#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Julai 16, 2009

Kak Yang tak putus asa



Arkib 13/7/2009
Utusan Malaysia

Oleh MUZLINA ABU BAKAR
muzlina.bakar@utusan.com.my
NUR Fathini Roslan
cuba menyembunyikan
sayu hatinya,
namun akhirnya
dia kalah.
PERJALANAN lebih dua jam dari Kuala Lumpur ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Serting, Negeri Sembilan yang meletihkan itu hilang tiba-tiba apabila terpandang seraut wajah sayu yang menanti penuh tenang kedatangan kami baru-baru ini.

Berbaju kurung putih dengan kain warna coklat dan bertudung putih, sedikitpun tidak dapat melindungi sebatang tubuh yang kurus dan tidak bermaya milik pelajar, Nur Fathini Roslan, 14, yang kini tingkatan dua.

Walaupun kedatangan kami - penulis, bekas jauh bina badan yang kemudian bergelar artis, Malek Noor dan jurugambar, Azrul Edham Mohd. Aminuddin disambut dengan senyuman, namun benarlah kata orang tua-tua, mata tidak boleh berbohong apa yang dirasa.

Matanya yang letih dari jauh merenung kami dengan penuh syahdu seolah-olah ingin meluahkan apa yang dideritainya selama ini.

Ketika itulah hati penulis digayut rasa sedih dan berkata-kata, betapa anak sekecil ini diduga dengan begitu besar oleh Allah SWT. Namun sebagai insan kita harus menerimanya dengan redha.

Lebih sejam perjumpaan itu, Fathini yang duduk di kiri meja Pengetua MRSM Serting, Ghazi Samsuddin dan Timbalan Pengetuanya (Hal Ehwal Pelajar), Wan Mohd. Safarudin Wan Jaafar dan Malek Noor, tidak berkelip mata memandang dan mendengar nasihat daripada jaguh bina badan itu.

Walaupun sebelum pertemuan itu Cikgu Zaharina Zakaria, guru Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Nasir, Sri Menanti, tempat Fathini belajar sebelum ini memberitahu betapa tabahnya murid ini, tetapi jiwa seorang kanak-kanak tetap lemah dan sayu.

Sesekali, kelihatan Fathini menyeka air matanya dengan hujung lengan baju kurungnya. Biarpun cuba berselindung di sebalik tudung putihnya, namun mata sayu Fathini tidak mampu menampung sebak di dada.

Setitik demi setitik air matanya menitis. Ibu tersayang, Mariam Abdullah,45, yang berada di sisi tidak dapat menahan sedu melihat anak yang sakit dan tidak tahu bila akan kebahnya.

Namun, apa yang nyata, Nur Fathini yang baru-baru ini mendapat Anugerah Pengetua kerana merupakan seorang daripada 20 pelajar pintar di MRSM cuba kelihatan kuat dan gagah di depan semua.

Seusai acara memotong pulut kuning yang dibuat ibunya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-14, Fathini diajak makan bersama tetamu istimewa. Namun selera anak yang menderita penyakit radang usus itu tidak sekuat mana.

Setelah dua jemput pulut kulit masuk ke mulutnya, Fathini yang duduk di sisi ayahnya, Roslan Mohd. Said tiba-tiba terhenti suapannya.

Entah apa yang mengganggu seleranya, tiba-tiba saya terlihat air mata tergenang di mata sayunya.

Namun ketika dipanggil untuk berbicara dari hati ke hati tentang sakit yang dideritai, Fathini dengan gagah bangun dan meninggalkan meja tetamu istimewa.

Pertama kali empat mata bertentangan secara dekat dan melihat redup matanya, tiba-tiba hati ini berkata; "Ya Allah betapa deritanya anak ini, tapi siapalah kita untuk mempersoalkan dugaan-Nya."

Namun begitulah manusia, tidak pernah hilang rasa terkilan. Biarpun bibir cuba memujuk segala yang datang adalah dugaan-Nya, tetapi hati kadang kala meruntun rasa dan menggoyah dada.

Sebelum diserang penyakit yang dikenali sebagai Chron disease, Nur Fathini adalah seorang pelajar yang bijak dan cergas. Minatnya bukan sahaja dalam pelajaran, malah anak keempat daripada lima beradik ini juga meminati sukan olahraga.

Sebut saja apa jenis sukan, semua disertai kerana Fathini memang seorang pelajar cerdas dan cergas sejak darjah satu hingga darjah lima.

Fathini mempunyai empat beradik lagi iaitu kakak sulung, Nurul Syuhadah, 23, menuntut dalam bidang Kejuruteraan Fizik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam; abangnya, Mohd. Fadhzli, 21, dalam bidang Penyiaran di UiTM, Lendu Melaka.

Sementara itu seorang lagi, kakaknya, Nur Farhana, 18, mengikuti kursus kejururawatan di Seremban dan adik bungsunya pula, Nurul Syazni,12, belajar di Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Nasir, Kuala Pilah.

Bagaimanapun kecergasan anak kepada Sarjan Roslan Mohd. Said, 50, yang bertugas di Balai Polis Kuala Pilah dan suri rumah, Mariam Abdullah tidak kekal lama.

Ketika usianya mencecah 11 tahun, Fathini yang suatu ketika dulu begitu cergas tiba-tiba menjadi lemah apabila diserang sakit perut.

Sakit perut yang memulas hingga berhari-hari membuatkan dia tidak berdaya bukan sahaja untuk berlari malah hendak bangun juga tidak upaya.

"Mula-mula bila selalu sakit perut, saya ingat sakit biasa saja. Tetapi bila berhari-hari tak baik, ayah dan mak bawa saya ke klinik.

"Pihak klinik sekadar memberi ubat untuk menghentikan sakit perut. Tetapi lepas itu saya mula buang-buang air dan akhirnya penyakit saya dirujuk ke Hospital Kuala Pilah.

"Apabila Hospital Kuala Pilah tak tahu penyakit saya, saya dirujuk ke Hospital Seremban. Dua bulan emak dan ayah bawa saya berulang ke sana tapi masih tidak tahu apa penyakit saya.

"Tiga bulan saya terlantar di hospital dan setelah uji kaji dilakukan terhadap saya, pihak hospital memberitahu saya mengidap barah. Tatkala mendengar pengesahan doktor itu, saya hanya mampu menangis.

"Tetapi setelah menyedari qada dan qadar Allah dan tahu itu semua adalah takdir diri saya, saya diam dan bertafakur seketika," cerita Fathini yang dimasukkan ke Hospital Seremban pada Disember 2006 hingga Februari 2007.

Biarpun begitu lama di hospital, tetapi anugerah Tuhan tidak siapa yang boleh menghalangnya. Dalam derita sakit yang tidak tahu penghujungnya dan keluar masuk hospital, Fathini berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan mendapat 5A.

"Saya tahu ramai yang cakap, penyakit barah tak ada ubatnya. Hanya mati jalan terakhir. Tetapi sebagai insan saya tetap mahu berusaha.

"Bagi saya, sakit itu sudah tentu, tetapi mati belum pasti. Selagi nafas ini masih berdenyut saya akan terus berusaha walaupun kadangkala penyakit ini membuatkan saya amat terseksa.

"Semua ini dugaan Allah kepada saya. Cuma kadang-kadang saya kesian tengok emak dan ayah. Saya tahu mereka susah tidak ada duit dan ayah memang tidak mampu menampung perubatan saya.

"Tetapi kasih seorang ayah dan ibu mengatasi segala-galanya. Ayah tetap berusaha untuk mengumpul duit buat ubat saya. Kadang-kadang hilang rasa malu ayah memohon bantuan sana sini untuk saya, tapi memang sukar mendapat bantuan.

"Saya tidak mahu mereka susah hati. Selagi nafas ini masih berdenyut saya akan berusaha melawan penyakit ini kerana saya percaya ajal dan maut ketentuan Allah.

"Saya tidak pernah putus asa, malah sentiasa melawan penyakit ini. Biarpun kadangkala kesakitannya membuatkan saya bagai putus nyawa, demi teringat ayah dan emak saya cuba melawannya.

"Sebabnya saya ada impian dan cita-cita. Saya mahu menjadi doktor pakar penyakit ini agar dapat membantu mereka yang sakit seperti saya. Saya tidak mahu ada orang yang menderita kerana penyakit ini,

"Cuma kadang-kadang hati kecil saya berkata, bagaimana ayah dan mak akan menerima jika sampai masanya saya pergi meninggalkan mereka. Tentu mereka sedih kan?, " luah Fathini sambil memandang ayah dan ibunya yang sedang asyik mendengar bicara Malek Noor dan Pengetua MRSM.

Sememangnya hanya pengetua dan pegawai-pegawai di sekolah yang tahu penyakit yang dihidapi Fathini.

Sebab itu ada kalanya, perubahan diri Fathini menjadi bahan tawa kawan-kawan seasramanya.

"Saya memang boleh tahan sakit, cuma kadangkala hati kecil saya tidak mampu menolak usikan kawan-kawan terhadap saya. Usikan mereka membuatkan saya menangis," kata Fathini.

Sebabnya, apabila Fathini disuntik steroid perubahan amat ketara pada tubuh badan dan segi rupa Fathini.

Steroid bukan sahaja menjadikan tulang Fathini semakin reput malah mukanya ditumbuhi bulu dan rambutnya gugur menyebabkan Fathini berubah rupa di depan kawan-kawan.

"Saya jarang menangis apabila penyakit ini menyerang saya, tapi saya boleh menangis apabila menjadi usikan kawan-kawan.

"Saya tahu mereka tidak ada niat menghina, tapi mereka tidak tahu apa yang saya deritai selama ini," cerita Fathini dengan suara sebaknya sambil menyeka airmata yang tidak henti-henti mengalir sepanjang perbualan kami.

Ibunya, Mariam Abdullah yang memerhati dari jauh, tiba-tiba menghampiri kami. Namun Fathini yang bagaikan mahu menyembunyikan rasa sedihnya perlahan-lahan bangun meninggalkan kami berdua.

Mata sayu seorang ibu memandang langkah longlai Fathini, dalam sebak Mariam bagaikan berbisik;
"Saya buat pulut kuning sempena birthday Kak Yang (panggilan Fathini di rumah) hari ini. Saya tidak tahu apakah saya akan berpeluang menyambut birthday Kak Yang lagi tahun depan.

"Sebagai manusia, kita memang tiada kuasa menentukan hidup mati manusia, tetapi mendengar kata doktor, Kak Yam rasa tak mampu memandang wajah Kak Yang.


"Andai boleh bertukar nyawa, rasanya biarlah Kak Yam yang menderita penyakit itu. Kak Yang terlalu kecil untuk menderita, baru 14 tahun usianya. Apalah yang dia tahu, Tetapi setelah beristighfar berkali-kali, Kak Yam sedar Allah menyayanginya lebih daripada kami.

"Cuma Kak Yam tidak tahu bagaimana kami akan menghadapinya. Ayah Kak Yang memang tidak boleh terima ini. Dia terlalu sedih malah lebih lemah daripada Kak Yam, sebab itu dia jauhkan diri setiap kali orang bercakap tentang penyakit Kak Yang," cerita Mariam dalam tangisan.

Menurut Mariam, sebagai ibu kadangkala dia sendiri tidak tahu daripada mana datangnya semangat juang Kak Yang, kerana setiap kali pergi pemeriksaan doktor dia akan terkulai keletihan.

"Tetapi Kak Yang mampu turun naik tangga untuk hantar ujian darahnya. Kadang-kadang Kak Yam menangis dalam hati melihat betapa tabahnya dia," kata Kak Yam.

Kini kata Mariam, setelah menjalani pemeriksaan doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya pada 8 Julai, Fathini dikehendaki menjalani rawatan suntikan sebanyak lapan kali dengan bayaran RM5,000 satu suntikan.

"Itu sahaja kata doktor usaha mereka. Walaupun kami bukan orang kaya tetapi biar bergalang nyawa Kak Yam dan suami akan usahakannya. Apa yang penting bagi kami Kak Yang sembuh. Seronok rasanya apabila Kak Yang sihat nanti," kata Mariam sambil memandang jauh suaminya, Sarjan Roslan yang cuba menyembunyikan duka di hatinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan