#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Julai 14, 2009

Jangan ghairah lepaskan perasaan

ASSALAMMUALAIKKUM,

Pada mulanya, apabila saya membaca luahan Puan Norfaizah di ruangan ini, saya tidak berhasrat untuk memberi maklum balas kerana saya yakin sudah pasti ramai kaum wanita yang bersetuju dengan apa yang beliau luahkan.

Sebelum itu, saya mohon maaf kerana saya tidak berhasrat membela mana-mana lelaki yang bertindak tidak adil apabila berpoligami malah saya juga amat menentang mana-mana juga lelaki yang mengabaikan isteri pertama selepas isterinya itu membenarkan dia berkahwin lain.

Namun begitu ini tidak bermakna bahawa Puan Norfaizah diberi 'lesen' untuk mengutuk bekas suami puan sepuas-puasnya. Memang benar puan mungkin menderita dengan apa yang sudah puan lalui tetapi adakah wajar puan melepaskan geram dengan cara sebegini.

Saya bimbang dalam keghairahan puan melakukan 'serangan balas' kepada bekas suami, puan akhirnya melakukan dosa. Sedangkan dalam masa yang sama walaupun bekas suami puan biarpun didakwa oleh puan terpaksa bersusah payah menjaga anak-anak dengan isteri baru tetapi sekurang-kurangnya dia sedang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.

Hari demi hari, bekas suami puan sedang mengutip pahala melalui setiap keringat yang beliau titiskan demi menjaga keluarga barunya tetapi puan bagaimana? Puan hanya sekadar berpuas hati kerana dapat 'menghentam' bekas suami puan sepuas-puas tetapi kesudahannya apa yang puan dapat.

Oleh itu sebagai hamba Allah, saya ingin menasihatkan puan banyak-banyaklah mengingati Allah, anggaplah apa yang berlaku dalam hidup puan adalah dugaan daripada-Nya seperti mana puan coretkan iaitu, ''bangkitlah, bukalah hati menghadapi dugaan Allah. Tentu ada hikmah di sebalik apa yang Dia suratkan untuk kita. Hanya Allah mengetahui apa yang kita tahu."

Membaca bait ayat itu, saya yakin puan juga adalah seorang wanita yang tabah dalam menghadapi suratan takdir. Saya bangga dengan semangat puan dan saya yakin puan boleh berjaya dalam hidup bersama-sama dengan anak-anak.

Tetapi janganlah sesekali merosakkan kebahagiaan yang puan kecapi itu melalui cara melumuri hati puan dengan dendam yang tidak berkesudahan kepada bekas suami puan. Adalah lebih baik puan mendoakan kesejahteraan beliau bersama keluarga barunya.

Saya hormati keputusan puan kerana memohon cerai demi tidak mahu melakukan dosa tetapi tidakkah puan terfikir, apakah puan tidak berdosa dengan 'mengutuk' bekas suami puan? Niat puan mungkin jujur untuk memaparkan pengalaman dan menjadikan teladan kepada orang lain tetapi pendekatan yang digunakan adalah tidak sesuai.

Setiap manusia menempuh perjalanan hidup yang berbeza, puan mungkin tidak rela berpoligami tetapi ada wanita lain rela membenarkan suaminya berbuat demikian demi kasih sayangnya seperti mana Puan Junainah. Wanita yang membenarkan suaminya berpoligami bukannya memburu kebahagiaan di dunia semata-mata tetapi paling penting bagi mereka adalah akhirat.

Kita hanya singgah di alam fana ini hanyalah sementara, apabila tiba masanya kita akan kembali mengadap Allah SWT. Ketika itu semua amal ibadah kita akan dihitung satu persatu termasuklah semasa kita menjadi suami atau isteri. Tidak kisahlah jika perkahwinan kita berakhir dengan perceraian tetapi perbuatan kita ketika menjadi suami atau isteri akan tetap dihitung.

Oleh itu, secara jujur dan ikhlas, saya meminta puan supaya hapuskanlah perasaan dendam puan kepada bekas suami.

Saya yakin pengalaman hidup sudah banyak mematangkan puan untuk menjadi insan yang pemaaf dan melihat ke hadapan. Janganlah sampai puan dilihat terlalu angkuh dengan kebahagiaan yang dikecapi sekarang sehingga sanggup memburuk-burukkan bekas suami puan. Biarlah dia dengan keluarganya. Ingatlah, biar apa pun berlaku anak-anak puan adalah darah daging bekas suami puan dan anak-anak isteri mudanya adalah adik-adik kepada anak-anak puan.

Jangan biarkan kerana dendam kesumat puan, mereka adik beradik berbalah sehingga akhir hayat, ketika itu siapakah yang akan berdosa?

Akhir kata, saya ingin menasihatkan wanita-wanita yang senasib dengan Puan Norfaizah banyak-banyaklah bersabar dengan dugaan Allah. Belajarlah juga untuk mengkaji kelemahan diri sendiri sehingga memungkinkan suami puan terfikir berkahwin lain.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud; Dan Kami pasti akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa serta buah-buahan dan khabarlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu yang apabila mereka ditimpa musibah mereka berkata, Sesungguhnya kami akan adalah miliki Allah dan kepada-Nya jualah kami akan kembali. Mereka itulah orang-orang yang beroleh selawat (kesejahteraan) dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Salam.

* Mujahid, alor setar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan