#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 27, 2009

Beri pengajaran bukan dera

Oleh Zaitie Satibi am@hmetro.com.my

KUANTAN: Hukuman sebat dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, terhadap model sambilan yang didapati bersalah minum arak tidak wajar dipertikaikan kerana ia bukan suatu penderaan, malah lebih kepada pengajaran terhadap pesalah.

Mufti Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman, berkata pada zaman sekarang ini banyak kes pelanggaran hukum Islam dilakukan terang-terangan.

Menurutnya, hukuman denda dan penjara tidak akan memberi kesedaran kepada pesalah jenayah syariah berikutan denda boleh dibayar, tetapi rotan pasti meninggalkan kesan.

Katanya, orang ramai tidak perlu melatah dan mempersoalkan kewajaran hukuman itu dikenakan walaupun pesalahnya seorang wanita kerana cara sebatan antara sivil dan syariah berbeza termasuk dari segi rotan yang digunakan dan tinggi rotan terbabit perlu diangkat sebelum merotan pesalah.

“Tujuan hukuman ini bukan untuk menyakitkan pesalah, tetapi memberi kesedaran dan keinsafan supaya mereka tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.

“Sebab itu dalam hukum syariah pesalah boleh dikenakan sehingga 40 kali sebatan bagi kesalahan minum arak. Malah, Khalifah Umar menetapkan hukuman 80 sebatan kepada pesalah minum arak,” katanya.

Beliau mengulas hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Isnin lalu, selepas mengaku salah minum arak.

Dia dikenakan hukuman itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987).

Kartika Sari Dewi dari Sungai Siput, Perak dan sudah berumahtangga dengan seorang warga Singapura serta mempunyai dua cahaya mata juga didenda RM5,000 oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus.

Mengikut seksyen itu, kesalahan meminum/menjual/membeli minuman yang memabukkan boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan tidak melebihi enam kali sebatan.

Abdul Rahman berkata, apa yang penting model berkenaan sudah insaf selain mengakui kesalahannya dan reda dengan hukuman dikenakan ke atasnya.

“Tindakan model berkenaan yang terang-terangan mengakui kesalahannya dan sedia menerima hukuman sebat wajar dipuji kerana menunjukkan dia sudah dapat pengajaran daripada kesilapan yang pernah dilakukan.

“Hal ini diharap dapat dijadikan iktibar kepada pihak lain supaya tidak memandang remeh hukum-hakam agama dan memberi peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan yang melanggar syariah,” katanya.

Sementara itu, keputusan menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap Kartika Sari Dewi mencetuskan kontroversi membabitkan beberapa pihak.

Akhbar kelmarin melaporkan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, terkejut dengan tindakan hakim menjatuhkan hukuman sebat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali juga melahirkan rasa terkejut hukuman sebat termasuk dalam undang-undang syariah dan menganggap ia sebagai hukuman yang sangat keras.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan