#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Julai 14, 2009

Cukuplah 17 tahun menderita

APALAH yang mampu dilakukan oleh seorang isteri selain memendam rasa dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak apabila segala yang telah dikorbankan tidak dihargai suami.
Bersuara dikatakan cuba mengongkong, dibiarkan suami langsung lepas tangan, akibatnya rumah tangga goyah anak-anak terbiar dan suami terus khayal dengan badai cinta yang tidak bertepi.

Semuanya gara-gara orang ketiga. Bukan menyalahkan keadaan tetapi kesal dengan apa yang berlaku. Sudahlah hidup bagaikan layang-layang putus tali, ada suami macam tiada. Namun demi anak-anak hidup diteruskan juga.

Demikian mukadimah yang dikirimkan Zee, berusia lewat 40-an kepada saya. Ini bukan kali pertama Zee mengirimkan kisahnya tetapi sudah tiga kali.

Ketika itu tidak sempat saya layan cerita Zee. Namun minggu lalu saya terpandang lagi kiriman e-mel Zee kepada saya.

Kerana tidak mahu menghampakan Zee, saya menghubunginya untuk kepastian mengenai kisah yang dia kirimkan. Nyata wanita ini begitu memendam rasa, namun perasaannya kini sudah sampai ke tahap mahu meletup.

Dan segala-galanya tercurah kepada saya. Hebat penderitaan Zee - Tujuh belas tahun menderita kerana sikap suami tidak bertanggungjawab. Lupa anak, rumah dijadikan hotel tempat persinggahan menukar pakaian dan melepaskan marah.

Kepada saya Zee meluahkan perasaan dan penderitaannya untuk dijadikan iktibar. Kata Zee, buat keputusan, bebaskan diri jika tidak lagi serasi bersama, jangan biarkan penderitaan terus menghantui kita.

Begini kisah Zee:
"Saya menyimpan masalah ini selama 17 tahun demi masa depan anak-anak. Saya tidak mahu mereka tidak punya ayah dan saya mahu anak-anak bejaya dalam pelajaran mereka.

"Saya sanggup tanggung semua, biarlah saya yang menderita, makan hati dan segala-galanya tapi bukan anak-anak.

" Saya telah berkahwin selama 24 tahun dan tiga suku dari tempoh perkahwinan saya diisi oleh orang ketiga (teman wanita suami).

"Saya dikurniakan lima orang anak, yang telah remaja, berumur antara 16 hingga 23 tahun (2 perempuan, 2 lelaki) sementara anak bongsu berumur 10 tahun, lelaki.

"Anak sulung baru menghabiskan pengajian ijazahnya di IPTA dan dua lagi masih dalam pengajian Ijazah dan diploma. Anak ke-4 menuntut di sekolah menengah dan ke-5 di sekolah rendah.

"Saya merasakan sekarang ini adalah waktu yang sesuai untuk saya memikirkan kehidupan diri saya dan anak-anak. Cadangan saya untuk menuntut fasakh kerana suami tidak lagi menghormati saya sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya.

"Anak-anak juga tidak mendapat kasih sayang daripada seorang ayah dan perbelanjaan rumah dan anak-anak sering dicatu. Dia juga sudah tidak makan dirumah dan rumah kami sekadar hotel, hujung minggu tiada dirumah.

"Saya ibarat isteri bermadu walaupun saya tak tahu sama ada suami saya sudah berkahwin dengan teman wanitanya atau tidak. Yang pasti mereka sering bersama macam suami isteri.

"Itu pun saya tidak mahu tahu sebab bukan masalah saya. Saya juga tidak tahu kemana perginya duit gaji suami saya sebab saya bukan jenis orang yang suka meminta-minta kerana bila saya minta sekali dia buat tak tahu atau tak bagi, saya malu dan tak kuasa nak minta lagi.

"Anak-anak pun selalu SMS dan minta duit dengan ayah mereka dan kadang-kadang dia bagi RM50 Ada masa tidak bagi langsung.

" Anak-anak saya mendapat pinjaman PTPTN dan suami saya beranggapan duit yang mereka dapat itu sudah cukup untuk menanggung perbelanjaan mereka di universiti sedangkan mereka belajar di luar tempat tinggal kami.

"Saya sudah menjalani sesi kaunseling di Pejabat Agama dan untuk kali pertama tahun 2006, suami hadir dan yang selebihnya dia tidak hadir dengan alasan, buat apa pergi kaunseling, ustaz tu semua kawan you.

"Kawan saya macam mana sedangkan saya langsung tidak kenal uztaz yang bertugas. Saya sentiasa cari jalan untuk menyelesaikan masalah kami tapi malangnya hanya saya seorang yang berusaha, suami langsung tidak ambil kisah.

"Kalau suami tidak mengambil berat, bila masa kes boleh selesai? Dia juga ada menyatakan yang dia sudah tidak ada hati pada saya lagi, sebab itu dia lepaskan segala tanggungjawabnya.

"Apakah ini kriteria seorang suami yang harus saya hormati (saya masih hormatkannya sebagai suami saya) walaupun saya dipukul, diseret dan dihalau keluar dari bilik tidur sendiri (saya sudah tidur berasingan sejak 2006) serta di maki dan dicaci.

"Saya tidak mampu untuk membayar duit peguam syariah kerana gaji saya tidak seberapa dan saya sendiri kena menyara diri sendiri dan anak-anak untuk mereka terus hidup.

"Menurut Biro Bantuan Guaman saya tidak layak kerana gaji pokok saya melebihi RM1,500.
"Arwah bapa mertua saya selalu menyuruh saya bersabar tetapi sejak beliau sudah tiada saya tidak ada tiang untuk berpaut dan menumpang kasih.

"Bapa saya meninggal dunia sebelum kami diijabkabulkan dan ibu saya menurutnya mengadap Ilahi pada tahun 2000 kerana kanser tulang.

"Ibu mertua saya masih ada tapi saya tidak mendapat kasih sayang itu daripadanya sebab dia asyik menyebelahi anaknya sahaja. Apa yang saya buat semua tidak betul.

"Hinggakan seminggu sebelum bapa mertua saya meninggal dunia (selepas menghadiri konvensyen anak sulung saya di UiTM) saya berdua dengan anak sempat menziarahinya di rumah adik ipar saya.

"Dia menangis dan memohon maaf kepada anak saya bagi pihak suami saya di atas apa yang anaknya lakukan pada kami sekeluarga.

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi dan saya bersyukur dengan ujian yang diberi kepada saya dan anak-anak, Cuma saya ingin menuntut keadilan keatas hak kami yang telah diberikan kepada orang lain ibarat pepatah kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.

"Pun begitu saya selalu ingatkan anak-anak supaya menghormati ayah mereka walaupun saya tahu mereka berdendam pada ayah mereka. Saya boleh berlembut dengan seseorang jika dia juga berlembut dengan saya, tapi bukan dengan suami saya yang begitu banyak membuat saya menangis dan murung sehingga terpaksa berjumpa pakar sakit jiwa.

"Ada orang nasihatkan saya supaya jangan memohon cerai kerana berdosa. Tetapi sampai bila saya perlu biarkan perkara ini berlarutan. Saya diam dia naik lemak dan bila saya tegur dia marah dan terus menyakiti fizikal dan mental saya.

"Saya ingin menamatkan episod duka dalam hidup saya ini. Saya perlukan ketenangan dan ruang untuk diri saya dan anak-anak tanpa dibelenggu sikap kejam lelaki yang bernama suami tetapi tidak tahu tanggungjawabnya.

"Jika saya yang buat macam itu dikatakan tamak dan derhaka kepada suami. Tapi apa suami buat kepada saya dan anak-anak tidak siapa peduli, tidak ada orang kata derhaka. Adilkah?

"Sekarang saya nekad. Saya akan melakukan solat istikharah supaya Allah SAW menunjukkan jalan terbaik buat saya dan anak-anak. Semuanya saya serah kepada Allah. Mudah-mudahan ada sinar baru dalam hidup saya bersama anak-anak. Doakan saya," kata Zee menutup cerita.

Aduh, kisah Zee begitu meruntun tangkai hati saya. Memang saya akui Zee seorang yang sabar dan tabah menghadapi ujian. Penat dan pengorbanan Zee berbaloi. Mudah-mudahan segala hajat dan doa Zee akan dimakbulkan Tuhan dalam mencari sinar baru dalam hidupnya.
Tentang hajat Zee untuk menuntut fasakh daripada suami, terpulang kepada Zee membuat keputusan. Orang hanya melihat tetapi yang menanggung adalah Zee.

Tujuh belas tahun adalah satu jangka masa yang panjang bagi seorang perempuan bersabar untuk menyelamatkan rumah tangganya. Zee juga telah membuktikan tanpa suami dia mampu menjadikan anak-anaknya sebagai manusia yang berguna.

Menurut catatan, sepatah kata buat buat kaum lelaki yang bergelar suami untuk dijadikan renungan. Kecantikan wanita bukan pada luaran semata-mata tetapi dalaman juga. Peranan anda, selami hati mereka. Kerana Allah memberi mereka kebijaksanaan untuk selalu taat dan akur kepada suami. Seorang suami yang baik tidak akan pernah menyakiti isterinya, tetapi akan menguji kekuatan dan kesetiaan si isteri untuk terus berada di sisi suami sehingga ke hujung nyawa.

Salam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan