua juga minta maaf kerana kita bakal mati. Walau di hati saya pasrah pada Allah.

Pada kaum sejenis saya yang telah berjaya dalam kemelut ini, jagalah dia dengan baik. Saya akan meneruskan hidup.

Saya faham. Salah satu sebab mungkin masalah kewangan yang kita hadapi. Saya tidak berkerja dan dah tak muda lagi. Dulu ketika saya berkerja saya dapat membantunya. Kedua mungkin dia telah tergoda oleh daun muda. Sebagai orang tua (saya dah ada cucu), saya tak mahu berebut hanya pada seorang lelaki. Sedikit pun tak menyesal sebab saya yakin apa yang terjadi adalah kehendak Allah jua. Saya telah berusaha.

Inilah yang terbaik. Anak-anak walaupun sudah besar panjang masih mahu kasih sayang kerana orang tua masih hidup. Kita mahukan anak-anak ini berbakti pada kita bila kita mati, maka kita kini masih hidup janganlah membuat anak-anak memusuhi kita.

Sedarlah wahai yang hidup. Semua akan mati kerana dunia ini sementara. Buatlah baik di atas bumi ALLAH ini. Siapa kita untuk mendabik dada.

Salam Dan Terima kasih.

n Intan, Kota Kinabalu, Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan